Dalam sebuah negara demokrasi, kuasa rakyat bukan sekadar terletak pada kebebasan bersuara tetapi juga melalui keberanian membuat pilihan.
Pilihan raya bukan hanya satu proses memilih pemimpin, tetapi merupakan ruang untuk rakyat menentukan hala tuju negara, menilai prestasi kerajaan serta memastikan suara mereka diambil kira dalam pentadbiran.
Namun begitu, cabaran terbesar demokrasi hari ini bukan lagi semata-mata soal hak untuk mengundi, tetapi kesediaan rakyat khususnya golongan muda untuk melaksanakan tanggungjawab tersebut.
Golongan muda merupakan kelompok terbesar yang akan mewarisi masa depan negara. Mereka berhadapan dengan isu yang dekat dengan kehidupan seharian seperti peluang pekerjaan, kos sara hidup, pendidikan, perubahan teknologi, alam sekitar dan kestabilan ekonomi. Oleh sebab itu, keputusan politik hari ini akan memberikan kesan langsung terhadap kehidupan mereka pada masa hadapan.
Statistik menunjukkan bahawa selepas pelaksanaan pendaftaran pemilih automatik melalui Undi18, jumlah pengundi berdaftar di Malaysia meningkat kepada lebih 21 juta orang dengan golongan muda berumur 18 hingga 39 tahun membentuk kelompok yang sangat signifikan dalam menentukan keputusan pilihan raya.
Perbetul persepsi anak muda
Namun, kuasa yang besar tidak akan bermakna sekiranya tidak digunakan. Justeru, budaya turun mengundi perlu dilihat bukan sebagai pilihan semata-mata, tetapi sebagai kewajipan moral dan tanggungjawab sebagai warganegara yang prihatin terhadap masa depan negara.

Ramai anak muda menganggap politik sebagai sesuatu yang jauh daripada kehidupan mereka. Ada yang beranggapan bahawa satu undi tidak akan membawa perubahan besar. Persepsi seperti ini perlu diperbetul kerana sejarah membuktikan bahawa perubahan besar dalam sesebuah negara sering bermula daripada kesedaran rakyat untuk menggunakan hak demokrasi yang dimiliki.
Setiap keputusan kerajaan memberi kesan kepada kehidupan rakyat. Dasar berkaitan pendidikan menentukan peluang generasi muda mendapatkan ilmu. Dasar ekonomi menentukan peluang pekerjaan dan pendapatan. Keputusan berkaitan perumahan, kesihatan dan teknologi pula memberi kesan terhadap kualiti hidup masyarakat yang mendatang.
Oleh itu, apabila seseorang memilih untuk tidak mengundi, mereka sebenarnya menyerahkan keputusan masa depan kepada orang lain. Dalam demokrasi, tiada ruang kosong dalam menentukan kepimpinan kerana setiap kerusi yang dipertandingkan akan tetap dimenangi oleh seseorang.
Persoalannya, adakah kita mahu masa depan negara ditentukan oleh suara majoriti yang aktif atau oleh kelompok yang lebih kecil tetapi lebih bersungguh-sungguh menggunakan hak mereka?
Islam sendiri menekankan konsep amanah dalam kehidupan. Allah SWT berfirman dalam Surah an-Nisa’ ayat 58:
“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyerahkan amanah kepada yang berhak menerimanya…”
Ayat ini mengingatkan bahawa setiap tanggungjawab perlu dilaksanakan dengan penuh kesedaran. Dalam konteks demokrasi, memilih pemimpin yang baik dan berintegriti juga merupakan satu bentuk amanah yang perlu dipertimbangkan dengan matang.
Peningkatan jumlah pengundi muda merupakan peluang besar untuk memperkukuh demokrasi Malaysia. Namun, jumlah yang besar sahaja tidak mencukupi sekiranya keputusan dibuat tanpa penelitian dan pertimbangan.
Cabaran maklumat dan tindakan
Generasi muda hari ini mempunyai akses kepada pelbagai sumber maklumat melalui media sosial dan platform digital. Namun, cabaran utama ialah memastikan maklumat yang diterima adalah benar dan tidak terpengaruh dengan berita palsu, fitnah atau manipulasi emosi.
Mengundi bukan sekadar memilih berdasarkan populariti seseorang, sentimen kelompok atau pengaruh media sosial. Sebaliknya, pengundi perlu melihat rekod perkhidmatan, kemampuan membawa perubahan, integriti yang disemat dalam jiwanya serta dasar yang ditawarkan oleh calon dan parti politik.
Golongan muda juga perlu memahami bahawa demokrasi matang memerlukan rakyat yang berfikir secara kritikal. Perbezaan pandangan politik adalah perkara biasa dalam masyarakat demokratik tetapi perbezaan tersebut harus diraikan dengan ilmu dan hujah, bukan kebencian.
Sebagai contoh, kajian berkaitan penyertaan politik sering menunjukkan bahawa golongan muda di seluruh dunia cenderung untuk kurang berminat menyertai proses politik formal seperti pilihan raya, walaupun mereka aktif menyuarakan pandangan melalui media sosial.
Fenomena ini menunjukkan bahawa cabaran utama bukan kekurangan kesedaran, tetapi bagaimana menterjemahkan kesedaran tersebut kepada tindakan.

Perlu penyertaan berterusan
Demokrasi tidak boleh berkembang hanya dengan kewujudan pilihan raya. Demokrasi memerlukan penyertaan rakyat secara berterusan. Jika rakyat khususnya anak muda tidak mengambil bahagian, ruang membuat keputusan akan lebih mudah dipengaruhi oleh kelompok tertentu sahaja.
Statistik menunjukkan kadar keluar mengundi Malaysia pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) mencapai sekitar 74.7%, lebih rendah berbanding PRU14 yang mencatatkan kira-kira 82%. Walaupun angka ini masih tinggi berbanding banyak negara lain, ia menunjukkan bahawa sebahagian rakyat masih memilih untuk tidak menggunakan hak mereka.
Golongan muda perlu memahami bahawa mengundi bukan hanya mengenai memilih kerajaan, tetapi juga tentang memastikan pemimpin sentiasa bertanggungjawab kepada rakyat. Pemimpin yang dipilih melalui penyertaan rakyat yang tinggi akan mempunyai mandat yang lebih kukuh untuk melaksanakan sesuatu dasar atau manifesto yang dijanjikan.
Lebih penting, budaya mengundi perlu dipupuk sebagai sebahagian daripada identiti masyarakat. Sama seperti masyarakat menghargai hak mendapatkan pendidikan, pekerjaan dan kebebasan bersuara. Namun, hak mengundi juga perlu dihargai kerana ia adalah mekanisme utama rakyat menentukan perjalanan negara dalam arena demokrasi ini.
Anak muda tidak boleh hanya menjadi pemerhati kepada perubahan. Mereka perlu menjadi sebahagian daripada perubahan tersebut. Masa depan Malaysia bukan hanya ditentukan oleh pemimpin hari ini, tetapi juga oleh keberanian generasi muda membuat pilihan yang bertanggungjawab.
Lambang kecintaan negara
Kesimpulannya, turun mengundi bukan sekadar kewajipan pada hari pilihan raya, tetapi lambang kecintaan terhadap negara dan kesediaan memikul tanggungjawab sebagai rakyat.
Golongan muda khususnya perlu melihat pilihan raya sebagai peluang untuk memainkan peranan dalam menentukan arah negara. Jangan biarkan keputusan penting dibuat tanpa penyertaan kita.
Demokrasi hanya akan menjadi kuat apabila rakyatnya bersedia mengambil bahagian. Gen Z hari ini menentukan masa depan negara untuk 10 hingga 20 tahun akan datang. Negara yang maju bukan hanya dibina oleh pemimpin yang baik, tetapi juga oleh rakyat yang bijak, berani dan bertanggungjawab.
Oleh itu, gunakanlah hak yang diberikan, turunlah mengundi dan jadilah sebahagian daripada usaha membina Malaysia yang lebih baik untuk generasi hari ini dan masa hadapan.
Selamat mengundi bagi rakan-rakan di Johor dan Negeri Sembilan!
Khairul Naim Khairul Anuar
Jabatan Agenda Nasional
Pertubuhan IKRAM Malaysia




