Krisis Amanah dan Integriti: Di Mana Silapnya?

amanah dan agama

Laporan salah guna kuasa, penyelewengan dana dan pecah amanah kini menjadi santapan lazim masyarakat. Ironinya, para pelaku bukan calang-calang individu, mereka berpendidikan tinggi, memegang amanah penting di institusi utama, bahkan sebahagiannya berimej agamawan.

Lebih memeritkan, ketirisan ini melibatkan pengkhianatan terhadap khazanah rakyat dan amanah umat yang menaruh kepercayaan bulat kepada mereka.

Keadaan ini menimbulkan satu persoalan yang wajar direnungkan bersama, di manakah pelaksanaan ilmu yang dipelajari? Adakah mendapat kuasa mampu “menghalalkan” apa yang tidak sepatutnya? Apa yang dapat dilihat di sini, ilmu dan kedudukan tidak menjamin seseorang itu beramanah. Justeru, di manakah silapnya? 

Amanah dalam neraca Islam

Kedudukan amanah diangkat ke tahap tertinggi dalam neraca Islam. Menerusi Surah al-Ahzab, ayat 72, Allah SWT merakamkan bahawa tanggungjawab amanah pernah ditawarkan kepada langit, bumi dan gunung-ganang, namun seluruh makhluk ini enggan memikulnya. Sebaliknya, manusia tampil menggalas beban tersebut.

Kesediaan manusia mengambil langkah ini  disusuli peringatan tegas Ilahi tentang tabiat manusia yang cenderung bersikap zalim dan jahil. Ayat ini menegaskan bahawa amanah bukanlah kemuliaan untuk dibanggakan, melainkan tanggungjawab berat yang menuntut ketakwaan mutlak.

Ketetapan ini diperkukuh menerusi Surah an-Nisa’, ayat 58, tatkala Allah SWT memerintahkan agar setiap amanah disampaikan mutlak kepada pihak yang berhak menerimanya. Selaras dengan itu, Rasulullah SAW menegaskan bahawa pengkhianatan amanah merupakan antara cerminan pekerti munafik (Sahih al-Bukhari, no. 33; Sahih Muslim, no. 59).

Hakikat beratnya, amanah ini terbukti sewaktu Abu Zar al-Ghifari r.a. memohon suatu jawatan daripada Rasulullah SAW. Baginda lantas mengingatkan bahawa kepimpinan merupakan amanah yang bakal mengundang kehinaan dan penyesalan pada hari kiamat, melainkan bagi sesiapa yang mengambilnya secara hak serta melunaskan tuntutannya (Sahih Muslim, no. 1825). 

Kemuncak kepada amaran nubuwah ini dizahirkan apabila Baginda mengaitkan kehancuran sesuatu urusan dengan kelalaian terhadap amanah, khususnya apabila mandat tersebut diserahkan kepada mereka yang bukan ahlinya (Sahih al-Bukhari, no. 59).

Jurang antara ilmu dan nilai 

Hakikatnya, krisis amanah hari ini bukan berpunca daripada kekurangan ilmu. Mereka yang terlibat sudah sedia mengetahui bahawa rasuah itu haram, pecah amanah itu salah dan menyalahgunakan kuasa itu satu dosa. Majoritinya mempunyai pengetahuan, namun nilai amanah itu tidak tertanam dalam jiwa.

Imam al-Ghazali dalam Ayyuha al-Walad mengingatkan bahawa ilmu tanpa amal ialah kegilaan, manakala amal tanpa ilmu tidak akan berhasil. Ilmu yang tidak membentuk sikap dan tingkah laku hanya tinggal sebagai maklumat di kepala. Ia tidak sampai ke hati untuk dirasai, dihayati dan diaplikasi dalam kehidupan.

Sistem pendidikan kita sekian lama memberi keutamaan kepada pencapaian akademik dan kompetensi. Pelajar dinilai berdasarkan gred, sijil dan kemahiran teknikal.

Nilai seperti amanah, integriti dan tanggungjawab pula sering dianggap pelengkap dan diharapkan terbentuk dengan sendirinya. Hasilnya, kita berjaya melahirkan ramai pakar, tetapi belum tentu melahirkan insan yang beramanah.

Pendidikan berasaskan nilai sebagai jawapan 

Pada titik inilah gagasan Pendidikan Berasaskan Nilai atau Values-Based Education (VBE) membuktikan kerelevanannya. VBE tidak memposisikan nilai sebagai sekadar elemen sampingan atau kurikulum tersembunyi.

Sebaliknya, nilai diterjemahkan sebagai hasil pembelajaran yang dirancang secara strategik, diintegrasikan dalam pedagogi serta ditaksir secara eksplisit dan bertujuan. Pembudayaan nilai tidak lagi diserahkan kepada faktor kebetulan, melainkan diacu secara sedar pada setiap fasa pengajian.

Menerusi kerangka ini, bakal akauntan bukan sekadar menguasai kemahiran penyediaan penyata kewangan, bahkan menghayati bahawa setiap angka yang dijana memikul mandat amanah dan integriti.

Begitu juga bakal jurutera, penguasaan terhadap perkiraan beban struktur wajib berakar pada kesedaran bahawa keselamatan nyawa manusia terletak di bahu mereka. Di sinilah ilmu dan nilai disatukan tanpa pemisahan doktrin mahupun amalan.

AISAR: Membina amanah dari dalam 

Pendidikan nilai dalam Islam memerlukan asas yang lebih kukuh daripada sekadar kod etika. Dalam hal ini, pendekatan AISAR yang diketengahkan oleh IKRAM menawarkan kerangka yang menyeluruh.

Akidah yang mantap menyemai kesedaran muraqabah, bahawa setiap gerak-geri sentiasa dalam pengawasan Allah, melangkaui pandangan mata manusia. Ibadah yang dihayati pula melentur disiplin ruhiyah dan benteng ketakutan daripada mencabuli amanah.

Seterusnya, kefahaman mendalam terhadap syariah memupuk kepatuhan hakiki yang berakar pada keyakinan terhadap keadilan Ilahi, bukan sekadar ketakutan terhadap undang-undang ciptaan manusia.

Akhlak berfungsi sebagai bukti penzahiran amanah dalam muamalah harian, manakala prinsip rahmah melengkapkannya dengan ihsan serta keinsafan bahawa pengurusan harta melibatkan hak orang lain yang menuntut ketelusan mutlak. 

Berpaksikan gabungan lima elemen ini, amanah tidak lagi bersandar pada pemantauan luaran semata-mata, melainkan hidup sebagai benteng nurani yang ampuh menangkis sebarang dorongan khianat.

Tanggungjawab bersama 

Pendidikan amanah memerlukan sinergi menyeluruh.  Ibu bapa membina asas sahsiah di rumah, institusi pendidikan memupuk nilai menerusi kurikulum dan pentaksiran, manakala ekosistem tempat kerja mengutamakan budaya integriti mengatasi sekadar pencapaian prestasi.

Krisis amanah hari ini ialah cermin kepada cara kita mendidik. Selagi nilai dianggap sampingan, selagi itulah kita akan terus melahirkan golongan yang bijak tetapi tidak beramanah.

Amanah perlu dididik sejak awal dan dihayati sepanjang hayat. Amanah tidak sepatutnya hanya dituntut apabila seseorang sudah memegang kuasa. Pada akhirnya, setiap amanah akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT.

Prof. Madya Dr. Khairul Hamimah Mohammad Jodi
Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan
Open Universiti Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia