Himpunan Gerakan Islam Malaysia (HIKAM) mengambil perhatian serius terhadap kenyataan Setiausaha Agung Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, yang mengaitkan perjuangan melalui PAS dengan ganjaran syurga.
HIKAM berpandangan bahawa kenyataan berkaitan syurga dan neraka hendaklah dibuat dengan penuh cermat dan berasaskan disiplin ilmu. Persoalan keselamatan seseorang di akhirat merupakan perkara akidah dan alam ghaib yang ketentuannya adalah hak mutlak Allah SWT, bukan sesuatu yang sewajarnya dikaitkan secara pasti dengan keanggotaan, sokongan atau perjuangan melalui mana-mana parti politik.
Syurga adalah Ganjaran Allah, Bukan Jaminan Kepartian
Allah SWT berfirman:
“Dan mereka berkata: Tidak sekali-kali akan masuk syurga melainkan orang-orang yang beragama Yahudi atau Nasrani. Yang demikian itu hanyalah angan-angan mereka sahaja. Katakanlah: Bawalah bukti kamu jika kamu orang-orang yang benar.” (Surah al-Baqarah, 2:111)
Ayat berikutnya menjelaskan bahawa ganjaran di sisi Allah adalah bagi mereka yang menyerahkan diri kepada-Nya dan melakukan kebaikan.
HIKAM mengakui bahawa memperjuangkan Islam, menegakkan keadilan, mempertahankan kebenaran, menolak kezaliman dan berkhidmat kepada manusia merupakan amal yang mulia apabila dilakukan dengan iman, ikhlas serta menepati petunjuk syarak.
Namun, perjuangan Islam tidak boleh dimonopoli oleh mana-mana parti politik.
Keanggotaan atau sokongan kepada sesebuah parti tidak dengan sendirinya menjadi jaminan seseorang memperoleh syurga. Demikian juga perbezaan pilihan politik tidak menentukan kedudukan seseorang di sisi Allah SWT.
Allah SWT mengingatkan:
“Maka janganlah kamu menganggap diri kamu suci. Dialah yang paling mengetahui siapa yang bertakwa.” (Surah al-Najm, 53:32)
Sabda Rasulullah SAW:
“Tidak ada seorang pun di antara kamu yang akan masuk syurga kerana amalannya semata-mata”. Para sahabat bertanya: “Tidak juga engkau, ya Rasulullah?” Baginda menjawab: “Tidak juga aku, kecuali jika Allah melimpahkan rahmat-Nya kepadaku.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Pendirian Institusi Fatwa
HIKAM ingin menarik perhatian kepada Fatwa Kerajaan Negeri Sembilan yang diwartakan pada tahun 2001, berhubung dakwaan bahawa pengakuan dan sokongan kepada pihak tertentu diperlukan sebelum seseorang Islam dilayakkan ke syurga serta kenyataan bahawa orang tertentu akan ditempatkan di neraka.
Fatwa tersebut menegaskan:
“Ketentuan syurga atau neraka adalah hak mutlak Allah SWT.”
Fatwa berkenaan turut menetapkan bahawa dakwaan bahawa pengakuan dan sokongan kepada orang atau pertubuhan tertentu diperlukan sebelum seseorang Islam dilayakkan ke syurga atau neraka adalah salah menurut ajaran Islam.
HIKAM juga mengambil perhatian terhadap Tinta Mufti Bil. 128/2026, Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan, bertarikh 5 September 2026, bertajuk “Syurga Bukan Milik Eksklusif Mana-Mana Kumpulan”.
Kenyataan tersebut menegaskan bahawa syurga bukan hak eksklusif mana-mana kumpulan. Ganjaran Allah SWT berkait dengan iman, tauhid dan amal soleh seseorang, bukannya semata-mata kesetiaan kepada kelompok atau tokoh tertentu.
Kedua-dua rujukan ini memberikan pedoman bahawa persoalan syurga dan neraka hendaklah dibicarakan menurut neraca wahyu dan akidah, bukan dijadikan instrumen persaingan kepartian.
Islam adalah Wahyu, Parti Politik adalah Ijtihad Manusia
HIKAM menegaskan bahawa Islam tidak dipisahkan daripada politik. Sebaliknya, agama mestilah menjadi mizan yang membimbing politik melalui prinsip keadilan, amanah, rahmah, ihsan dan kemaslahatan manusia.
Namun, terdapat perbezaan asas yang mesti difahami:
Islam adalah wahyu daripada Allah SWT, manakala parti politik ialah wadah dan hasil ijtihad manusia.
Parti, kepimpinan, strategi dan kerjasama politik boleh berubah. Ijtihad politik juga boleh benar dan boleh tersilap.
Justeru, tidak wajar mana-mana parti memberikan gambaran seolah-olah dirinya mempunyai hak eksklusif mewakili Islam sehingga sokongan kepadanya dikaitkan dengan keselamatan seseorang di akhirat.
Dalam sebuah negara demokrasi, umat Islam boleh berbeza dalam memilih parti, calon, pendekatan dan strategi politik berdasarkan pertimbangan maslahat dan mafsadah.
Perbezaan dalam wilayah ijtihad siasah hendaklah diurus dengan ilmu dan adab, bukan ditukar menjadi ukuran syurga dan neraka.
Politik Islam Mestilah Mencerdaskan Rakyat
HIKAM menyeru semua parti politik, khususnya yang membawa nama dan imej Islam, supaya membangunkan politik pencerdasan, bukan politik yang mengeksploitasi ketakutan agama.
Rakyat sewajarnya diberikan hujah dan fakta mengenai ekonomi, pendidikan, integriti, tatakelola, keadilan sosial, kos sara hidup, perpaduan serta masa depan negara.
Persaingan politik sewajarnya menjawab persoalan:
Siapakah yang lebih amanah?
Siapakah yang lebih adil?
Siapakah yang lebih berintegriti?
Siapakah yang lebih berkeupayaan?
Dan siapakah yang lebih mampu membawa maslahat kepada rakyat dan negara?
Bukannya siapa yang akan masuk syurga atau neraka kerana pilihan politiknya.
Pelihara Adab al-Ikhtilaf
Perbezaan politik tidak seharusnya membawa kepada budaya mencela, menyesatkan, memfitnah, memperlekeh atau menghukum keimanan pihak yang berbeza.
Allah SWT berfirman:
“Dan janganlah kebencian kamu terhadap sesuatu kaum mendorong kamu untuk tidak berlaku adil. Berlaku adillah; kerana adil itu lebih dekat kepada takwa.” (Surah al-Ma’idah, 5:8)
Parti dan pemimpin yang membawa nama Islam mempunyai tanggungjawab lebih besar untuk memastikan bahasa serta amalan politik mencerminkan rahmah, hikmah, keadilan dan akhlak Islam.
Lima Seruan HIKAM
Sehubungan itu, HIKAM menyeru semua pemimpin dan parti politik supaya:
1. Mengelakkan penggunaan syurga dan neraka sebagai retorik untuk mendapatkan sokongan kepartian;
2. Tidak mengaitkan keselamatan akhirat seseorang dengan keanggotaan atau sokongan kepada mana-mana parti atau kelompok;
3. Memelihara adab al-ikhtilaf dalam mengurus perbezaan politik;
4. Mengutamakan hujah, fakta, integriti, dasar dan prestasi dalam mendapatkan kepercayaan rakyat; dan
5. Mengembalikan politik kepada tujuan besarnya sebagai khidmat kepada manusia, usaha menegakkan keadilan dan amanah di hadapan Allah SWT.
Penutup
HIKAM percaya bahawa politik yang benar-benar dipandu oleh Islam seharusnya menjadikan manusia lebih beradab, masyarakat lebih bersatu dan negara lebih sejahtera.
Kita tidak perlu menentukan siapa ke syurga dan siapa ke neraka dalam gelanggang persaingan politik.
Tanggungjawab kita ialah menegakkan kebenaran, berlaku adil, memelihara maruah manusia dan membina kemaslahatan.
Politik adalah medan amanah dan ijtihad manusia.
Syurga dan neraka adalah ketentuan Allah SWT.
Penghakiman terakhir adalah milik-Nya.
Himpunan Gerakan Islam Malaysia (HIKAM)
1. Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH)
2. Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)
3. Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
4. Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (HALUAN)
Sekretariat HIKAM
Azizuddin Ahmad
Setiausaha Agung WADAH
Mohd. Hafiz Abd. Hamid
Setiausaha Agung IKRAM
Ahmad Fawwaz Ahmad Shukri
Setiausaha Agung ABIM
Mohd. Sabbri Md. Yudin
Setiausaha Agung HALUAN




