Amal Ramadan kerana pahala atau reda Allah?

Apabila datangnya bulan Ramadan, kita akan dapat melihat betapa ramainya manusia boleh hidup dalam disiplin beragama.

 

Bermula dari seawal pagi sebelum masuknya waktu subuh, kita dituntut untuk bersahur meskipun dengan hanya seteguk air sahaja. Sebelum itu, ada juga yang berkesempatan mendirikan solat dua rakaat lalu berdoa merintih pada-Nya.

 

Setelah itu, kita mendirikan solat fardu subuh dan bermulalah misi kita menahan lapar dan dahaga dan menahan diri daripada melakukan perkara yang membatalkan puasa sehinggalah terbenamnya matahari.

Dalam pada itu, ada yang bersedekah memberi makan pada orang berpuasa, ada yang rajin bertadarus membaca al-Quran dan pelbagai lagi peluang kebaikan yang kita lakukan dalam bulan Ramadan.

Menjadi persoalan, apakah kita lakukan semua ini ikhlas kerana Allah SWT atau hanya semata-mata mengharapkan ganjaran pahala yang dijanjikan oleh-Nya kepada kita? Jika benar kita melakukan kebaikan hanya untuk mencari pahala, apakah wujud kesalahan beramal hanya kerana mengharapkan pahala daripada Allah ?

Hakikatnya, tidaklah salah sekiranya kita beramal soleh dalam bulan Ramadan untuk mengharapkan ganjaran pahala daripada Allah Azzawajalla. Jika salah, mengapa Allah dan Rasul-Nya menawarkan kepada manusia pelbagai ganjaran pahala yang terdapat dalam bulan Ramadan?

Soal pahala adalah perkara ghaib yang berupa lembaran keredaan Allah dan bukannya berupa bentuk ganjaran material. Sama juga seperti kita beramal untuk mengejar syurga,  yang mana syurga itu adalah tanda kasih sayang dan keredaan Allah buat hamba-Nya.

Ada juga yang mendakwa beramal mengejar pahala adalah syirik tersembunyi kerana tidak ikhlas beramal dan beramal bukan kerana Allah tetapi kerana ganjarannya. Dakwaan ini tidak benar dan salah sama sekali.

 

Ini kerana persoalan tentang pahala adalah hal yang tidak terpisah daripada Allah, reda dan rahmat-Nya. Kesemuanya berkait dengan Allah. Sama ada kita berkehendak pahala daripada Allah atau kita berkehendak keredaan-Nya, kedua-duanya termasuk dalam makna ikhlas dalam beramal.

 

Allah Maha Mengetahui akan kelemahan manusia yang memerlukan motivasi dalam beramal. Maka dengan itu, Allah menghadiahkan kepada hamba-Nya bulan Ramadan, yang mana dalam bulan ini terdapat pelbagai tawaran dan ganjaran istimewa buat hamba-Nya yang tidak terlepas daripada melakukan salah dan dosa.

 

Namun begitu, Allah tidaklah rugi mahupun untung pada amal para hamba-Nya. Ini kerana, Dia tidak bergantung pada sesiapa pun. Dalam sebuah hadis riwayat Bukhari, baginda Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

 

“Barang siapa yang berpuasa Ramadan dalam keadaan penuh keimanan dan ‘ihtisab’, maka akan diampunkan baginya dosanya yang terdahulu.”

 

Dalam kitab Fath al-Bari, Imam al-Hafidz Ibnu Hajar ketika membahaskan maksud ihtisab, beliau menukilkan maksud yang diberikan oleh Imam al-Khattabi iaitu satu keinginan yang kuat iaitu dia berpuasa dalam rasa keinginan kuatnya untuk mendapat pahalanya.

 

Selain itu, Imam an-Nawawi dalam Syarah Sahih Muslim menyatakan bahawa ihtisab juga membawa erti ikhlas untuk Allah dan berkehendakkan reda-Nya. Ini menunjukkan soal ikhlas, reda dan pahala adalah satu maksud dan tujuan yang sama, tidak terpisah antara pahala dan reda Allah SWT.

 

Malah jika benar keinginan beramal untuk beroleh pahala itu dilarang atau ditegah, maka apa tujuannya Allah SWT menawarkan pelbagai ganjaran dan sudah pasti baginda Nabi SAW tidak akan kerap mengulangi perihal ganjaran pahala kepada para sahabat dan umat manusia.

 

Semua tawaran dan tarikan pahala yang dijanjikan oleh Allah SWT ini terlalu banyak disebutkan dalam al-Quran dan hadis Nabi SAW dalam pelbagai jenis keadaan. Misalnya ganjaran bagi mereka yang berjuang di jalan Allah, dalam Surah an-Nisaa’ ayat 74, Allah SWT berfirman yang bermaksud :

 

“…Dan barang siapa berperang di jalan Allah lalu gugur atau memperoleh kemenangan, maka akan Kami berikan pahala yang besar kepadanya.”

 

Dalam firman-Nya yang lain dalam surah al Fath ayat 10 yang bermaksud :

 

“Bahawa orang-orang yang berjanji setia kepadamu (Muhammad), sesungguhnya mereka hanya berjanji setia kepada Allah. Tangan Allah di atas tangan-tangan mereka, maka barang siapa melanggar perjanjian itu, sesungguhnya dia melanggar janjinya sendiri, dan barang siapa menepati janjinya kepada Allah, maka Dia akan memberinya pahala yang besar.”

 

Terdapat pelbagai lagi perihal tawaran pahala Allah kepada hamba-Nya. Lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan, pelbagai tawaran dan ganjaran pahala yang dijanjikan oleh Allah buat hamba-Nya.

 

Oleh itu, tidaklah menjadi satu kesalahan sekiranya kita beramal untuk mencari ganjaran pahala yang dijanjikan oleh-Nya, kerana setiap ganjaran yang dijanjikan oleh Allah sudah pasti ada keredaan dan rahmat daripada-Nya. Apa yang penting ialah mahu melakukan kebaikan, bukan hanya tunggu keadaan sempurna, baru hendak melakukan kebaikan.

 

Jangan ada perangai menyindir, memperli atau memperlekehkan mana-mana individu yang mahu melakukan kebaikan pada bulan Ramadan kerana mengharapkan pahala. Sebaliknya, sokonglah segala usaha baik ini dan berdoa agar kita juga akan menjadi seperti mereka.

 

Dan yang lebih mustahak, mohonlah kekuatan pada Allah agar kita istiqamah (berterusan) melakukan ibadah, bukan hanya pada bulan Ramadan sahaja. Semoga Allah mengampuni kita semua.

 

Muhammad Faidhi Azis
Pegawai Masjid dan Guru Takmir

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia