Bagaimana Menjadi Wanita Muslimah Dirindui Keluarga?

Bagaimana Menjadi Wanita Muslimah Dirindui Keluarga? | IKRAM

Siapa yang tidak kenal dengan Khalifah Harun ar-Rashid?

Khalifah kelima Dinasti Abbasiyah, yang begitu karismatik dan berjaya pada era kepemimpinannya. Kepintaran dan keperibadiannya membawa nama Islam begitu tinggi dalam peradaban. Namun, pernahkah anda mendengar tentang ibunda beliau?

Ibunda beliau bernama Jurasyiyah binti ‘Ata’ yang lebih dikenali sebagai Khayzuran. Beberapa sumber menceritakan kepintaran dan kepimpinan beliau yang luar biasa, selain kecintaan beliau terhadap ilmu yang begitu terserlah dalam mendidik anak-anaknya.

Beliau selalu menemani dan menghantar anak-anaknya berguru kepada para ulama walaupun terpaksa menempuh perjalanan ke Madinah. 

Tentu khalifah Harun ar-Rashid merindui kenangan masa kecil saat ibunya menemani beliau mendalami ilmu agama. Kenangan itu memberi kesan yang mendalam dalam membina keperibadiannya sehingga beliau menjadi khalifah yang begitu disegani.

Begitulah contoh teladan seorang ibu, seorang wanita yang menciptakan kenangan dan kerinduan bagi anaknya. Bagaimana pula kita dapat menjadi susuk wanita Muslimah yang dirindui sepertinya?

1. Akhlak yang menautkan hati

Mungkin kita seorang isteri, atau seorang ibu kepada beberapa orang anak, atau seorang kakak kepada beberapa orang adik, atau mungkin seorang adik kepada abang dan kakak. Tidak kira siapa kita dalam sebuah keluarga, saya yakin akhlak mulia dan kepribadian terpuji yang akan dirindui oleh ahli keluarga kita.

Ingatkah kita akan satu perkara tentang akhlak yang sangat sederhana tetapi begitu penting? Baginda Nabi SAW menyebutnya dalam sebuah hadis (maksudnya):

“Daripada Abu Dzar, Rasulullah SAW bersabda: Jangan sekali-kali kalian menganggap remeh suatu kebajikan, meskipun hanya berupa keceriaan wajah ketika bertemu dengan kawanmu.” (HR Muslim, no. 2626)

Oleh sebab itu, hadirlah di hadapan ahli keluarga kita dengan senyuman yang manis yang membuat ahli keluarga kita selesa dan dapat mencipta suasana yang ceria dengan kehadiran kita.

2. Prihatin terhadap ahli keluarga

Sikap seterusnya yang perlu kita miliki ialah keprihatinan yang tinggi terhadap ahli keluarga. 

Biasakan selalu bertanya khabar, saling berkongsi cerita suka duka dan saling bertegur sapa. Keprihatinan dan pekerti mulia ini akan membuat ahli keluarga kita rindu untuk berkumpul dan berjumpa.

Termasuk dalam konsep prihatin terhadap ahli keluarga ialah peka dengan ahli keluarga yang lain. Kemahiran membaca emosi dan bahasa tubuh juga diperlukan supaya kita sensitif apabila ada antara ahli keluarga kita yang menghadapi masalah kewangan, masalah rumah tangga, kekangan dalam pelajaran di sekolah dan kampus, masalah kesihatan dan sebagainya.

Di samping itu, keprihatinan dan kasih sayang ini perlu ditunjukkan dengan cara saling mengingati secara baik dalam perkara-perkara kebaikan dan akhirat, juga saling menasihati untuk mengelakkan diri daripada lalai dengan kesenangan dunia.

3. Mengutamakan ahli keluarga yang lain

Tidak dapat dinafikan, kita ada keperluan dan komitmen masing-masing. Namun, apabila kita dapat mengutamakan ahli keluarga, kadangkala mengalah dan memberi laluan boleh membawa solusi dalam ragam hidup sebagai sebuah keluarga.

Konsep ini boleh diaplikasikan dengan memberikan bantuan kewangan kepada ahli keluarga, mengambil cuti untuk menjaga ahli keluarga yang sakit, membantu menyelesaikan urusan harian, berkorban masa untuk meluangkan quality time berkumpul bersama ahli keluarga dan banyak contoh lainnya.

Sifat ini diceritakan oleh Allah SWT dalam Surah al-Hasyr ayat ke-9:

وَيُؤْثِرُونَ عَلَىٰٓ أَنفُسِهِمْ وَلَوْ كَانَ بِهِمْ خَصَاصَةٌۭ ۚ وَمَن يُوقَ شُحَّ نَفْسِهِۦ فَأُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْمُفْلِحُونَ

“…dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya.

Namun, kita perlu ingat ithar bukan bermakna menzalimi diri sendiri atau tidak memerhatikan kepentingan diri sama sekali. Akan tetapi, kita cuba memahami keperluan ahli keluarga lain dan membantu mereka dalam batas kemampuan kita.

4. Mencontohi ketabahan wanita-wanita Gaza

Saudara-saudari pembaca yang budiman, dalam usaha kita meningkatkan kualiti keperibadian diri dan kesejahteraan keluarga agar menjadi wanita yang dirindui, jangan sesekali kita lupakan saudara dan saudari kita hari ini di bumi Palestin.

Betapa tabah dan teguh para wanita Gaza berdepan dengan ujian yang sedang mereka hadapi. 

Tidak dapat dibayangkan, betapa menyayat hati melihat satu per satu ayah, ibu, suami, anak dan ahli keluarga mereka syahid. Bahkan, ada yang akhirnya hidup sendirian, sementara seluruh ahli keluarganya yang lain syahid dibunuh oleh tentera Zionis. 

Yang lebih luar biasa adalah kalimah yang sentiasa keluar daripada bibir mereka iaitu sebuah doa yang diabadikan dalam al-Quran, Surah Ali Imran ayat 173:

اَلَّذِيْنَ قَالَ لَهُمُ النَّاسُ اِنَّ النَّاسَ قَدْ جَمَعُوْا لَكُمْ فَاخْشَوْهُمْ فَزَادَهُمْ اِيْمَانًاۖ وَّقَالُوْا حَسْبُنَا اللّٰهُ وَنِعْمَ الْوَكِيْلُ

“(Yaitu) orang-orang (yang mentaati Allah dan Rasul) yang ketika ada orang-orang mengatakan kepadanya, ‘Orang-orang (Quraisy) telah mengumpulkan pasukan untuk menyerang kamu, karena itu takutlah kepada mereka,’ ternyata (ucapan) itu menambah (kuat) iman mereka dan mereka menjawab, ‘Cukuplah Allah (menjadi penolong) bagi kami dan Dia sebaik-baik pelindung.”

Semoga Allah SWT berkenan menjadikan kita juga memiliki keteguhan hati dan tawakal yang tinggi kepada Allah seperti para wanita di Gaza. 

Untuk mengakhiri tulisan ini, ayuh kita ciptakan memori indah dalam interaksi bersama keluarga. 

Kita serlahkan kesyukuran kepada Allah SWT dengan menjadi wanita yang berakhlak mulia, yang dirindui oleh seisi keluarga, yang membela kesejahteraan keluarga dan bertungkus lumus mengamalkan Islam bersama-sama agar dapat berkumpul semula di jannatul firdaus kelak. 

Ustazah Sallawahiu Mohd Salleh
Ketua Wanita
Pertubuhan IKRAM Malaysia

Kredit foto: Ivan Andriavani

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia