Peranan Penting Komuniti dalam Membesarkan Anak

komuniti anak

Apabila berlaku kes buli yang serius, keganasan di sekolah atau jenayah melibatkan remaja, persoalan yang sering muncul hampir sama.

Di mana ibu bapanya?
Apa yang sekolah lakukan?
Mengapa kanak-kanak itu sanggup bertindak sedemikian?

Semua pertanyaan ini wajar. Tetapi mungkin ada satu lagi soalan yang kurang ditanya, “Apakah persekitaran dan jenis masyarakat yang sedang membesarkan anak-anak ini?”

Persoalan ini semakin relevan ketika beberapa kes serius melibatkan pelajar mendapat perhatian masyarakat. Namun statistik rasmi tidak menunjukkan bahawa semua bentuk jenayah kanak-kanak sedang melonjak tanpa kawalan.

Jabatan Perangkaan Malaysia melaporkan 2,627 kanak-kanak terlibat dalam jenayah pada 2024, turun 4.2 peratus berbanding tahun sebelumnya. Pada masa yang sama, jumlah kanak-kanak yang memerlukan penjagaan dan perlindungan meningkat 12.7 peratus kepada 9,624 kes [1].

Jadi isu yang perlu dibincangkan bukan sekadar sama ada “kanak-kanak hari ini semakin ganas”. Persoalan yang lebih besar harus difikirkan, “Apakah faktor di sekeliling seorang anak yang boleh meningkatkan atau mengurangkan risiko masalah tingkah laku sebelum ia menjadi lebih serius?”

Apa sebenarnya yang dikaji dalam It Takes a Village?

Pada 2017, tiga penyelidik dari Jepun dan Amerika Syarikat menerbitkan kajian bertajuk “It Takes a Village: Fixed-effects Analysis of Neighborhood Collective Efficacy and Children’s Development” [2]. Kajian itu melibatkan 918 kanak-kanak daripada 452 keluarga di kawasan metropolitan Tokyo, yang diperhatikan dalam dua tempoh antara 2010 hingga 2013.

Kajian ini cuba menjawab satu persoalan mudah iaitu, adakah keadaan sosial dalam sesebuah kejiranan berkait dengan tingkah laku dan perkembangan emosi kanak-kanak yang tinggal di situ?

Penyelidik melihat dua perkara utama. Pertama, hubungan sesama jiran, termasuk kepercayaan, sikap saling mengenali dan kesediaan membantu. Kedua, kesediaan orang dewasa mengambil tindakan apabila melihat tingkah laku yang boleh menjejaskan kanak-kanak dan komuniti.

Antara persoalannya ialah, jika kanak-kanak ponteng sekolah, melepak, melakukan vandalisme atau bergaduh, adakah orang dewasa di kawasan itu akan mengambil tahu dan melakukan sesuatu?

Persoalan ini sebenarnya membawa kembali satu nilai moral kejiranan iaitu, adakah orang dewasa masih melihat kesejahteraan anak jiran sebagai sebahagian daripada tanggungjawab bersama?

Hasilnya, kajian mendapati bahawa, apabila hubungan dan kepercayaan antara jiran lebih baik, masalah tingkah laku dan emosi kanak-kanak cenderung berkurangan.

Kesediaan orang dewasa untuk mengambil tahu dan bertindak terhadap tingkah laku yang bermasalah juga dikaitkan dengan pengurangan masalah tingkah laku, khususnya dalam kalangan kanak-kanak lelaki. Masalah yang dilihat termasuk tingkah laku agresif, pergaduhan, masalah emosi, kesukaran memberi perhatian dan kecenderungan mengasingkan diri.

Yang penting, penyelidik melihat perubahan yang berlaku kepada keluarga dan kanak-kanak yang sama dari masa ke masa, bukan sekadar membandingkan kawasan yang berbeza. Faktor seperti pendapatan, pekerjaan, perpindahan rumah, struktur keluarga dan kesihatan turut diambil kira.

Namun, kesannya didapati kecil dan kajian ini mempunyai beberapa batasan. Tempoh pemerhatian hanya sekitar dua tahun dan sebahagian maklumat bergantung kepada laporan ibu bapa. Oleh itu, dapatan ini tidak bermaksud bahawa kejiranan yang baik dapat menjamin kanak-kanak bebas daripada masalah tingkah laku.

Kesimpulan yang lebih wajar ialah komuniti yang saling mempercayai, mengambil berat dan berani bertindak apabila perlu boleh menjadi salah satu lapisan perlindungan penting dalam perkembangan kanak-kanak.

Adakah kajian lain menemukan perkara yang sama?

Secara umum, ya. Dapatan daripada beberapa kajian di Britain [3], Amerika Syarikat [4], Singapura [5], Indonesia [6] dan Malaysia [7] menunjukkan satu pola yang hampir sama. Persekitaran kejiranan dan hubungan dalam komuniti mempunyai kaitan dengan perkembangan tingkah laku, emosi dan kesihatan mental kanak-kanak. 

Di Britain, misalnya, kajian mendapati kanak-kanak yang membesar dalam kejiranan dengan tahap kepercayaan dan hubungan sosial yang lebih baik menunjukkan lebih sedikit masalah tingkah laku ketika memasuki alam persekolahan.

Dapatan dari Singapura yang diterbitkan pada 2026 turut menunjukkan bahawa sokongan keluarga dan komuniti berkait dengan pengurangan masalah tingkah laku dalam kalangan kanak-kanak. Hubungan dengan komuniti didapati lebih penting bagi kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah, yang mungkin mempunyai akses lebih terhad kepada sumber dan sokongan lain.

Di Malaysia pula, kajian terhadap 567 remaja daripada 13 sekolah menengah di Kuala Lumpur mendapati terdapat kaitan antara keadaan kejiranan dengan kesihatan mental remaja.

Walaupun kajian-kajian ini dijalankan dalam konteks yang berbeza, mesejnya hampir sama iaitu perkembangan seorang anak tidak berlaku di dalam rumah sahaja. Pengaruh keluarga tetap menjadi titik mula dan terpenting dalam pembentukan seorang anak, tetapi ia bukan satu-satunya pengaruh. 

Sekolah, rakan sebaya, jiran dan komuniti turut membentuk persekitaran sosial yang mempengaruhi cara seorang anak membesar. Dengan kata lain, keluarga membesarkan anak, tetapi komuniti turut membentuk siapa mereka. 

Bagaimana pula dengan jenayah?

Namun begitu, kajian ini bukan bukti bahawa jenayah berlaku kerana masyarakat tidak mengambil peduli. Jenayah dan keganasan melibatkan pelbagai faktor, termasuk keadaan keluarga, pengalaman trauma, pengaruh rakan sebaya, tekanan hidup, kesihatan mental dan persekitaran sosial.

Namun, kajian-kajian tersebut mengingatkan bahawa usaha mencegah masalah tidak seharusnya bermula selepas sesuatu yang buruk berlaku. Ia bermula lebih awal.

Siapa yang menyedari apabila seorang remaja mula terasing? Siapa yang bertanya apabila seorang pelajar berubah tingkah laku? Siapa yang boleh didatangi apabila seorang kanak-kanak takut untuk bercerita kepada keluarganya?

Dan apabila tanda-tanda kecil mula kelihatan, adakah orang dewasa akan berkata “bukan anak saya”, atau bertanya, “Apa yang sedang berlaku kepada anak ini?” Di situlah pentingnya sebuah komuniti yang benar-benar mengambil berat.

Membina semula “kampung” dalam masyarakat moden

Hal ini bukan bermaksud memberi lesen untuk jiran mengawal, memalukan atau menghukum anak orang lain. Peranan komuniti ialah mengambil tahu, bukan mengambil alih.

Dalam konteks Malaysia, ia boleh diterjemahkan melalui beberapa langkah:

  • Membina jaringan orang dewasa yang dipercayai melalui keluarga, sekolah, Rukun Tetangga, persatuan penduduk, masjid, NGO, kelab sukan dan komuniti belia.
  • Mewujudkan sistem amaran awal supaya tanda seperti buli, pengasingan diri, penderaan atau tekanan emosi tidak terlepas begitu sahaja.
  • Menyediakan ruang selamat untuk anak bersuara, terutama bagi mereka yang sukar berkongsi masalah dengan keluarga.
  • Mewujudkan hubungan yang berterusan, bukan sekadar program komuniti sehari. Anak memerlukan orang dewasa yang mengenali dan mengambil berat tentang mereka.
  • Melihat ruang digital sebagai sebahagian daripada persekitaran anak, kerana sebahagian pengaruh, pergaulan dan risiko kini berlaku dalam talian.

 

Anak dibesarkan oleh sebuah komuniti

Seorang anak mungkin tinggal bersama keluarganya, tetapi perkembangan dirinya turut dipengaruhi oleh lingkungan yang lebih luas.

Itulah inti ungkapan “it takes a village to raise a child”. Membesarkan anak bukan hanya urusan ibu bapa. Ia turut menuntut kehadiran orang dewasa lain yang bersedia mengenali, mendengar, membantu dan bertindak apabila diperlukan.

Apabila berlaku jenayah, undang-undang tetap perlu ditegakkan dan mangsa mesti dilindungi. Namun, pencegahan perlu bermula lebih awal.

Persoalannya bukan sekadar siapa yang bertindak selepas seorang anak menjadi mangsa, tetapi, “Berapa ramai orang dewasa yang hadir dalam kehidupannya sebelum dia sampai ke titik krisis?”

Mencegah masalah kanak-kanak bukan tugas polis, guru atau ibu bapa sahaja. Ia tanggungjawab sebuah komuniti.

Basmin Maarof
Pegawai Kanan
Jabatan Komunikasi Korporat
Pertubuhan IKRAM Malaysia

Rujukan:
[1] Statistik Kanak-kanak Malaysia 2025
[2] It takes a village – Analysis
[3] UK Analysis
[4] US Analysis
[5] Singapore Analysis
[6] Indonesia Analysis
[7] Malaysia Analysis

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia