“Adik, mana kunci almari Tok? Tadi ada orang masuk bilik Tok, ambil barang…”
Pernah dengar ayat macam ini di rumah? Selalunya kita senyum sahaja, atau berkata, “Biasalah tu, Tok dah nyanyuk. Dah tua.”
Tetapi, betulkah nyanyuk itu perkara biasa apabila kita tua? Atau sebenarnya ia tanda otak sedang sakit dan perlukan perhatian?
Apa itu nyanyuk?
“Nyanyuk” ialah perkataan yang biasa kita gunakan untuk demensia. Demensia ialah keadaan apabila fungsi otak semakin merosot. Ia menjejaskan ingatan, cara berfikir, membuat keputusan, mengawal emosi dan menguruskan hal harian.
Perkara paling penting untuk diingat ialah demensia bukan “perkara biasa” dalam proses menjadi tua. Ramai warga emas kekal cergas dan tajam fikirannya hingga ke akhir hayat. Lupa sekali-sekala itu biasa. Tetapi lupa yang semakin kerap sehingga mengganggu kehidupan harian perlu diperiksa.
Berapa ramai yang terkesan?
Di seluruh dunia, kira-kira 57 juta orang hidup dengan demensia, dengan hampir 10 juta kes baharu setiap tahun.
Di Malaysia, jumlahnya dijangka meningkat daripada 123,000 orang pada tahun 2015 kepada hampir 590,000 orang menjelang tahun 2050. Negara kita sedang menua dengan cepat. Jadi, kita perlu bersedia dari sekarang, sama ada dalam keluarga ataupun masyarakat.
Tanda-tanda yang perlu diberi perhatian
- Selalu lupa perkara yang baru berlaku, atau bertanya soalan yang sama berulang kali
- Sesat di tempat yang biasa dikunjungi
- Sukar mencari perkataan atau mengikuti perbualan
- Sukar membuat kerja yang dahulunya mudah seperti memasak, mengurus duit atau mengambil ubat
- Tersalah letak barang, kemudian menuduh orang lain mengambilnya
- Perangai berubah: mudah marah, curiga, murung atau suka menyendiri
- Mula tidak menjaga kebersihan diri
Apa punca demensia?
Demensia berlaku kerana penyakit yang merosakkan otak. Antara jenis yang biasa:
- Penyakit Alzheimer (60–70% kes). Inilah jenis penyakit yang paling biasa. Ia bermula perlahan-lahan, selalunya dengan lupa perkara yang baru berlaku. Lama-kelamaan, pesakit sukar bercakap, keliru tentang masa dan tempat, emosinya berubah dan tidak lagi mampu menjaga diri.
- Demensia vaskular. Jenis ini berkait dengan strok dan masalah salur darah. Pesakit menjadi lambat berfikir dan sukar merancang.
- Demensia campuran. Ia gabungan lebih daripada satu jenis, biasanya Alzheimer dan vaskular.
- Demensia frontotemporal. Perubahan perangai dan emosi berlaku dahulu, sebelum masalah ingatan muncul.
- Demensia Lewy body dan Parkinson. Fikiran pesakit turun naik, sekejap baik dan sekejap keliru. Pesakit mungkin nampak benda yang tiada, dan pergerakan badannya juga terjejas.
Apabila keluarga turut diuji
Demensia bukan hanya menguji pesakit, tetapi seluruh keluarga. Kadang-kadang kita terasa hati dengan kata-kata atau perangai mereka. Cuba bayangkan apa yang mereka sendiri rasa:
“Aku tahu ini rumah aku, tapi kenapa semuanya rasa asing? Aku kenal muka anak aku, tapi kenapa nama dia tak boleh keluar dari mulut aku? Aku bukan sengaja nak marah… aku cuma takut dan keliru.”
Contohnya, pesakit mungkin menuduh anak mencuri barang, sedangkan dia sendiri terlupa di mana dia simpan. Kalau kita tidak faham, mudah berlaku salah faham dan pergaduhan. Apabila kita faham, kita boleh memilih untuk bersabar. Kita boleh menenangkan dia dan bantu mencari barang itu bersama-sama, bukan bertekak.
Allah SWT telah menyebut keadaan ini dalam Surah an-Nahl, ayat 70:
“Dan Allah yang menciptakan kamu, kemudian Dia mewafatkan kamu; dan antara kamu ada yang dikembalikan kepada peringkat umur tua yang lemah (nyanyuk), sehingga dia tidak mengetahui lagi akan sesuatu yang telah diketahuinya dahulu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Berkuasa.”
Ayat ini mengingatkan kita bahawa kekuatan badan dan akal hanyalah pinjaman. Kita bermula sebagai bayi yang lemah, membesar menjadi dewasa yang kuat, dan akhirnya kembali lemah apabila usia lanjut. Hari ini kita menjaga mereka. Esok, mungkin giliran kita pula yang dijaga.
Siapa yang lebih berisiko?
A. Perkara yang tidak boleh diubah
- Berumur lebih 65 tahun
- Wanita, kerana kajian menunjukkan wanita lebih berisiko menghidap Alzheimer
- Ada ahli keluarga yang pernah menghidap demensia
Mengetahui perkara ini bukan untuk menakutkan kita. Ia adalah supaya kita reda dengan ketentuan Allah, sambil membuat persediaan bersama keluarga dari segi sokongan emosi, amalan kerohanian dan penjagaan kesihatan.
B. Perkara yang boleh kita usahakan
Masih banyak yang boleh kita lakukan untuk menjaga otak, seperti yang disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO):
- Kawal penyakit kronik. Jaga tekanan darah, kencing manis dan kolesterol. Ambil ubat seperti yang diarahkan dan buat pemeriksaan berkala.
- Jaga emosi. Dapatkan bantuan jika berasa sedih atau murung berpanjangan.
- Kekal bergerak. Berjalan kaki, buat senaman ringan atau berkebun.
- Berhenti merokok dan elakkan alkohol. Jauhkan diri juga daripada asap rokok orang lain.
- Periksa pendengaran. Gunakan alat bantu dengar jika perlu.
- Kekal berhubung dengan orang lain. Ziarah-menziarahi, ke masjid atau surau, hadir kuliah dan berbual dengan jiran. Silaturahim sebenarnya “senaman otak” yang sangat baik.
- Terus belajar. Rajin membaca, termasuk membaca dan mentadabur al-Quran.
Bila perlu berjumpa doktor?
Jika kita perasan perubahan ingatan atau perangai pada ibu bapa atau datuk nenek, jangan tunggu dengan anggapan “biasalah, dah tua”. Bawa mereka ke klinik kesihatan atau doktor keluarga dahulu. Doktor akan membuat pemeriksaan awal dan, jika perlu, merujuk kepada pakar geriatrik, psikiatri atau neurologi.
Pemeriksaan awal sangat penting kerana sesetengah punca lupa boleh dirawat, contohnya kekurangan vitamin B12, masalah tiroid, kesan sampingan ubat atau kemurungan. Jika memang demensia, rawatan awal dan persediaan keluarga dapat membantu pesakit hidup dengan lebih selesa dan bermaruah.
Doa perlindungan
Selain berusaha dari segi perubatan, kita juga digalakkan mengamalkan doa yang sering dibaca oleh Nabi Muhammad ﷺ:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْبُخْلِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنَ الْجُبْنِ، وَأَعُوذُ بِكَ أَنْ أُرَدَّ إِلَى أَرْذَلِ الْعُمُرِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الدُّنْيَا، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ
Maksudnya: “Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada sifat bakhil, aku berlindung kepada-Mu daripada sifat penakut, aku berlindung kepada-Mu daripada dikembalikan kepada umur yang paling hina (nyanyuk), aku berlindung kepada-Mu daripada fitnah dunia, dan aku berlindung kepada-Mu daripada azab kubur.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 6390)
Kesimpulan
Demensia ialah perjalanan yang berat bagi pesakit dan juga bagi keluarga yang menjaga. Namun, dengan kefahaman yang betul, pemeriksaan awal, gaya hidup sihat dan kasih sayang yang tidak putus, usia emas masih boleh dilalui dengan tenang dan bermaruah.
Semoga kita dan keluarga kita dilindungi Allah daripada kemerosotan minda dan dikurniakan kesihatan serta keafiatan yang berpanjangan.
Dr. Maimunah Fadzil
Ketua Wanita IKRAM Negeri Melaka &
Mantan Ketua Jabatan dan Pakar Perunding Kanan O&G
Hospital Melaka
Rujukan
- Ministry of Health Malaysia. Management of Dementia (Third Edition). CPG Secretariat; 2021.
- World Health Organization. Dementia Fact Sheet. 2023.
- Alzheimer’s Disease International. World Alzheimer Report 2014: Dementia and Risk Reduction. London; 2014.
- Ryan NS, Rossor MN. Correlating familial Alzheimer’s disease gene mutations with clinical phenotype. Biomarkers in Medicine. 2010;4(1):99-112.
- Karantzoulis S, Galvin JE. Distinguishing Alzheimer’s disease from other major forms of dementia. Expert Review of Neurotherapeutics. 2011;11(11):1579-91.




