Setiap keluarga baharu dimulai dengan kegembiraan dan restu daripada semua pihak. Keluarga dibina atas dasar kasih sayang, saling mempercayai, amanah dan tanggungjawab.
Apabila unsur-unsur ini mula pudar, maka keluarga memasuki fasa cabaran dan jika dibiarkan begitu sahaja, kemungkinan keluarga akan menjadi porak-peranda dan menuju kehancuran.
Menyelamatkan keluarga daripada perpecahan adalah penting untuk mengekalkan hubungan yang sihat dalam unit keluarga. Apabila keluarga berantakan, kebencian dan kepahitan mudah timbul dari semasa ke semasa.
Dengan mengambil tindakan untuk menyelamatkan keluarga, kerosakan selanjutnya dapat dielakkan daripada berlaku dan berusaha ke arah mewujudkan persekitaran yang lebih harmoni dan menyokong semua orang yang terlibat.
Satu tuntutan
Dalam Islam, memelihara keluarga daripada berpecah adalah satu tuntutan. Melalui Surah an-Nisa’ ayat 36, Allah SWT menganjurkan orang-orang Islam agar tidak bersikap sombong dan berusaha melakukan kebaikan terutama kepada ibu bapa dan ahli keluarga.
Seorang suami dan bapa menanggung amanah untuk menyelamatkan dirinya dan anggota keluarganya daripada bencana kehidupan di dunia dan di akhirat. Sebab itulah beliau perlu berusaha bersama isteri dan ahli keluarganya menjaga integriti dan keselamatan rumah tangga.
Konflik dalam rumah tangga boleh disebabkan oleh faktor seperti rumah, kenderaan, wang, anak-anak dan harta benda lain. Sebuah keluarga yang berantakan juga berdepan dengan cabaran emosi yang hebat, tambahan pula dengan adanya anak-anak.
Kerap kali pergeseran yang kerap berlaku dalam rumah tangga adalah antara suami dan isteri. Walaupun bertahun-tahun berusaha memenuhi tuntutan dan keinginan masing-masing, hati boleh menjadi tawar dan pandangan boleh menjadi jelik. Pada ketika itu, sukar mendapatkan persefahaman.
Dalam Islam, ada banyak nasihat dan pengalaman yang boleh diambil kira oleh kedua-dua pihak untuk menyelamatkan keluarga daripada terus terjunam. Yang paling penting, kedua-dua pihak suami dan isteri mesti boleh membuka hati mendengar dan bersabar.
Nasihat dalam al-Quran
Dalam al-Quran, Allah SWT mengingatkan para suami yang bimbang isterinya terlibat perbuatan nusyuz (yang melanggar keizinan suami) agar tidak terus memukul, mengherdik atau mencaci mereka.
Sebaliknya dinasihati mereka, kemudian barulah dipisahkan tempat tidur dan akhir sekali jika terus berdegil, dipukul dengan lembut (bukan mendera). Allah berpesan lagi jika isteri menyedari kesalahannya, tidak patut suami menyusahkannya (An-Nisaa’: 34).
Sebaliknya pula, jika suami yang nusyuz contohnya bersikap kasar secara fizikal atau suka menghina isteri dengan kata-kata nista atau tidak melayaninya, Allah SWT telah memerintahkan agar kedua-duanya mengadakan perdamaian.
Banyak yang boleh diusahakan sehingga isteri boleh mendapatkan keadilan melalui sistem kehakiman dalam negeri.
Menerusi ayat yang sama (An-Nisa’: 128) Allah SWT berfirman bahawa perdamaian antara suami dan isteri sebenarnya adalah lebih baik walaupun manusia mempunyai ego dan bersifat tamak untuk diri sendiri.
Walaupun kadangkala pertembungan ego suami isteri diakhiri dengan perceraian, namun ia adalah satu keputusan yang paling dibenci oleh Allah sepertimana dinyatakan dalam hadis riwayat Abu Dawud, Ibnu Majah dan al-Hakim.
Menyelamatkan keluarga daripada perpecahan tidak selalunya mudah, tetapi penting untuk mengekalkan hubungan yang sihat dalam unit keluarga.
Komunikasi jadi kunci
Komunikasi ialah kunci atau tulang belakang kepada sebarang hubungan yang berjaya, sama ada antara rakan, ahli keluarga apatah lagi sesama pasangan.
Komunikasi amat penting apabila berhadapan dengan keluarga yang berpecah belah. Dengan bersikap sabar dan boleh membuka saluran komunikasi, sebuah keluarga yang rosak mungkin dapat diselamatkan.
Apa yang perlu ialah menggalakkan dan membuka peluang kepada semua yang terlibat untuk berkongsi pandangan dan fikiran mereka tanpa penilaian atau kritikan.
Biarkan semua meluahkan perasaan masing-masing dalam keadaan yang terkawal. Penting bagi semua pihak bersetuju dengan mengekalkan suasana yang boleh diterima semua pihak.
Jangan mengangkat suara tinggi, mengherdik, menjerit-jerit atau menghukum. Perlu juga menerima keadaan di mana semua orang akan menegakkan apa yang ingin diutarakan.
Peranan moderator
Justeru, jika perlu, seorang moderator yang boleh diterima semua dilantik untuk membantu.
Beliau boleh berfungsi sebagai sistem sokongan keluarga yang dapat membantu mengendurkan ketegangan dan mengeratkan hubungan dalam keluarga yang berkonflik. Peranan ini ada dinyatakan dalam Surah An-Nisa’ ayat 35:
“Dan jika kamu bimbangkan perpecahan di antara mereka berdua (suami isteri) maka lantiklah ‘orang tengah’ (untuk mendamaikan mereka, iaitu), seorang daripada keluarga lelaki dan seorang daripada keluarga perempuan. Jika kedua-dua ‘orang tengah’ itu (dengan ikhlas) bertujuan hendak mendamaikan, nescaya Allah akan menjadikan kedua-dua (suami isteri itu) berpakat baik. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui, lagi Amat mendalam pengetahuan-Nya.”
Keluarga juga boleh mendapatkan bantuan profesional sama ada bersama wakil kedua-dua pihak seperti dalam ayat di atas atau secara bersendirian. Yang penting, kedua-dua pihak mestilah menerima peranan profesional ini demi menyelamatkan keluarga.
Apabila berkomunikasi dengan ahli keluarga, adalah penting untuk mendengar secara aktif dan menunjukkan empati terhadap perasaan mereka. Apabila berbicara pula, ingatlah pesanan Allah menerusi Surah Taha ayat 43:
“Maka berbicaralah kamu berdua kepadanya dengan kata-kata yang lemah lembut, mudah-mudahan ia ingat atau takut.”
Perlulah setiap pihak akur kepada ayat ini dengan berbicara dengan lemah lembut dan tidak kasar.
“Perkataan yang baik dan pemberian maaf lebih baik daripada sedekah yang diiringi dengan sesuatu yang menyakitkan (perasaan si penerima). Allah Maha Kaya lagi Maha Penyantun.” (Surah al-Baqarah: 263)
Ini akan membantu membina kepercayaan dan mengeratkan hubungan. Amalan empati adalah berusaha dengan ikhlas untuk melihat sesuatu dari perspektif orang lain. Ini bersesuaian dengan firman Allah SWT menerusi Surah an-Nisa’ ayat 63:
“Mereka itu adalah orang-orang yang Allah mengetahui apa yang di dalam hati mereka. kerana itu berpalinglah kamu daripada mereka, dan berilah mereka pelajaran, dan katakanlah kepada mereka perkataan yang berbekas pada jiwa mereka.”
Setiap pihak perlu memahami betapa pentingnya untuk bertanggungjawab atas sebarang kesilapan atau konflik dalam keluarga dan berusaha ke arah mencari penyelesaian yang memberi manfaat kepada semua yang terlibat.
Ambil masa bertenang
Oleh itu, jika jalan penyelesaian awal menjadi buntu, berehatlah. Ambil masa untuk bertenang dan merenung apa yang dikatakan sebelum meneruskan perbualan. Ini akan membantu mengelakkan ledakan emosi dan memastikan semua orang didengari dan difahami.
Selepas itu, pilihlah masa yang sesuai dan tempat yang sesuai untuk meneruskan perbincangan.
Ingatlah, membina hubungan yang kukuh memerlukan masa dan usaha, tetapi dengan kesabaran, masa, komunikasi terbuka dan doa, masalah yang dihadapi mungkin akan dapat diatasi.
Penyembuhan memerlukan usaha daripada semua pihak yang terlibat. Bersabarlah dengan diri sendiri dan orang lain semasa anda berusaha membina ikatan keluarga yang lebih utuh.
Rozalli Hashim
Kumpulan Fokus Institusi Keluarga Utuh
Pertubuhan IKRAM Malaysia