Membantu manusia yang berada dalam kesusahan ialah perbuatan mulia. Namun, bantuan hilang kemuliaannya apabila digunakan untuk melindungi seseorang akibat kesalahan yang telah dibuktikan melalui proses mahkamah.
Lebih membimbangkan apabila wang, pengaruh dan sokongan orang ramai digerakkan untuk membentuk persepsi bahawa orang yang disabitkan itu tidak bersalah, sedangkan bukti telah dinilai, pembelaan telah didengar dan keputusan telah dibuat oleh institusi kehakiman yang berwenang.
Belas ihsan atau lindungi kesalahan?
Di sinilah masyarakat perlu membezakan antara membantu manusia dengan membantu kemungkaran. Membantu seseorang mendapatkan perbicaraan yang adil, khidmat guaman, makanan untuk keluarganya atau ruang untuk bertaubat ialah kebajikan.
Sebaliknya, mengumpulkan dana untuk mengurangkan kesan hukuman, menyebarkan cerita palsu, menyerang saksi, memperlekeh mahkamah tanpa bukti atau memutihkan perbuatan yang telah disabitkan bukan lagi belas ihsan. Ia boleh menjadi persubahatan moral yang melemahkan makna keadilan.
Seseorang yang disabitkan tetap mempunyai maruah dan hak sebagai manusia. Pintu taubat juga tidak pernah tertutup. Akan tetapi, belas ihsan tidak bererti kita perlu menukarkan orang yang bersalah menjadi mangsa suci, menyembunyikan fakta atau memindahkan beban hukumannya kepada masyarakat.
Memaafkan secara peribadi ialah satu perkara, memadamkan pertanggungjawaban awam ialah perkara yang sama sekali berbeza. Allah SWT berfirman:
“Dan seseorang yang berdosa tidak akan memikul dosa orang lain.” (Surah an-Najm, 53: 38)
Ayat ini menjelaskan tanggungjawab individu di hadapan Allah SWT. Dari sudut pendidikan moral, ia mengingatkan bahawa setiap manusia bertanggungjawab terhadap perbuatannya sendiri. Apabila ribuan penyokong mengambil alih akibat kewangan yang dikenakan kepada pesalah, tujuan denda sebagai pertanggungjawaban boleh menjadi semakin kabur.
Hukuman bukan semata-mata angka atau catatan pada kertas penghakiman. Ia membawa mesej bahawa setiap pelanggaran amanah mempunyai akibat. Jika akibat itu boleh diserap oleh kekuatan kelompok, jaringan penyokong atau kekayaan para penderma, hukuman yang berat bagi rakyat biasa boleh menjadi ringan bagi orang berpengaruh.
Rakyat marhaen menanggung kesalahan dengan simpanan sendiri, kehilangan harta atau kebebasan, sebaliknya tokoh berkedudukan diselamatkan pula oleh dana kolektif. Di situlah lahir persepsi bahawa keadilan mempunyai dua pintu.
Allah SWT memerintahkan orang beriman supaya berdiri teguh menegakkan keadilan, walaupun terhadap diri sendiri, ibu bapa atau kaum kerabat, sama ada seseorang itu kaya ataupun miskin (Surah an-Nisa’, 4: 135).
Ayat ini menghancurkan alasan “dia orang kita”. Ukuran kebenaran bukan keahlian parti, jasa lampau, bangsa, kedudukan atau populariti. Keadilan yang berubah mengikut identiti pelaku bukan lagi keadilan, tetapi kesetiaan kelompok yang memakai jubah agama.
Iktibar sikap Rasulullah SAW
Rasulullah SAW telah memberikan amaran melalui kisah wanita Bani Makhzum yang mencuri. Kaumnya mencari Usamah bin Zaid untuk memohon campur tangan kerana wanita itu daripada keluarga berkedudukan.
Baginda menolak percubaan tersebut dan menjelaskan bahawa umat terdahulu binasa kerana orang berpangkat dilepaskan, sedangkan orang lemah dihukum. Baginda menegaskan bahawa jika Fatimah r.a., puteri Baginda sendiri, melakukan kesalahan yang sama, hukuman tetap dilaksanakan.
Kisah itu bukan lesen untuk orang awam menjatuhkan hukuman sendiri atau menghasut masyarakat melawan institusi. Pelajarannya ialah jangan membina tekanan sosial, kewangan dan politik sehingga kedudukan seseorang menghilangkan makna pertanggungjawaban.
Dahulu, perantaraan dilakukan melalui nama orang kesayangan Rasulullah. Hari ini, ia boleh muncul melalui tabung, kempen emosi, slogan kesetiaan dan gambaran bahawa menerima keputusan mahkamah bererti mengkhianati kelompok sendiri.
Al-Quran turut menetapkan “Tolong-menolonglah kamu dalam kebajikan dan takwa, dan janganlah kamu tolong-menolong dalam dosa dan permusuhan.” (Surah al-Ma’idah, 5: 2)
Maka, nilai sesuatu sumbangan tidak ditentukan oleh nama “solidariti,” tetapi oleh tujuan, naratif dan kesannya. Membantu keluarga pesalah yang tidak bersalah meneruskan kehidupan ialah kebajikan. Membiayai hak guaman yang adil juga dibenarkan.
Namun, jika kutipan disertai usaha menafikan fakta kehakiman, mencaci institusi tanpa bukti atau menggambarkan kesalahan sebagai pengorbanan politik, ia memasuki wilayah yang sangat berbahaya.
Kita juga perlu bertanya tentang keutamaan moral. Dana yang besar boleh membiayai bantuan makanan, pendidikan anak miskin, rawatan pesakit, perlindungan wanita, kemudahan OKU atau pemulihan mangsa jenayah. Penyumbang sememangnya berhak menggunakan wang mereka.
Namun, pilihan perbelanjaan tetap mencerminkan apa yang dianggap penting. Jika masyarakat lebih mudah tersentuh oleh kesusahan seorang tokoh berpengaruh berbanding penderitaan ribuan rakyat yang tidak mempunyai pentas, ada sesuatu yang pincang pada kompas belas ihsan kita.
Impak kepada generasi muda
Lebih merosakkan ialah pendidikan tidak langsung kepada generasi muda. Mereka mungkin belajar bahawa apabila seseorang memiliki pengikut yang ramai, akibat kesalahannya boleh ditanggung bersama.
Mereka melihat kesetiaan lebih dihargai daripada integriti, sentimen lebih kuat daripada fakta dan tokoh lebih penting daripada institusi. Akhirnya, bagaimana kita mahu mengajar murid supaya mengaku salah, memulangkan hak orang dan menerima akibat perbuatan sendiri?
Dalam negara demokrasi, parti politik sepatutnya mendidik anggota supaya membezakan jasa seseorang daripada kesalahannya. Menghargai sumbangan lampau tidak menuntut kita menafikan keputusan mahkamah. Seseorang boleh berjasa dalam satu bidang dan tetap bersalah dalam perkara lain.
Kematangan politik lahir apabila penyokong mampu menyebut kedua-duanya dengan jujur. Jika setiap sabitan dianggap serangan terhadap kelompok, negara akan kehilangan bahasa bersama tentang amanah, rasuah dan tanggungjawab. Akhirnya, semua pihak membela pesalah masing-masing, sedangkan rakyat menanggung kerosakan yang terkumpul.
Kisah Firaun juga mengajar bahawa kezaliman tidak dibina oleh seorang manusia sahaja. Ia hidup melalui Haman, pembesar, aparat dan orang ramai yang menguatkan sistemnya. Setiap zaman mempunyai bentuk sokongannya sendiri.
Ada yang menyumbang wang, ada yang menyediakan propaganda, ada yang menyerang pengkritik dan ada yang mendiamkan kebenaran. Seseorang mungkin tidak melakukan kesalahan asal, tetapi boleh membantu membina budaya yang menjadikan kesalahan itu kelihatan kecil.
Terus kekal adil
Namun, pendidikan masyarakat mesti kekal adil. Jangan menghina penyumbang, menyebarkan fitnah atau merampas hak mereka membuat pilihan. Ajak mereka berfikir:
Adakah sumbangan ini membantu seseorang bertaubat dan menunaikan tanggungjawab, atau membantu suatu gerakan menafikan kesalahannya? Adakah kita mempertahankan hak yang sah, atau sedang mengangkat individu mengatasi prinsip? Adakah mangsa dan kepentingan negara turut kita ingati?
Masyarakat yang matang tidak takut menerima keputusan yang tidak menyebelahi tokohnya. Mereka memahami bahawa kesetiaan tertinggi wajib diberikan kepada kebenaran, amanah dan kepentingan rakyat, bukan kepada mana-mana manusia yang sementara sahaja.
Kasih yang benar tidak membebaskan sahabat daripada pertanggungjawaban. Kasih yang benar membantunya mengakui kesalahan, memulangkan hak, memohon maaf dan berubah. Negara tidak akan menjadi kuat jika hukuman hanya terasa berat kepada rakyat biasa tetapi boleh diringankan oleh jaringan kuasa.
Setiap bantuan ialah ujian terhadap neraca moral kita. Jangan sampai atas nama setia, masyarakat diajak membayar harga kesalahan seseorang, sedangkan negara dan generasi mendatang terus menanggung luka akibat budaya memaafkan kuasa tanpa keinsafan.
Atriza Umar
Pegawai Kanan
Jabatan Pendidikan Masyarakat
Pertubuhan IKRAM Malaysia




