Bagaimana menyebarkan kesyumulan Islam kepada masyarakat?

Dalam kita menghayati teks al-Imam asy-Syahid Hassan al-Banna pada Usulnya yang Pertama dalam Rukun al-Fahmu, Risalah at-Ta’alim (1934), ia menjadi modal utama dalam kita mengembangkan misi dakwah untuk dibawa kepada orang sekeliling kita tidak kira siapa pun mereka.

 

Usul ini mudah dan menjadi suatu polisi asas tentang apa yang ingin kita sampaikan. Bukanlah kita membawa perkara yang baru, tetapi kita meneruskan apa yang telah dibawa oleh Nabi Muhammad SAW kepada umatnya dan generasi penerus yang memikul dakwah ini membawa petunjuk Allah kepada umat manusia.

 

Teks Usul Pertama ialah:

“Islam adalah satu sistem yang bersepadu mencakupi seluruh aspek kehidupan. Islam adalah negara dan tanah air atau kerajaan dan rakyat. Islam adalah akhlak dan kekuatan atau rahmat dan keadilan. Islam adalah pengetahuan dan undang-undang atau ilmu dan kehakiman. Islam adalah benda dan harta atau pendapatan dan kekayaan. Islam adalah jihad dan dakwah atau tentera dan gagasan. Selain itu Islam juga adalah akidah yang sejahtera dan ibadah yang sahih.” (et.al)

 

Usul ini memberi jawapan kepada golongan sekular yang telah mengasingkan kehidupan seharian dengan ritual agama. Kalau hari ini terdapat insiden di Perancis dan Jerman yang menguatkuasakan arahan sekular dengan mengiyakan tindakan ke atas Muslimah yang berhijab ke tempat kerja kerana memakai pakai keagamaan di tempat kerja.

 

Betapa sempitnya idea sekular sehingga datang salah faham terhadap kehidupan seharian dengan kebaktian Muslimah tersebut dalam mengamalkan cara hidup Islam.

 

Islam juga tidak sekadar menjadi perbahasan atau amalan kerohanian sahaja sehingga golongan ateis menafikan kewujudan Tuhan kerana ia melangkaui akal dakwaan mereka. Malah Islam memberi jawapan kepada tiga persoalan yang tidak mampu para ateis memikirkan rasionalnya iaitu:

1. Dari mana kita (manusia) datang?

2. Untuk apa kita (manusia) hidup di dunia ini? dan

3. Ke mana kita (manusia) pergi selepas kematian?

(Usul Dakwah, Ust Abdul Karim Zaidan, 1979, Pustaka Salam). Mungkin jawapan mereka sekadar pada logik yang subjektif tanpa piawai yang sama.

 

Islam juga ada hadnya kerana itu Islam adalah guideline kepada manusia supaya kehidupan manusia tidaklah sewenang-wenangnya mengikut kehendak kemanusiaan sahaja seperti apa yang golongan liberal perjuangkan. Dengan keterbukaan idea liberal ini, sehingga menafikan larangan yang telah Allah putuskan dan kesannya menjerumuskan manusia kepada tipuan dunia di lembah kemaksiatan.

 

Seperti kata Imam Hassan al-Banna:

“Manhaj Islam adalah manhaj yang sempurna dan menyeluruh. Ia memuatkan sistem paling utama untuk memandu kehidupan umat secara umum, baik kehidupan lahiriah maupun batiniah. Inilah keistimewaan Islam apabila dibandingkan dengan ajaran lain, di mana ia (Islam) meletakkan undang-undang kehidupan umat ini di atas dua dasar pokok: mengambil yang maslahat dan menjauhi yang mudarat.” (Menuju Cahaya,1946)

 

Islam adalah risalah kehidupan keseluruhannya, Islam juga adalah risalah untuk seluruh umat manusia, sepertimana ia adalah risalah yang sesuai dilaksanakan di setiap sudut dunia sepanjang zaman. (Durus fi al-Fahmu wa al-‘Amal; Dr. Abdul Rahman Jumuah, 2007, Maktabah al-Wafa)

 

Firman Allah SWT:

وَمَآ اَرْسَلْنٰكَ اِلَّا رَحْمَةً لِّلْعٰلَمِيْنَ

Dan Kami tidak mengutus engkau (Muhammad) melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi seluruh alam.” (Surah al-Anbiya’: 117)

 

وَمَآ اَرْسَلْنٰكَ اِلَّا كَاۤفَّةً لِّلنَّاسِ بَشِيْرًا وَّنَذِيْرًا وَّلٰكِنَّ اَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُوْنَ

Dan Kami tidak mengutus engkau (Muhammad), melainkan kepada semua umat manusia sebagai pembawa berita gembira dan sebagai pemberi peringatan, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.” (Surah Saba’: 28)

 

Nabi Muhammad SAW sebagai Rasulullah (Pesuruh Allah) yang membawa risalah-Nya untuk diajarkan kepada umatnya. Daripada risalah inilah membawa keluar umatnya daripada belenggu jahiliah kepada menjadi sebaik-baik umat yang menegakkan syariat Allah di muka bumi ini.

 

Islam agama yang menyeluruh kerana ia menghukum seluruh urusan kehidupan manusia. Ia menghukum segala yang dilakukan oleh manusia dan perkara yang berkaitan dengan apa yang mereka lakukan.

 

Malah Allah memerintahkan manusia agar mengambil Islam itu secara keseluruhannya, bukan mengambil sebahagian tertentu sahaja kerana Allah telah menyempurnakan risalah ini bagi melengkapi keperluan kehidupan manusia sehingga berputus asa kaum kuffar untuk menyesatkan umat Islam kerana sempurnanya Islam.

 

Firman Allah SWT:

اَلْيَوْمَ يَىِٕسَ الَّذِيْنَ كَفَرُوْا مِنْ دِيْنِكُمْ فَلَا تَخْشَوْهُمْ وَاخْشَوْنِۗ اَلْيَوْمَ اَكْمَلْتُ لَكُمْ دِيْنَكُمْ وَاَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِيْ وَرَضِيْتُ لَكُمُ الْاِسْلَامَ دِيْنًاۗ

“…pada hari ini orang-orang kafir telah putus asa untuk (mengalahkan) agamamu, sebab itu janganlah kamu takut kepada mereka, tetapi takutlah kepada-Ku. Pada hari ini telah Aku sempurnakan agamamu untukmu, dan telah Aku cukupkan nikmat-Ku bagimu, dan telah Aku redai Islam sebagai agamamu…” (Surah al-Maidah: 3)

 

يٰٓاَيُّهَا الَّذِيْنَ اٰمَنُوا ادْخُلُوْا فِى السِّلْمِ كَاۤفَّةً ۖوَّلَا تَتَّبِعُوْا خُطُوٰتِ الشَّيْطٰنِۗ اِنَّهٗ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِيْنٌ

Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah ke dalam Islam secara keseluruhan, dan janganlah kamu ikuti langkah-langkah syaitan. Sungguh, ia musuh yang nyata bagimu.” (Surah al-Baqarah: 208)

 

Sebagai dorongan dan motivasi buat kita dalam memahami dan mendidik masyarakat tentang pentingnya kefahaman terhadap kesyumulan Islam ini dengan memetik penulisan Imam Hasan al-Banna dalam Risalah Nahwa an-Nur (Menuju Cahaya, 1946);

 

“Manhaj Islam telah berhasil mencetak umat paling kuat, paling utama, paling sarat kasih sayang, dan paling diberkati di antara bangsa-bangsa yang ada”. (Keistimewaan Orentasi Islam, et.al)

 

“Dengan kesucian manhaj Islam dan telah bersemayamnya manhaj ini dalam dada manusia. menjadikannya mudah diterima semua kalangan, mudah difahami, dan mudah diikuti pesan-pesannya. Apalagi Islam juga membenarkan bahkan menanamkan kebanggaan berbangsa dan memberikan bimbingan kepada manusia agar mencintai tanah airnya. Mengapa demikian? Kerana kita harus membangunkan kehidupan ini di atas nilai-nilai kehidupan kita sendiri, tanpa perlu mengambil milik orang lain. Dan pada yang demikian itulah kita dapatkan hakikat kemerdekaan sosial dan kemuliaan hidup, setelah kemerdekaan secara politik.” (et.al)

 

Kerana kesyumulan Islam inilah, pembawaan dakwah kita juga mencakupi pelbagai sudut pendekatan. Ikhwanul Muslimin dikenali oleh masyarakatnya dengan pelbagai rupa; dakwah salafiyyah, tarikat sunniyyah, hakikat sufiyyah, institusi politik, kumpulan riadah, perikatan ilmiah dan pengetahuan, syarikat ekonomi dan fikrah ijtima’iyyah.

 

Ikhwan telah membawa risalah Islam ini dalam segenap lapisan masyarakat dengan pelbagai pendekatan. Daripada peringatan keagamaan serta majlis zikir sehinggalah di pentas politik, daripada kebajikan kemasyarakatan sehinggalah ke pembangunan ekonomi, daripada majlis ilmiah isu semasa sehinggalah ke acara sukan.

 

Semua ini diperlakukan secara jama’i, dengan kemahiran bidang khusus masing-masing, kita menerapkan nilai-nilai Islam dalam pentas bidang yang kita ceburi. Sekiranya kita di medan akademik, penerapan nilai ketinggian ilmu di sisi Islam itu disuburkan. Sekiranya kita di medan ekonomi, kita mengedepankan cadangan ekonomi yang lebih berkebajikan untuk manfaat semua seperti yang diajarkan dalam Islam.

 

Sekiranya kita di medan agama, kita membetulkan perkara yang sudah terbiasa oleh masyarakat dan membiasakan yang sunnah. Maka dengan kelebihan tersebut, kita yang meletakkan Islam sebagai manhaj kehidupan, pastinya akan menerapkan nilai-nilai Islam serta kefahaman Islam dalam kelebihan ini.

 

Oleh kerana kesempurnaan Islam inilah yang membuatkan kita beriman dengannya, kita berdakwah kepadanya, kita mengumpulkan manusia menaungi di bawah kesejahteraannya, kita bertarbiah atasnya dan kita cuba untuk mengikuti setiap jejak langkah (guideline) kesempurnaannya dan tidak pula melangkaui batas-batasnya. 

 

Islam bukan pada juzuk tertentu sahaja. Sedangkan perangkuman Islam di setiap juzuk tersebut sebagai keluasan ilmu Allah dan rahmat-Nya terhadap manusia agar tidak dibebankan bagi seseorang untuk mempelajari semua hal yang khusus dalam ajaran Islam.

 

Seruan (dakwah) ke arah kesempurnaan ini (Islam yang syumul) memerlukan hikmah dan mau’izah al-hasanah (pengajaran atau pendekatan yang baik) sesuai dengan tahap penerimaan masyarakat. Ini kerana masyarakat tidak dapat mempelajari Islam seluruhnya secara serentak. Dan disebabkan itu para ulama mengelaskan pengajaran Islam itu secara juzuk agar mudah untuk masyarakat mempelajari dan mengikutinya. 

 

Seperti ucapan Imam Hassan al-Banna dalam Risalah Dakwatuna:

“Saudara, dakwah kita merupakan dakwah yang menggabungkan seluruh elemen yang dinyatakan sebagai Islam. Perkataan Islam pula mempunyai makna yang amat luas bukan sebagaimana yang difahami oleh manusia hari ini. Kita berkeyakinan Islam mempunyai suatu pengertian yang luas. Islam mengatur seluruh aspek hidup manusia. Islam memberikan jawapan kepada setiap perkara.”

 

“Islam telah meletakkan suatu sistem yang kemas dan rapi bagi setiap aspek. Islam tidak pernah berpeluk tubuh dalam berhadapan pelbagai masalah semasa. Islam telah menggariskan sistem yang perlu bagi kepentingan manusia. Sesetengah pihak tersilap apabila memahami Islam ini hanya terbatas kepada beberapa aspek ibadat atau sudut kerohanian sahaja. Malah mereka menyempitkan fahaman dan diri mereka sendiri dalam ruang lingkup yang amat sempit ini.” (Islam Kita)

 

“Benar, dakwah kita adalah Islam itu sendiri, merangkumi seluruh aspek yang terkandung dalam istilah Islam itu sendiri. Fahamilah kandungan Islam ini. Cuma fahaman anda ini mestilah berlandaskan Kitab Allah, sunnah rasul dan sejarah para salafussoleh. Kitab Allah merupakan asas dan landasan kepada Islam. Sunnah rasul pula menjadi pentafsir kepada Kitab Allah. Sementara sejarah hidup salafussoleh yang menjadi pelaksana kepada segala perintah dan segala ajarannya merupakan contoh praktikal kepada segala perintah dan ajaran ini.” (et.al)

 

Kita perlu menggembleng setiap kemahiran dan usaha yang kita mampu laksanakan dalam mendidik masyarakat dalam membentuk sebuah sistem kehidupan yang dibawa dalam Islam.

 

Kita perlu memanfaatkan para ilmuan dan pakar-pakar bidang yang ada dalam menerapkan nilai-nilai Islam melalui bidang masing-masing dalam pendidikan masyarakat dan seterusnya berusaha bersama-sama menghasilkan suasana sistem kehidupan yang membantu dan membangunkan masyarakat sepertimana tujuannya Islam ini diturunkan kepada umat manusia sebagai rahmatan lil-‘alamin.

 

Mohd Syariffudin Abu Kassim

Penafian: Penulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak menggambarkan pendirian IKRAM.

Ikuti Rancangan Jom Sembang Bersama Ustaz Dr Syazalie Hirman setiap Jumaat di TV IKRAM.

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Sumbangan

Untuk membuat sebarang sumbangan anda dialu-alukan untuk menyumbang secara terus kepada mana-mana institusi IKRAM.

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia