BANGI – Penghormatan terhadap institusi diraja perlu dibina berasaskan ilmu dan kefahaman yang tepat, khususnya mengenai sejarah, kedudukan serta peranannya dalam sistem pemerintahan negara, bukan semata-mata sentimen.
Presiden IKRAM merangkap Timbalan Pengerusi Himpunan Gerakan Islam Malaysia (HIKAM), Haji Badlishah Sham Baharin berkata, kefahaman tersebut semakin penting dalam kalangan masyarakat, terutama generasi muda yang membesar dalam persekitaran digital dengan maklumat dan pandangan tersebar begitu pantas.

Menurut beliau, usaha memperkukuh institusi diraja perlu bermula dengan kefahaman yang tepat terhadap Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang tubuh negeri masing-masing.
“Penghormatan terhadap institusi diraja tidak dapat dipisahkan daripada penghormatan terhadap Perlembagaan,” katanya ketika menyampaikan ucapan pembukaan Dialog Ummah 2.0 bertemakan Memperkukuh Institusi Diraja, Mensejahterakan Ummah di Bangi Resort Hotel, di sini, semalam.
Beliau berkata, institusi diraja bukan sekadar warisan sejarah, sebaliknya merupakan sebahagian daripada asas pembinaan dan identiti negara yang telah melalui pelbagai perubahan zaman, daripada era kesultanan Melayu, penjajahan dan perjuangan kemerdekaan hingga terbentuknya sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen.

Sehubungan dengan itu, beliau menegaskan kepentingan menghayati prinsip Rukun Negara, khususnya Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan serta Kedaulatan Undang-undang, yang saling melengkapi dalam membina negara yang stabil, adil dan bersatu padu.
Institusi diraja melangkaui kepentingan politik
Badlishah Sham berkata, institusi diraja sewajarnya terus dihormati sebagai institusi negara yang melangkaui kepentingan politik kepartian.
Pada masa yang sama, perbezaan pandangan dan persoalan masyarakat perlu ditangani melalui perbincangan ilmiah yang beradab serta bertanggungjawab.
“Menghormati institusi tidak bererti kita berhenti bertanya atau berfikir. Sebaliknya, setiap persoalan perlu dikemukakan berasaskan fakta, ilmu dan rasa hormat,” katanya.
Beliau berpandangan, pendekatan sedemikian penting bagi memastikan perbincangan berkaitan institusi diraja tidak menjadi punca permusuhan, sebaliknya membuka ruang kepada masyarakat untuk meningkatkan kefahaman dan persefahaman.
Dalam konteks Malaysia yang terdiri daripada pelbagai bangsa, agama dan budaya, institusi diraja turut mempunyai kedudukan sebagai lambang kedaulatan dan perpaduan negara.
Justeru, usaha memperkukuh institusi tersebut perlu berjalan seiring dengan usaha memperkukuh hubungan serta persefahaman dalam kalangan rakyat.

Peranan masyarakat sivil memperkukuh kefahaman rakyat
Beliau berkata, masyarakat sivil, termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), turut mempunyai tanggungjawab membantu rakyat memahami institusi negara serta menggalakkan perbincangan yang matang.
Menurutnya, Malaysia yang sejahtera perlu dibina berasaskan nilai amanah, keadilan, kesederhanaan, perpaduan dan kasih sayang.
Kesejahteraan rakyat juga memerlukan negara yang aman, institusi yang berfungsi dengan baik serta masyarakat yang saling mempercayai.
Mengulas kepentingan mengurus perbezaan dalam masyarakat, Badlishah berkata, Islam mengajar umatnya menghadapi perbezaan dengan ilmu, hikmah dan akhlak yang baik.
Beliau merujuk Surah al-Hujurat, ayat 13, yang mengingatkan bahawa manusia dijadikan berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya saling mengenali.
Katanya, perbezaan bukan alasan untuk bermusuhan, sebaliknya peluang untuk masyarakat saling mengenali, memahami dan menghormati.
Dialog Ummah 2.0 dianjurkan HIKAM bagi meneliti hubungan antara Islam, Melayu, Raja dan Perlembagaan; kepentingan adab dalam mengurus perbezaan pendapat; serta hubungan antara Raja dengan rakyat.
Badlishah berharap perbincangan tersebut berlangsung dengan fikiran terbuka dan kesediaan mendengar pandangan berbeza, sekali gus menghasilkan kefahaman serta cadangan yang bernas demi kepentingan negara.
Beliau turut mengingatkan bahawa keamanan dan keharmonian yang dinikmati rakyat perlu dipelihara melalui institusi yang kukuh, kepimpinan yang amanah serta masyarakat yang berpegang pada keadilan dan saling menghormati.

Dialog Ummah 2.0 diserikan dengan beberapa sesi dialog antaranya Slot 1 bertajuk “Islam, Melayu, Raja dan Perlembagaan: Memahami Amanah Kenegaraan” disertai ahli panel iaitu Dr Zulqarnain Lukman (Peguambela dan Peguamcara) dan Puan Liyana Marzuki (Peguam dan Aktivis) yang dihoskan oleh Tn. Syed Munawar Sayed Mustar (Mediawan).
Dalam Slot 2 pula Ustaz Nu’man Hani Jamal (Pendakwah Bebas) mengacara sesi dialog bertajuk “Islam, dan Adab Mengurus Perbezaan Pendapat” yang disertai ahli panel Dr Abu Hafiz Salleh Hudin (Penolong Profesor, UIAM) dan Ustaz Faiz Fateh Al-Azhari (Mudir Pusat Turath Nusantara).
Slot akhir pula bertajuk “Raja dan Rakyat Berpisah Tiada” yang disertai ahli panel Prof. Emeritus Dato’ Dr. Noor Aziah Mohd Awal (Profesor Emeritus, UKM) dan YM Dato’ Penghulu Dagang Dr. Haji Faridzwan Haji Abdul Ghafar (Dato’ Lembaga Lingkungan Lengging), dihoskan oleh Mohamed Ibrahim KP Kunji Mohamad (Pengerusi Majlis Al-Mizan).
Turut hadir dalam program itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan.
Beliau berkata, penganjuran Dialog Ummah 2.0 adalah satu wacana baik bagi membicarakan mengenai isu yang dekat di hati rakyat.
Beliau turut menerima resolusi oleh HIKAM sebagai pihak penganjur berkaitan cadangan dan saranan yang dibuat, sekali gus menggalakkan wacana keilmuan seperti ini diteruskan supaya dapat memberikan pencerahan kepada masyarakat dan ummah.
Himpunan Gerakan Islam Malaysia (HIKAM) dianggotai oleh Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (HALUAN).




