Keselamatan Anak di Sekolah Perlu Jadi Keutamaan

Keselamatan murid di sekolah

Keselamatan di institut pendidikan sepatutnya menjadi hak mutlak setiap murid, bukannya satu pertaruhan.

Namun, siri insiden tragis yang meragut nyawa anak-anak seperti Irene Sofiya, Zara Qairina,  Shing Xuen dan Idlan Fareeq menjadi cermin retak yang memantulkan realiti pahit. Sekolah dan persekitarannya tidak lagi sepenuhnya kebal daripada ancaman jenayah berat, pembunuhan dan kezaliman berorientasikan jantina.

Memahami keselamatan anak dan femisid

Untuk memahami liputan isu ini secara mendalam, kita perlu meneliti dua konsep utama yang sering menjadi teras dalam perbincangan keselamatan murid:

1. Keselamatan Anak di Sekolah

Secara asasnya, keselamatan anak di sekolah merujuk kepada hak murid untuk belajar, berinteraksi dan membesar dalam persekitaran yang bebas daripada ancaman fizikal, emosi mahupun psikologi.

Ia mencakupi kawalan akses persekitaran fizikal (seperti pagar, asrama dan kawasan terpencil), penguatkuasaan Tatacara Pengendalian Piawai (SOP) serta kewujudan sistem sokongan yang mampu mengesan isyarat bahaya (red flags) seperti buli, gertakan dan pencerobohan luar sebelum ia melarat menjadi tragedi.

2. Femisid dan Keganasan Berasaskan Jantina (Gender-Based Violence)

Femisid merujuk kepada pembunuhan sengaja ke atas wanita atau kanak-kanak perempuan semata-mata kerana jantina mereka.

Dalam konteks sekolah dan usia muda, ia sering berakar daripada dinamik kuasa yang tidak seimbang, ketidakmampuan mengendalikan penolakan (rejection), tingkah laku obsesif, gangguan seksual serta kurangnya keprihatinan terhadap isyarat bahaya (red flags) hubungan terdekat.

Apabila tanda-tanda awal keganasan berasaskan jantina ini dipandang remeh atau dianggap berkisar tentang “masalah cinta remaja”, ia berisiko berakhir dengan tragedi yang menyayat hati.

Tragedi yang menimpa Irene Sofiya, Zara Qairina, Shing Xuen, dan Idlan Fareeq bukanlah sekadar statistik atau liputan berita hangat yang memudar mengikut kitaran masa. Mereka adalah anak, adik, rakan dan masa depan bangsa yang direntap sekelip mata.

Kerapuhan sistemik: Mengapa isu ini terus berulang?

Tragedi demi tragedi menunjukkan wujudnya beberapa jurang ketara dalam ekosistem keselamatan negara:

1. Sikap Sambil Lewa Terhadap Amaran Awal 

Kes buli, ugutan, gangguan (harassment) atau ketegangan emosi kerap dianggap sekadar “kenakalan remaja” biasa tanpa intervensi psikologi dan penguatkuasaan yang tegas.

2. SOP dan Pengawasan Fizikal

Kelemahan pengawasan kawasan sekolah atau asrama yang tidak menyeluruh memberi ruang kepada pihak tertentu bertindak jahat untuk mengeksploitasi kelonggaran yang ada.

3. Ekosistem Sokongan Mental dan Aduan yang Lemah

Murid kerap berasa takut atau enggan melapor kerana bimbingan trauma yang kurang, bimbingan rakan sebaya yang terhad atau ketiadaan saluran aduan yang betul-betul selamat dan telus.

Cadangan polisi spesifik kepada KPM

Justeru, untuk menterjemahkan ikhtiar keselamatan kepada tindakan berstruktur, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) disyorkan melaksanakan empat angka polisi yang tegas dan holistik:

1. Pelaksanaan Audit Keselamatan Bertauliah & Pengurusan Risiko Jantina (Gender-Sensitive Risk Audit).

KPM perlu mewajibkan Safety & Security Audit secara berkala di semua sekolah dan asrama, melingkupi keselamatan fizikal (pencahayaan kawasan gelap, kawalan akses pelawat, sistem CCTV berfungsi) dan keselamatan persekitaran sosial. 

Terdapat juga keperluan untuk mewujudkan protokol amaran awal spesifik bagi mengesan tingkah laku obsesif, gangguan seksual atau ancaman emosi berasaskan jantina sebelum ia merebak.

2. Pemantapan Saluran Aduan Selamat & Bebas Penindasan (Whistleblower Protection)

Menyediakan saluran aduan digital berskala nasional yang berpusat, membolehkan murid melapor kes buli, gangguan seksual atau ancaman tanpa rasa takut atau ancaman balas (retaliation). Maka amat perlu kita mewajibkan garis masa tindak balas (KPI Response Time) untuk sebarang aduan keselamatan yang diterima.

3. Peningkatan Nisbah Kaunselor Bersepadu & Modul Kesihatan Emosi/Sivik.

Menambah bilangan kaunselor bertauliah di sekolah untuk menampung nisbah murid secara ideal, dengan fokus latihan khusus terhadap pengurusan krisis mental, trauma dan pemulihan salah laku.

Situasi ini diyakini dapat mengintegrasikan elemen batasan perhubungan (personal boundaries), penghormatan jantina dan pengurusan emosi secara tuntas dalam kurikulum pendidikan sivik.

4. Sinergi Komuniti: Jawatankuasa Keselamatan Sekolah Bersama PIBG & PDRM

Memperkasakan peranan Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) daripada PDRM dan PIBG menerusi Jawatankuasa Keselamatan Komuniti Sekolah. Pengawasan tidak terhenti di pintu pagar sekolah, sebaliknya meliputi ekosistem lalu lintas dan kawasan sekitar sekolah/asrama.

Dalam falsafah Islam dan ajaran al-Quran, pemeliharaan nyawa (hifz an-nafs) serta kemuliaan insan (karamah insaniyah) adalah tiang seri pembinaan masyarakat. Allah SWT menegaskan nilai sesebuah nyawa dalam firman-Nya:

“…Dan sesiapa yang memelihara kehidupan seorang manusia, maka seolah-olah dia telah memelihara kehidupan manusia seluruhnya.” (Surah al-Ma’idah, 5:32)

Sekolah seharusnya menjadi taman perlindungan yang menyuburkan potensi anak-anak, bukannya pentas duka yang meragut nyawa mereka. Kebajikan dan keselamatan murid adalah tanggungjawab kolektif yang menuntut kepimpinan, keadilan sosial dan penguatkuasaan hukum yang saksama. Rasulullah SAW turut mengingatkan bahawa:

“Setiap daripada kamu adalah pemimpin dan setiap daripada kamu akan ditanya tentang kepemimpinannya…” (HR al-Bukhari)

Gagasan membangunkan Masyarakat Rahmah tidak akan bermakna sekiranya anak-anak kita masih hidup dalam ketakutan atau menjadi mangsa kezaliman fizikal dan jantina. 

Darah dan nyawa yang telah terkorban menuntut kita bertindak, bukan hanya dengan lontaran simpati, tetapi dengan iltizam dakwah, dasar yang tuntas dan tindakan nyata secara berterusan.Cukup-cukuplah siri duka ini.

Matlamat kita jelas: Menterjemahkan nilai rahmah dan keprihatinan agar setiap anak yang melangkah ke sekolah dapat pulang ke pangkuan keluarga dengan selamat, bermartabat dan tersenyum.

Dr. Rosfazila Abd. Rahman
Pensyarah kanan / Penyelidik/ Ketua Pasca Siswazah
Jabatan Pengajian Sosial & Kemanusiaan
Fakulti Sains Sosial (FSS)
Universiti Islam Selangor (UIS)

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia