Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) prihatin dan gusar mengenai laporan di portal Malaysiakini bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bersetuju memberikan peruntukan kepada Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC).
IKRAM berpandangan tindakan ini tidak tepat kerana ia seolah-olah memberi galakan kepada satu sistem di luar sistem pendidikan kebangsaan.
IKRAM khuatir tindakan ini bakal mencipta satu duluan (precedent), serta membuka laluan yang bakal terpakai kepada semua sekolah di luar sistem pendidikan kebangsaan.
Seperti dimaklumi, SMPC sebagaimana beberapa sekolah persendirian seperti sekolah agama dan tahfiz, masih belum melaksanakan sistem pendidikan kebangsaan dan wujud sebagai sistem yang bebas.
Walaupun IKRAM berpandangan kewujudan aliran sekolah-sekolah bukan kerajaan adalah baik dari segi memberikan pilihan dan akses, IKRAM khuatir dengan kemungkinan sekolah-sekolah ini menjadi benteng dan tembok yang menyukarkan proses integrasi nasional.
Oleh itu, adalah tidak wajar bagi kerajaan menyalurkan apa-apa peruntukan kepada sekolah yang berada di luar sistem tersebut. Pihak kerajaan perlu memastikan bahawa semua sekolah bukan kerajaan, misalnya sekolah-sekolah swasta persendirian, SMPC, maahad tahfiz dan seumpamanya, berada dalam pendidikan arus perdana dan bersungguh-sungguh mencapai hasrat dan aspirasi Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK).
IKRAM mengesyorkan agar semua sekolah yang melaksanakan kurikulum kebangsaan, termasuk sekolah vernakular, sekolah agama dan sekolah swasta yang tidak berorientasikan keuntungan dianggap sebagai sistem sokongan (complementary) yang perlu digalakkan dan diberikan peruntukan harta modal, per kapita dan bantuan buku teks daripada KPM.
IKRAM juga mencadangkan, oleh kerana sekolah-sekolah ini telah turut memartabatkan sistem pendidikan negara dan menyumbang kepada integrasi nasional, ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka ke sekolah-sekolah ini perlu diberi insentif misalnya subsidi yuran oleh kerajaan atau yuran yang mereka bayar untuk pendidikan anak-anak mereka diberikan pengecualian cukai.
Prof. Dr. Omar bin Yaakob
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan
Pertubuhan IKRAM Malaysia