Cara Wanita Masuk Syurga, Ada 4 Syarat

Cara Wanita Masuk Syurga, Ada 4 Syarat | IKRAM

“SESUNGGUHNYA dunia itu adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita solehah.” (Hadis Riwayat Muslim)

Lelaki terkait dengan bebanan tanggungjawab yang lebih banyak berbanding wanita, yang dijadikan mereka sebaik-baik kejadian dan sangat mulia di sisi Allah SWT sebagai manusia. 

Walaupun pada dasarnya kaum wanita adalah penghuni paling ramai di neraka, namun mereka sememangnya sangat mudah masuk syurga berbanding lelaki sekiranya mereka memahami ajaran agamanya.

Wanita, bukan mudah menjadi wanita pada zaman kini. Di tengah arus globalisasi, wanita harus menjadi multiperanan di rumah mahupun di luar rumah. Hal ini berpotensi menghanyutkan para wanita ke mandala atau ruang lingkup penuh cabaran.

Namun, beruntunglah wahai wanita-wanita yang beriman. Dalam Islam, Allah meninggikan martabat mereka sehingga Allah membuat tawaran istimewa kepada para wanita. Betapa inilah peluang keemasan kepada wanita. Rugilah jika tawaran hebat ini dilepaskan begitu saja. 

Para wanita boleh memasang impian untuk menjadi bidadari syurga dan sensitif dengan segala transformasi di sekitar kehidupan beragama. Allah SWT hanya menempatkan empat syarat sebagai cara wanita untuk masuk syurga.

Syarat 1: Pelihara Solat

Pertama adalah melakukan solat fardu lima waktu. Solat merupakan rukun Islam kedua dan menjadi amalan pertama yang akan dihitung pada hari kiamat kelak. 

Menunaikan kewajipan solat adalah tunjang kepada pelbagai kebaikan dan rahmat serta reda Allah diperoleh menerusi amalan ini.

Baik solatnya, maka baiklah semuanya. Hal ini bersesuaian dengan Surah al-Ankabut ayat 45 yang membawa maksud:

“Sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan yang keji dan mungkar.”

Menunaikan solat dengan sempurna dapat memelihara diri daripada melakukan perkara keji dan mungkar. Diriwayatkan daripada Jabir r.a. katanya, Rasulullah SAW bersabda maksudnya:

“Perumpamaan solat lima waktu ialah seperti seseorang yang mandi di sebatang sungai yang mengalir di hadapan rumahnya sebanyak lima kali sehari.” (Hadis Riwayat Muslim)

Syarat 2: Puasa Ramadan

Syarat kedua adalah berpuasa pada bulan Ramadan. Allah SWT telah mewajibkan umat Islam untuk melaksanakan ibadah puasa. Bertepatan dalam Surah al-Baqarah ayat 183, Allah Taala berfirman yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.” 

Puasa adalah ibadat yang sangat istimewa di sisi Allah SWT. Allah menjanjikan ganjaran yang besar kepada orang berpuasa. Menerusi Riwayat Bukhari dan Muslim, Rasulullah SAW bersabda:

“Allah SWT berfirman: “Semua amal perbuatan anak Adam adalah untuknya kecuali puasa, ia untuk-Ku dan Aku akan membalasnya.

Kelebihan berpuasa menjadi juzuk utama kepada pembangunan rohani, spiritual malah memberi kelebihan kepada kesihatan tubuh badan manusia. 

Selama satu bulan pada bulan Ramadan, sistem pencernaan dapat direhatkan buat sementara waktu dan tenaga tubuh boleh berfokus kepada peningkatan fungsi otak. 

Selain itu, pada waktu ini seluruh wanita Islam yang berpuasa dapat mengurangkan berat badan, mengurangkan tekanan darah, mengawal paras gula dalam darah dan meningkatkan kepekaan fungsi insulin dalam tubuh.

Bukankah kesemua ini adalah kebahagiaan buat para wanita? Menjadi bahagia menerusi tubuh badan yang sihat dan terus berkomitmen dengan gah selepas itu. 

Syarat 3: Jaga Maruah

Selain itu, syarat ketiga yang ditetapkan Allah SWT untuk para wanita adalah menjaga maruah diri.

Wanita solehah sentiasa berusaha menjaga maruah dirinya. Mereka sentiasa menghargai diri mereka dengan menghiasi diri dengan akhlak Islam dan sifat-sifat terpuji yang boleh melindungi dirinya dari kemurkaan Allah SWT.

Sebagai contoh, apabila hendak keluar rumah pakaian yang dikenakan sentiasa menutup aurat, tidak berlebih-lebihan bersolek dan berwangi-wangian.

Ketika berurusan dengan orang juga dijaganya batas pergaulan, menjaga lidah, mata dan hati.

Jagalah aurat wahai wanita Muslimah sekalian kerana syurga mudah diraih jika kalian benar-benar mahukannya. Bukan berfokus kepada menjaga maruah diri, aurat sahaja, malah tentang kemaluannya agar tidak berzina dengan lelaki lain.

Wanita mampu diapresiasikan sebagai wanita cerdik apabila dia mampu dan berusaha ke arah kebaikan tersebut. Mereka berusaha setiap hari mendalami ilmu mengenai Islam, malah rajin untuk mengkaji tafsir al-Quran dan hadis Nabi.

Syarat  4: Taat Suami 

Selain itu, syarat terakhir adalah mentaati perintah suami. Rasulullah SAW bersabda yang membawa maksud:

“Sebaik-baik isteri ialah yang dapat menyenangkan hati suaminya apabila engkau (suami) melihatnya dan apabila disuruh dia menurut perintahmu, dan dia dapat menjaga kehormatan dirinya dan hartamu ketika engkau tiada di rumah.” (Riwayat Thabrani)

Wanita perlu mentaati perintah suami selagi mana tidak menderhakai Allah. Hal ini bermakna, ketaatan isteri tersebut tidak mendatangkan murka Allah.

Menurut Dr Yusuf al-Qaradawi menyatakan dalam kitab beliau, Fatawa Mu’asarah, bagi wanita bujang, wajib untuk wanita mentaati ibu bapanya. Namun tanda aras tersebut berubah kewajipannya setelah seorang wanita berkahwin.  

Daripada Anas r.a., Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Apabila seorang wanita (isteri) itu melakukan solat lima waktu, berpuasa pada bulan Ramadan, menjaga harga dirinya dan mentaati perintah suaminya, maka di akhirat kelak, dia dipanggil untuk masuk ke syurga daripada mana-mana pintu yang dia sukai (sesuai dengan pilihannya).” (Riwayat Imam Ahmad dalam Musnad Ahmad)

Bertuahnya Wanita

Tuntasnya, wanita adalah insan yang sangat bertuah. Bayangkan seorang lelaki perlu mengorbankan nyawanya sendiri untuk berjihad fisabilillah dan perlu mengangkat pedang untuk mendapatkan syurga.

Namun, para wanita Islam yang memenuhi keempat-empat syarat ini dijanjikan Allah dengan syurga, malah boleh pilih pintu syurga yang mahu dimasukinya, sebuah tawaran luar biasa daripada Allah. 

Persoalannya, sejauh mana wanita mahu menyahut cabaran ini?

Penafian: Penulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak menggambarkan pendirian IKRAM.

Ikuti Rancangan Jom Sembang Bersama Ustaz Dr Syazalie Hirman setiap Jumaat di TV IKRAM.

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Sumbangan

Untuk membuat sebarang sumbangan anda dialu-alukan untuk menyumbang secara terus kepada mana-mana institusi IKRAM.

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia