Sejarah pada 31 Ogos 1957 di Stadium Merdeka merakamkan bagaimana Tunku Abdul Rahman melaungkan “Merdeka” sebanyak tujuh kali dan disambut dengan penuh semangat serta meriah oleh rakyat.
Sejak detik itu, saban tahun kita menyambut dan mengenangnya sebagai saat kebebasan sebuah negara yang beratus tahun telah dijajah. Namun apabila direnung semula, laungan itu sebenarnya merupakan satu perbuatan yang menuntut keberanian yang luar biasa.
Untuk berdiri di hadapan, menunjukkan kepada dunia luar serta mengisytiharkan bahawa negara ini layak menentukan nasibnya sendiri bukanlah perkara yang mudah. Tanah air ini, pada asasnya, dilahirkan oleh keberanian, bukannya ketakutan.
Keberanian generasi pengasas negara ini mempunyai satu ciri yang penting, mempunyai misi dan matlamat. Mereka berani menuntut hak bangsa di medan perjuangan, mereka yang berani berhujah di meja rundingan yang kesemuanya menuju satu matlamat yang jelas, iaitu membebaskan tanah air dan membina sebuah negara yang bermaruah.
Keberanian mereka untuk membina sebuah negara mengikut acuan sendiri. Itulah keberanian yang memerdekakan negara kita.
Di manakah visinya?
Hampir tujuh dekad, penjajah sudah lama pergi meninggalkan negara ini, keberanian itu masih mengalir dalam darah anak muda kita. Cuma visinya telah hilang. Hari ini kita membaca berita tentang pelajar yang berani membuli rakan sekelas, berani menjadi samseng sekolah, malah berani mengangkat senjata terhadap teman sebayanya sendiri.
Keberanian yang dahulu memerdekakan bangsa kini bertukar menjadi keberanian yang memenjarakan diri sendiri, di dalam bilik tahanan mahupun dalam penyesalan yang panjang.
Di sinilah kita perlu berfikir dan bertanya satu soalan, adakah membuli, mengganas dan menyakiti orang lain itu benar-benar satu keberanian? Merujuk kepada Garis Panduan Pendidikan Berasaskan Nilai yang diterbitkan Agensi Kelayakan Malaysia, jawapannya sama sekali tidak.
Dalam dokumen tersebut, berani itu bukan dilihat sebagai kekuatan fizikal atau kesanggupan melawan, tetapi sebagai kekuatan dalaman, mempunyai sikap positif yang membolehkan seseorang mengharungi cabaran serta menyesuaikan diri dengan perubahan. Takrifan ini memindahkan makna berani daripada bersifat fizikal kepada kekuatan jiwa.
Keberanian ini berdiri atas tiga tunjang:
Pertama, ketahanan, iaitu keberanian untuk bangkit semula selepas gagal dan tidak berputus asa apabila diuji.
Kedua, disiplin, iaitu keberanian mengawal diri, kerana menahan nafsu sebenarnya jauh lebih sukar daripada menurutinya.
Ketiga, berdikari, iaitu keberanian berdiri atas prinsip sendiri dan membuat keputusan yang betul walaupun tidak diikuti oleh orang ramai.
Apabila kita mengukur berani melalui neraca ini, maka terserlah satu kebenaran iaitu mereka yang berani membuli dan mencederakan itu sebenarnya bukan orang yang berani.
Mereka ialah orang yang lemah jiwanya, yang tidak mampu mengawal diri, tidak tahan diuji serta mudah hanyut mengikut tekanan rakan sebaya. Keganasan mereka adalah kelemahan yang berpura-pura menunjukkan keberanian sedangkan keberanian sejati menuntut yang sebaliknya sama sekali.
Bagaimana keberanian ini dibentuk?
Persoalan seterusnya, bagaimana keberanian jiwa ini hendak dibentuk dalam diri anak muda kita? Keberanian ini tidak boleh diajar melalui ceramah setahun sekali atau melalui slogan yang ditampal di dinding sekolah atau universiti. Keberanian ini perlu diterapkan merentas pengalaman harian dan dibentuk mengikut peringkat.
Bagi murid sekolah, keberanian bermaksud berani mengaku salah, berani menegur rakan yang membuli dan bukan sekadar menjadi pemerhati yang berdiam diri, serta berani tampil bersuara apabila menyaksikan kezaliman.
Di sinilah peranan guru amat penting, iaitu menyalurkan tenaga keberanian murid ke arah yang betul, bukan menekannya sehingga anak yang berani disalah anggap sebagai anak yang nakal.
Bagi pelajar universiti pula, keberanian bermaksud berani menolak jalan mudah seperti meniru dan bergantung sepenuhnya kepada kecerdasan buatan, berani mempertahankan pendirian dalam perbincangan ilmiah dan berani jujur dalam tugasan walaupun memenatkan.
Nilai keberanian yang teruji
Namun ujian keberanian yang paling berat sebenarnya menanti apabila anak muda ini menamatkan pengajian dan melangkah ke alam pekerjaan. Di sinilah nilai keberanian benar-benar diuji. Berani menolak rasuah walaupun ditawarkan dengan ganjaran yang menggoda. Berani berkata tidak kepada arahan yang menyalahi integriti.
Berani melaporkan salah laku yang disaksikan, walaupun ramai yang memilih untuk berdiam diri. Berani mempertahankan prinsip walaupun kedudukan dan kerjaya menjadi taruhannya. Inilah keberanian moral yang mahal harganya kerana ia menuntut seseorang berdiri seorang diri tanpa sorakan dan pujian.
Inilah tujuan sebenar Pendidikan Berasaskan Nilai, bukan bertujuan melahirkan graduan yang penurut, yang diam demi menjaga kedudukan dan yang sanggup memejamkan mata demi keselesaan diri.
Matlamatnya ialah melahirkan insan yang berani mempertahankan kebenaran, yang teguh memegang integriti dan yang sanggup menanggung risiko demi mempertahankan apa yang betul. Sebuah negara tidak akan runtuh kerana kekurangan orang pandai, tetapi negara itu akan runtuh apabila orang pandai hilang keberaniannya untuk berkata benar.
Maka apabila kita menyambut Merdeka pada tahun ini, elok kita renungkan satu perkara. Kemerdekaan tanah air sudah lama kita capai, tetapi kemerdekaan jiwa masih menjadi perjuangan yang belum selesai.
Keberanian yang dahulu diarahkan untuk mengusir penjajah kini perlu diarahkan semula untuk mengusir ketakutan dalam diri, iaitu takut untuk jujur, takut untuk menegur dan takut untuk berdiri seorang diri demi kebenaran.
Pada akhirnya, keberanian yang paling gagah pada hari ini bukanlah keberanian mengangkat tangan terhadap mereka yang lemah, tetapi keberanian mengangkat suara demi yang benar.
Prof. Madya Dr. Khairul Hamimah Mohammad Jodi
Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan
Open Universiti Malaysia




