Politik Malaysia Masa Depan: Antara Identiti dan Prestasi

Malaysia sedang memasuki era baharu dalam perkembangan demokrasinya. Selepas lebih enam dekad merdeka, rakyat semakin matang membuat penilaian terhadap kerajaan dan pemimpin yang dipilih.

Persoalan yang semakin relevan ialah: adakah pilihan politik kita masih didorong oleh sentimen identiti atau sudah beralih kepada prestasi dan keupayaan mentadbir?

Politik identiti bukanlah sesuatu yang asing dalam sejarah negara. Sejak sebelum merdeka, isu agama, bangsa, bahasa dan wilayah menjadi sebahagian daripada pembentukan landskap politik Malaysia.

Identiti vs Prestasi

Dalam sebuah negara majmuk, identiti mempunyai fungsi penting sebagai asas perpaduan dan kestabilan. Perlembagaan Persekutuan mengiktiraf Islam sebagai agama Persekutuan, kedudukan Raja-raja Melayu, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera, di samping menjamin hak-hak sah semua warganegara.

Namun, politik identiti akan menjadi tidak sihat apabila ia dieksploitasi untuk menimbulkan ketakutan, memburukkan pihak lain atau menutup kelemahan pentadbiran. Dalam keadaan sedemikian, perbahasan tentang ekonomi, pendidikan, kesihatan, peluang pekerjaan dan kos sara hidup sering tenggelam di sebalik retorik yang bersifat emosional.

Hakikatnya, rakyat lebih terkesan oleh persoalan kehidupan seharian. Mereka mahu pekerjaan yang baik, harga barang yang terkawal, pendidikan berkualiti untuk anak-anak, perkhidmatan kesihatan yang cekap, perumahan yang mampu dimiliki dan sistem pengangkutan awam yang efisien. Inilah ukuran sebenar politik prestasi.

Politik prestasi menuntut setiap kerajaan dinilai berdasarkan hasil yang dicapai. Berapa banyak pelaburan berjaya dibawa masuk? Berapa banyak peluang pekerjaan diwujudkan? Adakah kadar kemiskinan berjaya dikurangkan? Adakah proses mendapatkan perkhidmatan kerajaan menjadi lebih pantas? Adakah tadbir urus menjadi lebih telus dan bebas daripada rasuah?

Sesebuah kerajaan tidak boleh hanya bergantung kepada slogan. Ia perlu menunjukkan pencapaian yang boleh diukur dan dirasai oleh rakyat.

Nilai dasar, pencapaian kerajaan

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Malaysia menyaksikan peningkatan pelaburan yang diluluskan dalam sektor strategik seperti semikonduktor, pusat data, ekonomi digital dan tenaga boleh diperbaharui.

Pada masa yang sama, kerajaan memperkenalkan pelbagai inisiatif untuk memperkukuh jaringan keselamatan sosial, meningkatkan latihan kemahiran serta menarik pelaburan berkualiti tinggi.

Walaupun cabaran seperti kos sara hidup, tekanan inflasi dan ketidaktentuan ekonomi global masih wujud, penilaian terhadap kerajaan sewajarnya dibuat berdasarkan keberkesanan dasar yang dilaksanakan, bukannya semata-mata persepsi politik.

Begitu juga halnya di peringkat negeri. Rakyat akan menilai sama ada kerajaan negeri berjaya menarik pelaburan, menyediakan peluang pekerjaan, membina infrastruktur, memperbaik sistem saliran bagi mengurangkan banjir, membina rumah mampu milik dan meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada rakyat. Itulah ukuran yang lebih objektif terhadap kejayaan sesebuah pentadbiran.

Hal ini tidak bermakna politik identiti harus diketepikan. Sebaliknya, identiti nasional perlu terus dipelihara dengan pendekatan yang inklusif dan berlandaskan Perlembagaan.

Memartabatkan Islam, mempertahankan institusi Raja-raja Melayu, memelihara kedudukan orang Melayu dan Bumiputera serta menghormati hak semua rakyat bukanlah agenda yang bercanggah dengan politik prestasi. Malah, semua prinsip tersebut akan menjadi lebih bermakna apabila disokong oleh pentadbiran yang cekap, amanah dan berintegriti.

Politik prestasi juga menuntut budaya akauntabiliti. Janji pilihan raya perlu diterjemahkan kepada dasar yang berkesan. Perbelanjaan awam mesti diurus secara berhemat. Setiap projek pembangunan hendaklah memberi manfaat kepada rakyat, bukannya menjadi beban kewangan negara. Pemimpin pula perlu bersedia dipertanggungjawabkan terhadap setiap keputusan yang dibuat.

Bukan sekadar pilih pemerintah

Pilihan raya bukan sekadar pertandingan untuk menentukan siapa yang memerintah. Ia adalah mekanisme demokrasi untuk rakyat menilai rekod pencapaian, integriti dan keupayaan kepimpinan. Demokrasi akan menjadi lebih matang apabila pengundi memilih berdasarkan fakta, bukti dan prestasi, bukannya semata-mata sentimen.

Malaysia memerlukan politik yang membina keyakinan, bukan politik yang menanam kebencian. Negara memerlukan pemimpin yang mampu menyatukan rakyat, mengurus ekonomi dengan berkesan, mempertahankan kepentingan nasional serta memastikan setiap rakyat menikmati hasil pembangunan secara adil.

Politik identiti mungkin mampu memenangi hati sebahagian pengundi dalam jangka pendek, tetapi politik prestasilah yang akan menentukan kekuatan ekonomi, kestabilan negara dan kesejahteraan rakyat dalam jangka panjang.

Sudah tiba masanya rakyat Malaysia menjadikan prestasi sebagai ukuran utama dalam menilai kerajaan dan pemimpin. Identiti tetap penting sebagai asas negara, tetapi prestasi ialah penentu masa depan negara.

SM Ismail

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia