Dua tragedi yang berlaku baru-baru ini sepatutnya membuat kita berhenti sejenak dan bertanya sama ada sekolah kita benar-benar selamat untuk anak-anak kita.
Di Yong Peng, seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun ditemukan maut di sebuah sekolah pada 3 Oktober. Seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun, yang dipercayai rakan sekelas mangsa, ditahan bagi membantu siasatan kes bunuh. Polis masih menyiasat motif dan punca kejadian.
Beberapa hari sebelumnya, seorang pelajar Tingkatan Dua berusia 14 tahun meninggal dunia selepas ditemukan tidak sedarkan diri di asrama sebuah sekolah di Kuala Pilah.
Keluarga mendakwa wujud unsur buli, manakala polis menjalankan siasatan di bawah Seksyen 302 dan menahan pelajar bagi membantu siasatan. Beberapa pelajar lain turut tampil mendakwa pernah dibuli, tetapi perkara itu masih dalam proses siasatan.
Dua kes ini tidak boleh disamakan kerana fakta dan puncanya mungkin berbeza. Namun kedua-duanya mengingatkan kita tentang persoalan yang lebih besar iaitu “Apa yang berlaku sebelum tragedi dan adakah kita telah melakukan secukupnya untuk mencegahnya?”
Setiap kali tragedi berlaku, kita marah. Kita mencari siapa yang bersalah. Kita bercakap tentang buli, disiplin, keluarga, media sosial dan hukuman. Tetapi selepas beberapa minggu, isu itu reda sehinggalah terjadi lagi tragedi berikutnya.
Kita seolah-olah mempunyai sistem untuk bertindak selepas sesuatu berlaku, tetapi belum cukup kuat dalam mencegah sesuatu daripada berlaku.
Jangan hanya cari siapa yang salah, cari sapa yang gagal
Apabila seorang pelajar menjadi mangsa atau pelaku keganasan, kita mudah menuding jari kepada ibu bapa, guru atau sekolah. Tetapi persoalan yang lebih penting ialah: Apakah yang gagal dalam ekosistem perlindungan anak?
Untuk mendapat jawapan kepada persoalan ini, beberapa persoalan pula perlu kita lihat. Antara persoalannya: Adakah tanda awal tidak dilihat? Adakah pelajar takut membuat laporan? Adakah guru mempunyai masa dan sumber untuk bertindak?
Adakah kaunselor mencukupi? Adakah ibu bapa tahu perubahan tingkah laku yang perlu diberi perhatian? Akhirnya, apabila terdapat ancaman serius, adakah semua pihak tahu apa yang perlu dilakukan?
Kita tidak boleh hanya membina sistem hukuman. Kita mesti membina sistem pencegahan dan intervensi awal. Hukuman penting, tetapi hukuman datang selepas kesalahan berlaku. Pencegahan pula bertujuan memastikan kesalahan tidak sampai berlaku.
“It takes a village to raise a child”
Pepatah “It takes a village to raise a child” berasal daripada budaya Afrika dan membawa maksud bahawa membesarkan seorang anak bukanlah tanggungjawab ibu bapa sahaja, tetapi memerlukan sokongan seluruh komuniti.
Pada era moden yang serba mencabar ini, “kampung” tersebut mungkin telah berubah bentuk kepada komuniti digital, kumpulan sokongan ibu bapa (parenting group), guru, rakan, jiran, saudara, institusi agama, NGO dan kerajaan. Tujuannya adalah kita memerlukan satu sama lain untuk melahirkan generasi masa depan yang berkualiti.
Malangnya, “kampung” kita semakin hilang.
Kita tinggal berjiran tetapi tidak mengenali jiran. Kita tahu anak mendapat keputusan peperiksaan, tetapi mungkin tidak tahu apa yang berlaku dalam hidupnya. Anak mempunyai ratusan rakan di media sosial, tetapi mungkin tiada seorang pun yang benar-benar menjadi tempat dia meminta pertolongan.
Apabila tragedi berlaku, kita bertanya:
“Di mana ibu bapa?”
“Di mana guru?”
“Di mana masyarakat?”
Jika benar seluruh masyarakat bertanggungjawab membesarkan anak, kita tidak boleh hanya mengambil tahu apabila anak sudah menjadi mangsa atau pelaku.
Kita terlalu cepat melabel, terlalu lambat membantu
Pelajar yang agresif dilabel “nakal”. Yang sering bergaduh dianggap “samseng”. Yang bermasalah dilabel “budak bermasalah”.
Tetapi label tidak menyelesaikan masalah. Kita perlu mengenal pasti tingkah laku berisiko lebih awal seperti perubahan mendadak, keganasan berulang, ancaman, buli, pengasingan diri atau konflik yang semakin serius.
Perkara ini bukan bermaksud melabel seseorang sebagai “bakal penjenayah”. Sebaliknya, ia bermaksud memastikan seseorang mendapat bantuan sebelum keadaan menjadi lebih buruk. Jangan tunggu darah tertumpah untuk menyedari bahawa ada sesuatu yang tidak kena.
Rakan sebaya mungkin orang pertama yang tahu
Dalam dunia remaja, rakan sebaya mungkin mengetahui sesuatu jauh lebih awal daripada ibu bapa atau guru. Mereka tahu siapa yang dibuli. Mereka tahu siapa yang diugut. Mereka tahu konflik yang berlaku. Tetapi mereka mungkin takut melaporkannya kepada pihak yang sepatutnya.
Oleh sebab itu, pelajar perlu diajar bukan sahaja “jangan membuli”, tetapi juga apa yang perlu dilakukan apabila melihat buli atau ancaman. Melaporkan ancaman bukan mengadu. Dalam keadaan tertentu, ia mungkin bermakna menyelamatkan nyawa. Allah mengingatkan dalam al-Quran:
“Dan hendaklah kamu saling membantu dalam perkara kebajikan dan ketakwaan, dan janganlah kamu saling membantu dalam dosa dan permusuhan.” (Surah al-Ma’idah: 2)
Nilai ini perlu diterjemahkan menjadi keberanian untuk bertindak apabila melihat kemudaratan.
Pendidikan akhlak bukan sekadar slogan
Kita sering bercakap tentang pendidikan agama dan moral. Tetapi anak-anak juga perlu diajar kemahiran mengurus kemarahan, menyelesaikan konflik, menerima penolakan, meminta bantuan dan menghormati maruah orang lain.
Mereka perlu memahami bahawa marah bukan lesen untuk mencederakan, kecewa bukan alasan untuk membalas dendam dan perbezaan bukan alasan untuk membenci. Al-Quran mengingatkan:
“Dan janganlah kamu membunuh diri seseorang manusia yang diharamkan Allah membunuhnya, kecuali dengan alasan yang benar.” (Surah al-Isra’: 33)
Kesucian nyawa manusia mesti menjadi sebahagian daripada pembentukan karakter, bukan hanya disebut selepas tragedi.
Kita mesti berhenti menunggu tragedi berikutnya
Selepas tragedi, kita berjanji akan memperketat keselamatan. Kita tambah rondaan, semak prosedur dan adakan sesi kaunseling.
Semua itu perlu. Tetapi persoalannya ialah, “adakah kita sedang membaiki sistem atau sekadar bertindak balas terhadap berita?” Kita perlu bergerak daripada budaya “tunggu laporan” kepada budaya “kenal pasti dan cegah”.
Ukuran kejayaan bukan hanya berapa ramai pelajar dihukum kerana buli. Kita juga perlu bertanya “Berapa banyak konflik berjaya dihentikan sebelum menjadi buli?”, “Berapa banyak ancaman dikesan sebelum menjadi keganasan?”, dan “Berapa ramai anak dibantu sebelum mereka kehilangan kawalan?”
Itulah ukuran sebenar pencegahan. Kita mungkin tidak mampu menjamin setiap tragedi dapat dielakkan. Tetapi kita boleh memastikan lebih banyak tanda dilihat, lebih banyak suara didengar dan lebih banyak intervensi berlaku sebelum terlambat.
Kita sering bertanya “Bagaimana seorang anak boleh melakukan pembunuhan?” Mungkin sudah tiba masanya kita bertanya soalan yang lebih tidak selesa iaitu “Apakah yang kita semua gagal lakukan sebelum dia sampai ke tahap itu?”
It takes a village to raise a child.
Jika benar kita percaya ungkapan itu, apabila seorang anak jatuh, kita tidak boleh hanya bertanya siapa yang bersalah.
Kita perlu bertanya di manakah “kampung” yang sepatutnya menjaga anak itu? Sekiranya kampung itu semakin hilang, kita semua bertanggungjawab untuk membinanya semula.
Dr. Sabariah Baharun
Naib Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia




