Permainan Kutu: Di Manakah Kesalahannya?

Permainan Kutu: Di Manakah Kesalahannya? | IKRAM

Menabung melalui hutang atau “kutu” sudah menjadi amalan kebanyakan masyarakat di Malaysia. Bermula dengan amalan penyimpanan biasa bertujuan untuk merancang perbelanjaan kewangan tertentu seperti keperluan rumah dan sekolah anak-anak sehingga kepada memenuhi kehendak peribadi.

Mutakhir ini, aktiviti kutu menjadi rancak dengan perancangan untuk memenuhi kehendak peribadi seperti periuk elektronik, kenderaan sehingga kepada emas perhiasan. 

Tambahan pula, sewaktu negara berhadapan dengan pandemik Covid-19, masyarakat yang memerlukan wang tunai dengan cepat dan mudah telah memilih untuk terlibat dengan permainan kutu.

Kutu merupakan aktiviti pengumpulan dan pinjaman wang yang dipersetujui dalam tempoh yang ditetapkan secara mingguan atau bulanan. Aktiviti kewangan tersebut melibatkan sekumpulan kecil peserta yang secara sepakat menyumbangkan sejumlah wang kepada ketua kumpulan atau ibu kutu. Apabila jumlah wang sudah mencukupi, ibu kutu akan menyerahkannya kepada peserta   yang gilirannya telah dipilih secara undian. 

Menurut Pensyarah kanan di Institut Perbankan dan Kewangan Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) Prof. Dr. Azman Mohd Nor, sejarah menunjukkan bahawa bermain kutu adalah amalan masyarakat Islam khususnya Wanita di Timur Tengah, Afrika dan Pantai Timur semenanjung Malaysia.

Keharusan bagi permainan kutu ini tertakluk kepada penglibatan aktiviti tersebut sama ada jauh daripada riba, kezaliman dan unsur-unsur haram atau tidak. 

Namun, akhir-akhir ini, laporan berita telah mengetengahkan isu salah guna kuasa ketua kumpulan atau ‘ibu kutu’ sama ada melarikan duit ahli kumpulan atau menjalankan aktiviti perniagaan yang tidak sah daripada wang yang dikumpulkan untuk tujuan tertentu.

Selain itu, terdapat peruntukan daripada undang-undang yang melarang kutipan duit awam tanpa kebenaran yang diberikan oleh pihak yang berautoriti. Jadi, bagaimanakah kita memahami isu ini? Adakah amalan masyarakat bertentangan dengan syarak dan peruntukan undang-undang sedia ada?

Kutu dan hutang dalam Islam

Penulisan lalu telah membincangkan perihal hutang dalam Islam yang melibatkan aktiviti pinjam-meminjam terutama pinjaman wang. Segala transaksi melibatkan kewangan mesti diberikan perhatian terutama kewajipan untuk memulangkan hutang tersebut.

Asasnya, hutang berkait rapat dengan sikap amanah dan kebijaksanaan seseorang individu untuk menguruskan kewangan masing-masing. Oleh itu, nilai amanah penting untuk ditekankan terutama kepada penghutang dalam memastikan tanggungjawab mengembalikan hak orang lain. Menurut al-Hattab, keharusan dalam pinjaman berdasarkan kepada “Kamu pinjamkan kepadaku nescaya aku akan meminjamkan kepadamu kelak”. 

Terdapat banyak ayat dalam al-Quran yang menggariskan perihal hutang sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 245 yang bermaksud:

“Siapakah yang meminjamkan kepada Allah pinjaman yang baik, maka Allah akan melipat gandakan (balasan) pinjaman itu untuknya, dan dia akan memperoleh pahala yang banyak.”

Transaksi hutang yang baik dan keluar dari pelanggaran prinsip syariah ialah qard hasan (pinjaman tanpa balasan atau manfaat tambahan). Aktiviti qard hasan telah menonjolkan sisi keprihatinan seseorang individu ke atas individu lain untuk melakukan kebajikan melalui bantuan kewangan.

Peminjam akan membayar jumlah pokok pinjaman tanpa dikenakan sebarang faedah tambahan. Walau bagaimanapun, seseorang peminjam boleh memberikan saguhati dalam bentuk kewangan kepada pemiutang sewaktu memulangkan pinjaman disebabkan oleh sifat toleransi dan keprihatinan kerana memberikan bantuan sewaktu keadaan terdesak.

Perkara ini disandarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Jabir bin Abdullah sewaktu berjumpa Rasulullah SAW di masjid. Rasulullah SAW telah mengarahkan beliau untuk solat dua rakaat dan membayar hutang kepada Jabir dengan bayaran yang lebih (Riwayat al-Bukhari). 

Berdasarkan hadis-hadis tersebut, hukum memberikan hutang adalah sunat dan harus bagi seseorang yang berhutang bagi mengeluarkan diri daripada kesempitan kewangan.

Justeru, Islam jelas menyediakan saluran yang bersesuaian kepada setiap penganutnya dan prinsip pinjam-meminjam jelas menitikberatkan konsep saling membantu sesama insan. 

Isu dan cabaran aktiviti kutu di Malaysia

Oleh kerana kutu melibatkan aktiviti pinjam-meminjam, hukum aktiviti ini terkait dengan hukum pinjaman iaitu perlu dielakkan daripada berlakunya riba. Pengharaman riba jelas dalam sumber-sumber utama Islam.

Ibnu Qayyim menyebutkan bahawa: “Syariah melarang riba disebabkan kezaliman yang terdapat padanya.”

Keburukan dan kezaliman daripada aktiviti riba dapat dilihat sebagaimana firman Allah dalam surah ar-Rum ayat 39 yang bermaksud:

“Dan sesuatu riba (tambahan) yang kamu berikan agar dia bertambah pada harta manusia, maka riba itu tidak akan menambah pada sisi Allah. Dan apa yang kamu berikan berupa zakat yang kamu maksudkan untuk mencapai keredaan Allah, maka (yang berbuat demikian) itulah orang yang melipat gandakan (pahalanya).”

Justeru, permainan kutu boleh jatuh haram apabila ibu kutu menetapkan penambahan bayaran kerana kelewatan ahli kumpulan memberikan wang kutu kepadanya.

Selain itu, permainan kutu tertakluk kepada hukum hutang bagi ahli kutu yang meninggal dunia. Pembayaran hutang termasuk dalam konsep menjaga harta daripada luput, iaitu maqasid syariah al-daruriyat.

Syeikh Muhammad Mustafa Shalabi menegaskan bahawa hak perhutangan si mati wajib diuruskan oleh waris sebelum pembahagian harta pusaka. Firman Allah SWT dalam surah an-Nisa ayat 12 (maksudnya):

“Sesudah ditunaikan wasiat yang mereka wasiatkan dan sesudah dibayarkan hutangnya.”

Kegagalan untuk menyelesaikan hutang oleh ahli waris menyebabkan tanggungan si mati tergantung dan membebankan si mati.

Jika diperhalusi peruntukan undang-undang, permainan kutu adalah satu kesalahan yang menyebabkan denda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali bersandarkan kepada Seksyen 3 Akta (Larangan) Kumpulan Wang Kutu 1971.

Jika terdapat laporan terhadap ketua kumpulan, kedua-dua pihak iaitu ketua dan peserta boleh didakwa. Tafsiran akta tersebut adalah seperti berikut:

“Mana-mana orang untuk menjalankan perniagaan kumpulan wang kutu dan mana-mana orang yang menjalankan perniagaan melakukan suatu kesalahan.”

Kita dapat memahami peruntukan di atas berdasarkan penjelasan pakar bahawa kesalahan aktiviti kutu ini terkait pada dua situasi iaitu:

  1. Menjadi satu kesalahan apabila ibu kutu menetapkan yuran keahlian daripada peserta untuk melanggan atau menyertai skim kutu. Oleh itu, menjadi satu kesalahan jika ibu kutu menuntut keuntungan daripada ahli yang menyumbang untuk mengayakan ibu kutu tersebut. 
  2. Terdapat iklan atau promosi aktiviti kutu tersebut kepada masyarakat awam. 

Berdasarkan penjelasan di atas, dapat difahami bahawa permainan kutu amnya seperti yang diamalkan secara tradisional bersama rakan-rakan atau ahli keluarga sah dan diharuskan berdasarkan kaedah fiqh adat muhakkamah”. 

Walau bagaimanapun, setiap pihak perlu berhati-hati dengan menghindarkan diri daripada sebarang salah guna kuasa dan penindasan semata-mata untuk mengaut keuntungan daripada jalan yang salah. 

Dr Wan Mohd Al Faizee Wan Ab Rahaman
Pensyarah Kanan
Arshad Ayub Graduate Business School
UiTM Shah Alam

 

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia