PORT DICKSON – Prof. Dr. Hanim Salleh, Ahli Jawatankuasa Pusat (JKP) Agenda Nasional, Pertubuhan IKRAM Malaysia menjadi antara salah seorang pakar rujuk Modul Memasyarakatkan Perlembagaan oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN).
Sijil pengiktirafan itu disampaikan oleh Puan Suraya Wen, Pengarah Institut Kajian dan Latihan Integrasi Nasional (IKLIN) di bawah JPNIN, ketika menyertai Bengkel Pembangunan Kerangka Penilaian Aktiviti Modul Memasyarakatkan Perlembagaan Persekutuan dan Program JPNIN di sini pada 17-18 Oktober lalu.
Dalam bengkel yang disertai 21 peserta itu, antara objektifnya adalah untuk membina kerangka penilaian yang dapat menilai kejayaan program JPNIN bukan hanya melalui bilangan program, jumlah peserta atau kadar perbelanjaan.
Bengkel ini turut mendalami pendekatan Social Return on Investment (SROI) bagi menilai nilai sosial yang terhasil berbanding pelaburan program JPNIN, manakala penilaian ROV (Return of Value) pula meneliti sumbangan program kepada penghayatan nilai-nilai murni ke arah perpaduan negara.

Melalui pelbagai input peserta, hasil bengkel ini diharap dapat membina kerangka penilaian yang menggabungkan SROI dan ROV serta disokong oleh SIA (Social Impact Assessment) untuk menilai kesan sosial program secara menyeluruh.
Para peserta bengkel kebanyakannya terdiri daripada pensyarah universiti dalam pelbagai kepakaran, termasuk pegawai kanan Kementerian Perpaduan Negara dan syarikat swasta berkaitan.
Oleh itu, Prof. Hanim yang juga Profesor di Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) merakamkan penghargaan kepada JPNIN atas kepercayaan kepadanya bagi memberikan input positif seterusnya menambah baik keberkesanan dan impak Modul Memasyarakatkan Perlembagaan.
“Selain itu, IKRAM menyambut baik pendekatan agensi kerajaan terutamanya JPNIN yang telah mula melaksanakan penilaian bagi setiap program dilaksanakan. Perkara ini bagi memastikan program di bawahnya mencapai objektif dicadangkan,” jelas beliau merangkap Ketua Kluster Kepimpinan (Agenda Nasional).




