SERI KEMBANGAN – Teknologi AI tidak harus dilihat sekadar alat automasi, sebaliknya ia juga sebagai pengganda daya (force multiplier) yang berkeupayaan melonjakkan kualiti gerak kerja dakwah, menurut Pengerusi Transformasi Digital, Pertubuhan IKRAM Malaysia, Haji Azlishah Azizan.
Beliau berkata demikian ketika ucapan pembukaan bagi sebuah sesi latihan khas bertajuk “Navigating Da’wah in the Digital Frontier: AI vs. Human-Led Engagement” yang dihadiri 66 orang peserta di Dewan Utama IKRAM di sini, sebagai satu langkah proaktif IKRAM dalam memacu kesiapsiagaan digital.
Mengangkat tema “Memanfaatkan AI untuk Memperkasakan Individu dan Organisasi”, beliau mengingatkan para peserta agar sentiasa berpegang kepada niat yang ikhlas, integriti, pematuhan etika, serta amanah dalam penggunaan teknologi digital.
Para peserta sesi latihan ini dihadiri oleh pelbagai institusi dan sayap IKRAM, antaranya Wanita IKRAM, IKRAM Muda, Agenda Nasional (AN), Pendidikan Masyarakat (PM), termasuk KADRI, Hidayah Centre Foundation (HCF), IKRAM Musleh, MyCARE serta wakil IKRAM Kawasan.
Program separuh hari ini merupakan inisiatif rentas sektor hasil usahasama strategik JK Transformasi Digital dan Agenda Nasional IKRAM, khusus bagi memperkasa pimpinan dan wakil institusi dalam memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (Artificial Intelligence – AI) secara beretika, strategik, dan berkesan tanpa mengabaikan nilai kemanusiaan.

Sesi perkongsian dan bengkel praktikal dikendalikan sepenuhnya oleh Penyelidik UIAM merangkap Pakar Strategi Komunikasi Digital & Wacana Islam, Sdr. Haekal Adha Al Giffari. Melalui modul interaktif yang dibentangkan, peserta didedahkan kepada:
- Formula Utama: Konteks + Kemahiran (Skills): Memahami cara kerja model AI (Claude) sebagai pembantu analitikal, manakala manusia kekal bertindak sebagai pembuat keputusan (“Claude Drafts, IKRAM Decides”).
- Retorik Dakwah Moden: Menyeimbangkan keupayaan penjanaan teks AI dengan elemen penting dakwah iaitu kredibiliti (ethos), empati kemanusiaan (pathos), dan logik fakta (logos).
- Kerangka 4D AI Fluency: Kemahiran Delegating, Describing, Discernment dan Developing dalam tugasan harian pertubuhan.
- Aplikasi Praktikal NGO: Latihan hands-on menyelesaikan cabaran komunikasi NGO termasuk pembinaan rubrik impak, persona komuniti sasaran, penyesuaian nada bahasa laporan mengikut audiens, serta integrasi rujukan khazanah ilmiah Islam.

Majlis diakhiri dengan ucapan penutup dan penyampaian cenderahati penghargaan kepada penceramah yang disempurnakan oleh Naib Presiden IKRAM merangkap Pengerusi JK Agenda Nasional, Dr. Sabariah Baharun.

Beliau menzahirkan harapan agar kemahiran yang diperoleh dapat diterjemahkan terus ke dalam gerak kerja dakwah dan pemerkasaan advokasi sosial agensi masing-masing di lapangan.




