Buya Hamka: Memahami Hakikat Hidup, Kerja dan Dunia

Buya Hamka: Memahami Hakikat Hidup, Kerja dan Dunia | IKRAM

Buya Hamka pernah berkata, “Kalau hidup sekadar hidup, babi di hutan juga hidup. Kalau bekerja sekadar bekerja, kera juga bekerja.”

Sekali baca, agak keras perumpamaan yang diwariskan kepada kita. Jika dibaca untuk kali kedua, memang ada benarnya pesanan ini buat kita, buat mereka yang berfikir dan mencari erti dalam hidupnya.

Dalam pesanan itu, Hamka telah menarik perhatian kita terhadap dua perkara yang menjadi kepentingan dalam hidup manusia iaitu hidup dan kerja. Namun, perumpamaan manusia dengan kera dan babi di hutan itu yang membuatkan kita terfikir serta merenung akan makna di sebaliknya.

Mesej yang ingin disampaikan oleh kata-kata Hamka ialah, manusia perlu mencari erti pada kehidupannya, jika tidak, kehidupan manusia akan sama dengan kehidupan haiwan, sedangkan kehidupan manusia jauh berbeza dengan kehidupan haiwan. 

Erti kehidupan 

Manusia diciptakan sebagai makhluk yang mulia dan istimewa untuk bukan sahaja menjalani kehidupan di dunia, malah berperanan memakmurkan bumi dengan menggembleng hasil kekayaan serta sumber yang ada demi memberikan manfaat kepada semua.

Allah SWT berfirman:

Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan yang mengerjakan kebajikan bahawa Dia sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di bumi sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa; Dia sungguh akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah Dia redai; dan Dia sungguh akan mengubah (keadaan) mereka setelah berada dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka menyembah-Ku dengan tidak mempersekutukan-Ku dengan sesuatu apa pun. Siapa yang kufur setelah (janji) tersebut, mereka itulah orang-orang fasik.

Dalam ayat 55 Surah an-Nur ini , Allah SWT teleh memberikan ‘bumi’ kepada manusia untuk dibangunkan, dimakmurkan dan diteroka segala isinya.

Manusia makhluk mulia

Allah mengangkat martabat manusia dengan menjadikannya sebagai makhluk yang mulia, hatta berbanding malaikat sekalipun.

وَلَقَدْ كَرَّمْنَا بَنِيْٓ اٰدَمَ وَحَمَلْنٰهُمْ فِى الْبَرِّ وَالْبَحْرِ وَرَزَقْنٰهُمْ مِّنَ الطَّيِّبٰتِ وَفَضَّلْنٰهُمْ عَلٰى كَثِيْرٍ مِّمَّنْ خَلَقْنَا تَفْضِيْلًا ࣖ

Sungguh, Kami telah memuliakan anak cucu Adam dan Kami angkut mereka di darat dan di laut. Kami anugerahkan pula kepada mereka rezeki daripada yang baik-baik dan Kami lebihkan mereka di atas banyak makhluk yang Kami ciptakan dengan kelebihan yang sempurna. (Surah al-Israa’: 70)

Kemuliaan manusia adalah tanpa mengira batasan warna dan bangsa mahupun taraf kehidupan. Kemuliaan manusia ialah pada peranannya sebagai khalifah dan akal yang telah dikurniakan oleh Allah SWT demi melunasi tanggungjawab tersebut.

Dalam Islam, setiap nyawa manusia ialah berharga dan tidak boleh diganggu-gugat melainkan dengan balasan kepada kesalahan jenayah yang setimpal. Islam menjadikan penjagaan nyawa manusia sebagai antara matlamat utama pensyariatan hukum-hukumnya.

Selain akal, Allah SWT mengurniakan hawa nafsu kepada manusia. Hawa nafsu ialah kehendak dalaman semula jadi insan yang akan membantu manusia untuk meneruskan kehidupannya.

Hawa nafsu yang membuatkan manusia tidak berhenti untuk meneruskan kehidupan, mencari kekayaan, membina keluarga dengan mencari pasangan, mempunyai anak dan keturunan serta pelbagai lagi.

Syariat panduan terunggul

Dengan rahmat Allah jua, syariah diturunkan sebagai panduan. Syariat ialah rahmat dan panduan untuk manusia menjalani kehidupan. Dengan adanya syariat, akal dan hawa nafsu manusia akan menjadi lebih terpandu.

Manusia yang disifatkan sebagai sebaik-baik kejadian, boleh menjadi lebih sesat daripada haiwan. Allah SWT telah berfirman:

Sungguh, Kami benar-benar telah menciptakan banyak daripada kalangan jin dan manusia untuk (masuk neraka) Jahanam (kerana kesesatan mereka). Mereka memiliki hati yang tidak dipergunakan untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan memiliki mata yang tidak mereka pergunakan untuk melihat (ayat-ayat Allah), serta memiliki telinga yang tidak mereka pergunakan untuk mendengarkan (ayat-ayat Allah). Mereka seperti haiwan ternakan, bahkan lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lengah. (Surah al-A’raf :179)

Dalam ayat tersebut, Allah SWT menyifatkan manusia boleh menjadi lebih teruk daripada haiwan sekiranya mereka tidak menggunakan hati, akal dan pancaindera untuk mengenali Allah SWT serta menjadi hamba kepada-Nya.

Kehidupan ialah ibadah

Syariat menempatkan kehidupan manusia di dunia ini keseluruhannya sebagai ibadah kepada Allah SWT. Untungnya, setiap tingkah laku manusia seharian juga dianggap sebagai ibadah yang mendatangkan pahala.

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْاِنْسَ اِلَّا لِيَعْبُدُوْنِ

Tidaklah Aku menciptakan jin dan manusia kecuali untuk beribadah kepada-Ku.

Dalam ayat 56 Surah adz-Dzariyat di atas, Allah SWT menerangkan bahawa tujuan kejadian manusia ialah untuk menjadi hamba kepada Allah SWT.

Pengabdian ini berlaku dalam bentuk ibadah yang khusus dan ibadah yang umum, iaitu segala tindak-tanduk perlakuan manusia yang diniatkan kerana Allah dan tidak bertentangan dengan prinsip-prinsip syarak, akan dianggap sebagai ibadah.

Demi memotivasikan manusia untuk terus bersemangat dalam kehidupan, syariat memberikan perspektif bahawa kehidupan ini ialah ujian bagi manusia.

Tujuan ujian tersebut antaranya ialah untuk menguji keimanan dan kesabaran manusia mencari reda dan kasih sayang Allah SWT.

Bagi seorang Muslim, apa juga yang berlaku, sama ada kesusahan mahupun kesenangan, semuanya ujian untuk menyaring keimanan manusia. Ujian juga bertujuan meningkatkan darjat dan martabat manusia di sisi Allah SWT.

Akhirat lebih kekal

Kehidupan manusia di dunia adalah sementara dan merupakan hanya sebahagian episod kecil daripada keseluruhan penciptaan manusia. Allah SWT menyifatkan kehidupan akhirat lebih baik dan kekal bagi manusia.

وَلَلْاٰخِرَةُ خَيْرٌ لَّكَ مِنَ الْاُوْلٰىۗ

Sungguh, akhirat itu lebih baik bagimu daripada yang permulaan (dunia). (Surah al-Dhuha: 4)

Boleh jadi, sekiranya dunia tidak dihiasi dengan tarikan hawa nafsu seperti harta kekayaan, kecantikan, kemewahan dan kebahagiaan, manusia tidak akan tertarik langsung kepada dunia.

Muslim yang benar-benar mengenali hakikat dunia, tidak akan menangis jika dunia hilang daripada tangan mereka, malah mereka akan menjadi sedih jika akhirat hilang daripada hati mereka.

Syariah datang memberi makna kepada kehidupan yang ditakdirkan kepada manusia. Manusia yang bekerja di dunia, perlu jelas akan tujuan pekerjaannya dan cara pekerjaannya.

Kerja yang hanya kerja semata-mata akan menjadi seperti apa yang diumpamakan oleh Hamka tersebut.

Kerja seorang Muslim yang diniatkan untuk mencari nafkah yang halal, menyumbang tenaga dan masa untuk masyarakat, akan dianggap sebagai ibadah yang membuahkan pahala.

Hidup jika tanpa tujuan yang jelas, akan menjadi seperti apa yang diingatkan Hamka. Sinis tetapi benar. Keras, namun itulah hakikat.

Dr Hamidah Mat

Timbalan Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Open University Malaysia (OUM), Penasihat ILMAN dan Du’at Al Falah Pembimbing Malaysia Madani 2023

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia