Teori penjagaan kendiri diperkenalkan oleh seorang jururawat bernama Dorothea Orem sekitar 1950 yang mana beliau menekankan empat aspek penjagaan kendiri termasuklah kepentingan penjagaan kesihatan, pemantauan aspek kehidupan, perkembangan dan kesejahteraan diri (Fawcett, 2001).
Orem menyarankan setiap individu terutamanya pesakit perlu meletakkan matlamat, merancang aktiviti bagi mencapai matlamat tersebut serta mempunyai minat yang mendalam bagi memastikan keempat-empat aspek tersebut mampu dicapai.
Namun begitu, tidak semua pesakit mampu melakukan penjagaan kendiri (self-care) dengan baik tanpa dibantu oleh sistem sokongan yang mapan. Ini kerana situasi penyakit yang dihidapi seseorang pesakit boleh berada dalam kategori akut (sementara) dan kronik (berpanjangan).
Jika di hospital, bantuan boleh dihulurkan oleh jururawat dan pasukan kesihatan yang bertanggungjawab (termasuk doktor, pegawai farmasi, pegawai pemakanan, pegawai terapi dan sebagainya) agar pesakit dapat memenuhi aktiviti kehidupan seharian mereka.
Boleh dikatakan semua pelan perawatan adalah di bawah pemantauan profesional kesihatan dan pesakit hanya perlu patuh (compliance) pada aktiviti yang telah dirancang.
Bagaimana jika sudah pulang ke rumah? Isu penjagaan kendiri ini bukanlah sesuatu yang baru dan asing sebenarnya dan ia memang berlaku dalam masyarakat kita.
Faktor Penjagaan Kendiri
Menurut kajian awal sekitar tahun 1983 oleh Lowell S. Levin, antara faktor-faktor yang mempengaruhi penjagaan kendiri ialah umur, jantina, status perkahwinan dan jenis pekerjaan.
Menurut Levin (1983), semakin meningkat usia, maka semakin banyak penyakit yang dihidapi seseorang. Kebiasaannya pesakit yang lebih berusia akan lebih cepat dalam mendapatkan perkhidmatan kesihatan berbanding yang muda.
Wanita pula didapati lebih banyak menyuarakan simptom masalah kesihatan kepada doktor yang merawat jika dibandingkan dengan lelaki.
Antara sebabnya adalah mereka bertindak menjaga kebajikan keluarga, maka kesihatan mereka perlu berada pada tahap optimum. Seorang isteri kebiasaannya akan menasihati suami untuk segera mendapatkan rawatan sekiranya sakit.
Kajian awal turut menunjukkan individu yang bercerai (janda atau duda) lebih cakna untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan berbanding yang bujang.
Individu yang berkahwin kebiasaannya lebih memilih untuk merawat diri mereka sendiri di rumah (self-treatment) mungkin atas kekangan tertentu. Jumlah isi keluarga turut mempengaruhi budaya pengambilan ubatan tanpa preskripsi doktor menurut kajian lepas.
Pengaruh pengalaman lepas antara ahli keluarga akan mempengaruhi corak pengambilan ubatan. Menariknya menurut kajian awal Levin (1983), semakin meningkat saiz keluarga, semakin banyak stok simpanan ubat dalam merawat diri ketika sakit.
Di sinilah peri pentingnya setiap individu yang pernah melalui fasa sebagai pesakit, selagi mampu melakukan segala perkara yang menjadi rutin suatu ketika dahulu sebelum melalui pengalaman pembedahan atau mengalami penyakit kronik yang berpanjangan.
Langkah Hadapi Penyakit
Ubah suai gaya hidup ke arah yang lebih sihat sangat perlu bagi setiap pesakit di samping mendapatkan informasi kesihatan dari sumber yang sahih.
Amalkan pemakanan yang sihat, bersenam dan melakukan aktiviti fizikal, berhenti merokok semampu yang boleh dan menguruskan stres dengan baik adalah amat penting jika anda berhadapan dengan penyakit kronik.
Secara tidak langsung, tindakan yang positif ini dapat mengelakkan pembaziran kos perkhidmatan kesihatan apabila seseorang mampu menjaga kesihatan mereka dengan optimum. Tidak dinafikan untuk konsisten dalam mengubah gaya hidup yang sihat, ia memerlukan motivasi yang tinggi!
Pada masa yang sama, jika mengalami kesukaran, bantuan boleh diperolehi daripada sistem sokongan seperti ahli keluarga, rakan, jiran, kumpulan sokongan dan malahan haiwan peliharaan turut memberi ketenangan (Larry 1997)!
Kajian yang lepas menunjukkan individu dengan disiplin dan motivasi yang tinggi serta mempunyai sistem sokongan yang kuat akan cepat pulih daripada sesuatu fasa penyakit atau kecederaan (Hill et. al., 2022; Larry 1997; Backsheneider, 1974).
Maka, sakit bukan alasan untuk terlalu bergantung akan bantuan orang lain tanpa memainkan peranan dalam penjagaan kendiri.
Daripada Ibnu Abbas, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara:
- Masa mudamu sebelum datang masa tuamu
- Masa sihatmu sebelum sakitmu
- Masa kayamu sebelum datangnya masa sempitmu (miskin)
- Masa lapangmu sebelum tiba masa sibukmu, dan
- Masa hidupmu sebelum tiba masa matimu.”
(HR Hakim, No. 7846, Sahih)
Penjagaan kendiri tidak bermakna seseorang pesakit mengabaikan terus untuk mendapatkan perkhidmatan susulan di institusi kesihatan setelah discaj pulang ke rumah. Langkah tidak mematuhi rawatan susulan adalah amat merbahaya dalam pemantauan status kesihatan anda!
Kecanggihan teknologi hari ini perlu dimanfaatkan seperti telekonferens, perkhidmatan apps (WhatsApp, Telegram dan sebagainya) atau panggilan telefon sebagai medium komunikasi sekiranya anda memerlukan khidmat runding daripada profesional kesihatan bertauliah.
Kajian terkini menunjukkan pesakit dengan masalah diabetes, hipertensi, pernafasan serta jantung yang mendapat pemantauan berterusan daripada profesional kesihatan termasuk jururawat melalui panggilan telefon, sistem pesanan ringkas (SMS) serta panduan maklumat melalui laman sesawang dan latihan senaman mempunyai kualiti hidup yang lebih baik dan berdikari dalam penjagaan kendiri (Lee et al., 2022).
Kesimpulannya, isu perkhidmatan kesihatan merupakan penanda aras dalam Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals – SDG) bagi memastikan rakyat Malaysia memperolehi kesihatan dan kesejahteraan diri yang baik (SDG 3) serta mengurangkan jurang untuk mendapatkan akses dalam perkhidmatan kesihatan (SDG 10).
Asst Prof. Dr. Siti Noorkhairina Sowtali
Kulliyyah Kejururawatan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Kampus Kesihatan, Kuantan