Bina Daya Ketahanan Mental dan Kesejahteraan Kendiri

Bina Daya Ketahanan Mental dan Kesejahteraan Kendiri | IKRAM

Sejak kebelakangan ini, banyak insiden berlaku disebabkan oleh kesihatan mental. Kita baharu sahaja dikejutkan dengan insiden di Bangkok yang mengorbankan tiga orang dan empat lagi cedera di Siam Paragon Mall. 

Penembak dikenal pasti berusia 14 tahun itu mengamuk dengan menggunakan senjata api di Bangkok. Remaja tersebut dikatakan ada masalah kesihatan mental.

Bagaimana kita menilai seseorang individu itu ada masalah mental sedangkan secara fizikal mereka kelihatan normal? Apakah kayu ukur untuk kita boleh selami masalah kesihatan mental seseorang?

Adakah sehingga berlaku insiden yang melibatkan pertumpahan darah maka masyarakat sedar, mengeluh dan risau dengan situasi cemas yang berlaku dan akan berlaku lagi. Di mana puncanya?

Adakah institusi kekeluargaan yang rapuh atau perkembangan media sosial memberikan pengaruh yang besar kepada kehidupan remaja masa kini?

Mari kita sama-sama menyambut Hari Kesihatan Mental Sedunia pada 10 Oktober untuk meningkatkan kesedaran kesihatan mental di seluruh dunia. 

Namun, adakah dengan sambutan setiap tahun sebegini mencukupi untuk memahami  kepentingan kesihatan mental?

Statistik daripada Institut Kesihatan Awam 2020, menunjukkan bahawa remaja merupakan penghidap terbesar dalam kalangan 424,000 kanak-kanak yang mengalami masalah kesihatan mental di negara ini. 

Minda Madani Masyarakat Harmoni

Dalam pada itu, Sambutan Bulan Kaunseling Kebangsaan 2023 (BKK 2023) akan disambut di seluruh negara dengan tema sambutan kali ini iaitu ‘Minda Madani, Masyarakat Harmoni.’

BKK 2023 akan disambut pada 9 Oktober 2023. Sambutan ini diadakan bagi meningkatkan kesedaran dan pengetahuan masyarakat awam akan kepentingan serta faedah perkhidmatan kaunseling dalam berhadapan isu kesihatan mental juga kesejahteraan kendiri. 

Prinsip Malaysia Madani iaitu kemampanan, kepercayaan, rasa hormat, inovasi dan keprihatinan adalah semua komponen penting berkaitan kesihatan mental.

Selaras dengan kemajuan negara yang kini semakin berkembang, masalah kesihatan mental dan penyakit mental telah menjadi semakin bertambah apalagi terdapat peningkatan dari tahun ke tahun.

Ketahanan mental memerlukan sokongan kaunseling semua pihak untuk memastikan mereka mampu membesar serta menjalani kehidupan sejahtera hingga meningkat dewasa. Menjaga kesihatan mental yang baik adalah kunci untuk mencegah penyakit mental.

Kita perlu menghindari situasi di mana individu terus-menerus terpapar tekanan tanpa kemampuan untuk mengendalikannya, kerana ini dapat meningkatkan risiko penyakit mental. 

Risiko ini lebih tinggi pada individu dengan sejarah keluarga penyakit mental, faktor psikologi, masalah personaliti tertentu, ketidakseimbangan bahan kimia di otak atau keabnormalan otak.

Akhirnya, seseorang yang terkena risiko ini mungkin mengalami penyakit seperti kemurungan, penyakit bipolar atau skizofrenia.

Oleh itu, kesedaran dan pendidikan mengenai kesihatan mental, serta akses kepada perkhidmatan kesihatan mental yang baik adalah penting untuk mencegah dan mengendalikan masalah ini.

Mengukuhkan sokongan sosial

Nilai-nilai berkonsepkan Malaysia Madani dapat memberi keyakinan dan kesejahteraan dalam institusi kekeluargaan.

Tekanan hidup dan penyakit mental adalah lebih tinggi dalam kalangan mereka yang mempunyai sejarah keluarga yang mempunyai penyakit mental, faktor psikologi dan masalah personaliti tertentu, ketidakseimbangan bahan kimia di dalam otak dan keabnormalan otak.

Seseorang individu itu akhirnya berpotensi mendapat penyakit seperti kemurungan yang berpanjangan sehingga membunuh diri.  

Strategi-strategi untuk menangani masalah, mengukuhkan sokongan sosial dan mengamalkan gaya hidup sihat amat penting untuk kesejahteraan kendiri. Ucapan penghargaan dan terima kasih dengan nilai hormat menjadi pengikat kekuatan mental seseorang.

Pada peringkat yang lebih besar, penekanan perlu diberikan kepada mempromosi kesihatan mental yang memerlukan penglibatan pelbagai pihak seperti sektor kerajaan, swasta dan organisasi komuniti.

Kita tidak boleh menafikan terdapat persepsi skeptikal dan stereotaip yang menghalang individu daripada cuba mendapatkan perkhidmatan kaunseling.

Perlu diketahui, daya ketahanan mental adalah satu proses yang membolehkan seseorang itu menyesuaikan diri ketika berhadapan dengan kesukaran, trauma atau tekanan. Sifat hormat dan sabar dengan penjagaan diri yang baik perlu diterapkan untuk menghadapi saat-saat genting.

Ia membolehkan kita ‘bangun semula’ selepas mengalami masa yang sukar. Ini adalah satu proses berterusan yang mengambil masa serta usaha oleh individu terbabit.

Daya tahan yang baik

Mempunyai daya tahan yang baik bukan bermaksud seseorang itu tidak menghadapi tekanan langsung kerana ia adalah tindak balas normal terhadap masalah.

Faktor penyumbang kepada daya ketahanan mengikut American Psychological Association ialah mempunyai hubungan yang baik dengan keluarga dan masyarakat. 

Justeru, rakyat Malaysia perlu membuka mata dan minda bahawa isu kesihatan mental mampu menjadi beban perasaan yang perlu dibantu walaupun hakikatnya tidak dapat dilihat daripada mata kasar.

Apresiasi diri sendiri datang dari diri sendiri. Sayangi diri sendiri atas kerja keras yang telah dilakukan.  Setiap perkara yang telah diselesaikan sama ada di rumah atau di tempat kerja, maka kita berikan penghargaan kepada diri sendiri.

Belilah hadiah untuk diri sendiri dan buatlah perkara yang diimpikan atas hasil kerja keras selama ini.  Ini akan memberi impak yang positif dengan memberi nafas yang segar kepada emosi dan tenaga negatif akan mula hilang.

Jika dibiarkan keletihan yang berterusan, semua itu dapat memberi kesan buruk kepada kesihatan mental. Ketika mental terganggu, maka pekerjaan pun akan turut terganggu apalagi kesejahteraan fizikal juga akan terjejas.  

Ayuh, kenali diri sendiri dan sentiasa berfikiran positif dengan membina daya tahan ketahanan mental. Janganlah membenci sesama kita dan pujuklah diri untuk memaafkan seperti bak kata pepatah, ‘Air yang dingin juga yang dapat memadamkan api.’

Ibaratnya, kata yang lemah lembut juga yang dapat mendinginkan hati orang yang sedang panas dan marah, menghilangkan dendam kesumat orang yang sedang bermusuhan. Mari kita fikir dan renungkan bersama. 

Prof Madya Ts Dr Jessica Ong Hai Liaw
Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia