PUTRAJAYA – Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) Putrajaya buat julung kalinya telah melancarkan satu modul keibubapaan yang bersepadu, iaitu Modul Asas Holistik Keibubapaan Kota (MAHKOTA).
Inisiatif baharu ini disempurnakan pelancarannya oleh Yang Dipertua IKRAM Putrajaya, Ustaz Mohamad Kamil Abu Talib ketika berlangsungnya Mini Karnival Putrajaya MPP Sub Zon 4 di Pusat Kejiranan Presint 11 pada Sabtu, 3 Oktober lalu.
MAHKOTA, sebuah program yang tersusun dan bermodul ini bertujuan untuk membekalkan ilmu dan kemahiran praktikal keibubapaan agar institusi keluarga kekal teguh berdepan realiti dan cabaran dunia semasa.
Menurut Ustaz Kamil, ia merupakan pendekatan bersepadu IKRAM Putrajaya merangkumi modul asas kekeluargaan, termasuk aspek akidah dan tarbiah, hubungan dan komunikasi, akhlak, keselamatan digital, kesihatan, akademik dan potensi, serta fitrah dan kepimpinan.
“Dalam modul MAHKOTA ini, kita mengambil kira realiti dan cabaran ibu bapa di kota dalam mendidik anak seperti kerja lebih masa, keletihan emosi, jauh daripada keluarga besar dan nilai-nilai asing yang mempengaruhi anak di ruang digital,” ujarnya.
Jelasnya, modul ini dirangka khas bagi menangani cabaran-cabaran ini melibatkan empat program berfasa, dengan kerjasama aktivis Malaysians Against Pornography (MAP) dan Ibu Bapa Memastikan Peningkatan Akademik Anak (IMPAK).

Turut hadir ketika pelancaran modul itu ialah pakar perunding O & G, Datuk Dr. Harlina Halizah Siraj, merangkap pengasas Akademi Dr. Har, yang menyampaikan ceramah khas bertajuk “Pendidikan Seksualiti Holistik: Perisai untuk Gen Alfa”.
Ceramah itu diikuti dengan forum “Perisai Gen Alfa: Peranan dan Realiti Keluarga Era AI” yang menampilkan dua ahli panel iaitu pakar kesihatan awam, Dr. Fatimah Ahmad Fauzi dan pakar pediatrik, Dr. Farin Masra.

Dalam karnival mini itu, IKRAM Putrajaya turut membuka reruai pameran NGO, MAHKOTA, Kelab Memanah Ikramah dan Kelab Rekacipta Putrajaya, serta menganjurkan Pertandingan Mewarna untuk kanak-kanak oleh IKRAM Junior.
Dengan pelancaran modul MAHKOTA, Ustaz Kamil menzahirkan harapan agar inisiatif keibubapaan ini dapat digerakkan dan memberi impak positif kepada ibu bapa dan anak-anak ke arah kesejahteraan institusi keluarga pada era digital ini.

Sumber: Mini Karnival MPP SZ4




