Syukuri kenikmatan, bersederhana dalam kehidupan

Ramai manusia yang merungut bahawa kehidupan mereka selalu gelisah walhal hidupnya dipenuhi dengan harta berlimpah. Apa sahaja yang dia mahukan, semua dapat dimilikinya. Malangnya, ketenangan hati begitu sukar untuk mereka dapatkan. 

 

Bukankah begitu banyak kita saksikan manusia berharta tapi menjadi penagih dadah yang kemudian hari menghancurkan hidupnya? Ada pula yang bergelar selebriti tapi membunuh dirinya sendiri akibat tekanan perasaan padahal kehidupannya adalah mewah. 

 

Oleh yang demikian, kekayaan sebenarnya bukanlah penjamin kebahagiaan. Bersederhana dalam kehidupan itulah yang lebih menenangkan jiwa. 

 

Dengan bersederhana, kita tidak perlu gelisah dalam menjaga harta yang berlimpah. Begitu ramai manusia tidak berasa tenang disebabkan harta, selalu berasa bimbang jika hartanya tersebut direbut dan jatuh ke tangan orang lain.

 

Manakala mereka yang hidup dalam kesederhanaan lebih tenang jiwanya. Wajah mereka sentiasa kelihatan meneduhkan.

 

Kita ambil contoh daripada gaya hidup ala Rasulullah SAW. Dikisahkan dalam sebuah hadis bahawa pernah dapur baginda tidak berasap dalam tempoh sebulan. Ini bermakna tiada aktiviti masak memasak di dapurnya. Baginda dan isterinya cuma memakan buah kurma dan meminum air putih. 

 

Selain itu, Rasulullah hanya mempunyai beberapa helai pakaian untuk dipakai, tidak mewah tapi cukup bersih dan rapi. Padahal baginda adalah pemimpin kaum Muslimin ketika itu dan merupakan seorang utusan Allah. 

 

Di kala raja-raja kaum kafir memakai pakaian dan mahkota yang mewah pada zaman tersebut, Rasulullah SAW lebih memilih hidup sederhana. 

 

Walaupun begitu, jiwa baginda berasa tenang, sentiasa bersyukur kepada Allah SWT. Kesederhanaan itu meningkatkan lagi ketakwaannya kepada Allah. 

 

Jangan mengeluh apabila kehidupan kita tidak serba mewah. Ini kerana kemewahan juga merupakan sebuah ujian.

 

Boleh jadi harta yang berlimpah mengakibatkan fitnah terhadap agama kita, iaitu jika ia menjadikan kita semakin jauh daripada ibadah kepada Allah SWT. Ini kerana kita hanya sibuk mengurus hal ehwal harta tersebut.

 

Namun demikian, apabila Allah menganugerahkan kita rezeki yang lebih, hendaklah kita menggunakannya dalam perkara kebaikan. Bersyukurlah kepada Allah dengan cara yang diredai-Nya, iaitu membelanjakan harta tersebut dalam perkara kebaikan.

 

Misalnya, bersedekah kepada mereka yang memerlukan, memberikan hadiah kepada ibu dan ayah, adik-beradik mahupun kaum kerabat yang lain, belanja kawan-kawan menjamu selera di kedai makan atau memberi makan kepada anak-anak yatim dan fakir miskin serta warga emas.

 

Kelebihan rezeki yang diberikan oleh Allah itu jangan sesekali digunakan untuk perkara maksiat, contohnya berpesta liar, menagih dadah, melanggan pelacur dan sebagainya. Sesungguhnya semua itu tidak mendatangkan kedamaian dalam hati. 

 

Keseronokan yang dinikmati melalui jalan kemaksiatan itu hanyalah bersifat sementara tetapi yang timbul kemudian adalah kesengsaraan dan penyesalan. Ia akan terus menghantui anda sepanjang kehidupan. 

 

Meirose

[supsystic-social-sharing id='1']

Bonda Nor atau nama sebenarnya Norli binti Madlan adalah anak kelahiran Melaka yang kini menetap di Terengganu. Beliau seorang penulis, novelis, kolumnis majalah, penceramah dan pengasas Kaedah Membaca Ekspres-i.

ARTIKEL BERKAITAN

Sumbangan

Untuk membuat sebarang sumbangan anda dialu-alukan untuk menyumbang secara terus kepada mana-mana institusi IKRAM.

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia