Selamatkan dunia daripada bahaya pemanasan global

Laporan Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa perancangan semasa negara-negara dunia untuk mengurangkan pelepasan karbon, jauh daripada apa yang diperlukan untuk membantu mengelakkan perubahan iklim yang berbahaya ini.

 

Laporan mengenai jurang pelepasan karbon itu mengatakan bahawa negara-negara dunia akan gagal mengekalkan peningkatan suhu global di bawah 1.5 darjah Celsius pada abad ini.

 

“Dunia sedang menuju kepada kenaikan suhu kira-kira 2.7 darjah Celsius, yang akan menyebabkan kesan yang sangat dahsyat,” demikian menurut analisis Program Alam Sekitar PBB (UNEP).

 

Beberapa hari sebelum pembukaan Sidang Kemuncak Iklim 26 di Glasgow, satu lagi laporan saintifik mengenai perubahan iklim dibentangkan menjadi “satu lagi ingatan berjaga-jaga,” kata Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres.

 

Dalam pada itu, kajian daripada Pertubuhan Meteorologi Dunia menunjukkan bahawa gas rumah hijau mencapai paras tertinggi baru pada tahun lepas walaupun dalam situasi wabak Covid-19.

 

Kini pada tahun ke-12, Laporan Jurang Pelepasan Karbon ini melihat kepada sumbangan mengikut negara (NDC) atau rancangan pengurangan karbon negara-negara terlibat yang telah diserahkan kepada PBB sebelum persidangan Glasgow.

 

Seterusnya, rancangan tersebut dilanjutkan hingga 2030 dan telah diserahkan oleh 120 negara. Program PBB juga telah mengambil kira komitmen lain untuk mengurangkan gas rumah hijau yang masih belum dibentangkan secara rasmi dalam sumbangan negara.

 

Laporan itu mendapati bahawa rancangan mengurangkan pelepasan gas rumah hijau pada 2030 adalah pada sekitar 7.5 peratus apabila diambil bersama, berbanding dengan rancangan sebelumnya yang dibuat lima tahun lalu.

 

Gas rumah hijau ialah gas atmosfera yang menyerap dan memancarkan radiasi dalam lingkungan haba inframerah. Proses ini adalah penyebab utama kesan kepada rumah hijau.

 

Antara gas rumah hijau utama yang terdapat dalam atmosfera bumi adalah wap air, karbon dioksida, metana, nitro oksida dan ozon. Tanpa gas rumah hijau, purata suhu permukaan Bumi barangkali boleh mencapai kira-kira −18 °C (0 °F), berbanding dengan purata suhu kini iaitu 15 °C (59 °F).

 

Dalam Sistem Suria, atmosfera Zuhrah, Marikh dan Titan (bulan terbesar Zuhal) juga mengandungi gas yang menyebabkan kesan kepada rumah hijau.

 

Suhu perlu dikurangkan kepada 1.5 °C

 

Para saintis yang menyusun kajian itu mengatakan bahawa mencapai matlamat ini nampaknya masih belum mampu mengekalkan suhu untuk dikurangkan kepada 1.5 darjah Celsius.

 

Mengekalkan matlamat untuk mengekang pemanasan global pada 1.5 darjah Celsius memerlukan pengurangan sebanyak 55 peratus, pada tarikh yang sama pada tahun 2030. Ini bermakna rancangan semasa tidak mencukupi dan memerlukan tujuh kali ganda tahap pencapaian semasa untuk mencapai had ini.

 

“Untuk mempunyai peluang mengurangkan pemanasan global dan mengurangkan suhu sebanyak 1.5 darjah Celsius, kita mempunyai lapan tahun untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau hampir separuh.”

 

“Dan terdapat lapan tahun lagi untuk membangunkan rancangan, membangunkan dasar dan melaksanakannya serta memperoleh pengurangan yang diperlukan pada akhirnya,” jelas Pengarah Eksekutif Program PBB, Inger Andersen.

 

Menurut pengarang kajian itu, walaupun terdapat perjanjian semasa, pemanasan global akan meningkat sebanyak 2.7 darjah Celsius sebelum akhir abad ini, senario yang dipanggil Antonio Guterres sebagai bencana iklim.

 

Titik tolak kepada malapetaka iklim?

 

Laporan itu dipercayai turut menonjolkan kegagalan pemimpin politik.

 

“Jurang pelepasan karbon adalah hasil daripada jurang kepimpinan di dunia,” kata Setiausaha Agung PBB itu.

 

“Tetapi para pemimpin masih boleh menjadikan ini sebagai titik tolak ke arah masa depan yang lebih hijau dan bukannya titik tolak kepada malapetaka iklim.”

Seperti yang dijelaskan oleh Guterres, laporan itu menyimpan gunungan harapan.

 

Sekitar 50 negara serta Kesatuan Eropah telah berjanji untuk berusaha ke arah mencapai matlamat pelepasan karbon sifar menjelang pertengahan abad ini, yang mana strategi ini meliputi lebih separuh daripada pelepasan gas rumah hijau.

 

Analisis UNEP juga mendapati bahawa jika rancangan ini dilaksanakan sepenuhnya, ia boleh menyebabkan pengurangan 0.5 darjah Celcius pada kenaikan suhu menjelang 2100.

 

Ini akan mengurangkan tahap peningkatan suhu global kepada 2.2 darjah Celsius, dan ia akan menjadi satu langkah ke arah yang betul, tetapi ia tidak akan mencukupi serta akan membawa kepada kesan pemanasan global.

 

Walau bagaimanapun, masalahnya ialah banyak sasaran pelepasan sifar kekal tidak jelas, sebagaimana menurut penulis, terutamanya dalam kalangan 20 negara terkaya di dunia, di mana berpuluh-puluh rancangan jangka panjang adalah samar-samar.

 

Banyak negara menangguhkan pengurangan besar dalam pelepasan sehingga selepas 2030, yang menimbulkan keraguan serius sama ada mereka boleh mencapai pelepasan sifar dalam masa 20 tahun sahaja.

 

Metana menjadi harapan?

 

Satu lagi sebagai harapan ialah gas metana. Laporan itu juga mengatakan bahawa terdapat potensi besar untuk kemajuan pada pelepasan gas ini, yang merupakan sumber pemanasan kedua terbesar.

 

Sehingga 20 peratus daripada pelepasan ini ialah bahan api fosil dan sisa daripada bahan pertanian yang boleh dibendung dengan sedikit atau tanpa kos.

 

“Bagaimanapun, peluang untuk membangunkan dunia yang lebih hijau apabila dunia pulih daripada Covid-19 akan mengalami cabaran besar,” kata penulis.

 

Mereka mendapati bahawa kira-kira 20 peratus daripada pelaburan dunia untuk pulih daripada kesan Covid-19 akan menyokong sumber tenaga boleh diperbaharui dan ekonomi hijau.

 

“Jumlah besar yang dibelanjakan untuk memulihkan ekonomi daripada wabak Covid-19 adalah peluang sekali sahaja dalam satu generasi untuk meningkatkan teknologi dan industri rendah karbon, maka rebutlah peluang ini.” kata Pengarah Projek Pemulihan Ekonomi Universiti Oxford, Brian O’Callaghan.

 

Menurutnya yang juga pengarang buku laporan UNEP, ini adalah tamparan khas untuk negara-negara lemah yang mengalami kesan terburuk akibat perubahan iklim.

 

“Kami masih menagih komitmen daripada negara-negara pelepas utama untuk menampung kerugian dan kerosakan yang mereka akibatkan kepada dunia.”

 

Berpotensi membahayakan

 

Sebelumnya, aktiviti manusia sejak bermulanya Revolusi Industri (dikira dari tahun 1750) telah meningkatkan kepekatan atmosfera karbon dioksida sebanyak 40 peratus dari 280 ppm pada tahun 1750 hingga 406 ppm pada awal tahun 2017.

 

Peningkatan ini telah berlaku meskipun sebahagian besar daripada pelepasan ini diserap oleh penyimpan semula jadi yang terlibat dalam kitaran karbon.

 

Pelepasan karbon dioksida (CO2) antropogen (iaitu pengeluaran yang dihasilkan oleh kegiatan manusia) datangnya daripada pembakaran bahan api fosil terutamanya arang batu, minyak dan gas asli bersama-sama juga dengan penebangan hutan, hakisan tanah dan aktiviti penternakan haiwan.

 

Perkiraan terperinci menjangkakan seandainya pelepasan gas rumah hijau berterusan pada kadar yang tetap, suhu permukaan bumi boleh melebihi nilai-nilai tertinggi sebelumnya dalam sejarah perakaman seawal tahun 2047 dengan kesan berpotensi membahayakan ekosistem, biodiversiti dan gaya hidup penduduk di seluruh dunia.

 

Anggaran terbaru mencadangkan bahawa trajektori pelepasan semasa boleh membawa bumi melepasi ambang pemanasan global sebanyak 2 darjah Celsius yang ditetapkan Panel Antara Kerajaan Tentang Perubahan Cuaca PBB (IPCC) sebagai had mengelakkan pemanasan global berbahaya sebelum tahun 2036.

[supsystic-social-sharing id='1']

Bonda Nor atau nama sebenarnya Norli binti Madlan adalah anak kelahiran Melaka yang kini menetap di Terengganu. Beliau seorang penulis, novelis, kolumnis majalah, penceramah dan pengasas Kaedah Membaca Ekspres-i.

ARTIKEL BERKAITAN

Sumbangan

Untuk membuat sebarang sumbangan anda dialu-alukan untuk menyumbang secara terus kepada mana-mana institusi IKRAM.

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia