Hijrah ke Madinah: Apa Strategi Sebenar Rasulullah?

Hijrah ke Madinah: Apa Strategi Sebenar Rasulullah? | IKRAM

Setiap kali tibanya tahun baharu Hijrah, umat Islam di seluruh dunia dan Malaysia tidak terkecuali akan saling mengucapkan “Maal Hijrah”, “كل عام وأنتم بخير” dan lain-lain.

Tidak kurang juga masjid-masjid yang menganjurkan pelbagai program, masyarakat setempat menghadiri ceramah agama, masing-masing saling membacakan kisah ikonik penghijrahan Rasulullah SAW, sambil kita memasang azam untuk menjadi insan yang lebih baik. 

Tapi, pernahkah kita bertanya kepada diri kita sendiri, mengapa Khalifah Umar bin al-Khattab r.a. memilih peristiwa hijrah sebagai asas kiraan tahun Islam (at-Taqwim al-Islami)?

Bukankah umat Islam juga memperingati peristiwa-peristiwa besar dalam sirah, contohnya kelahiran Baginda SAW, peristiwa penurunan wahyu pertama dan pembukaan Kota Makkah? Tetapi kenapa yang dipilih ialah peristiwa Hijrah?

Saya fikir, pasti ramai sedar bahawa tahun Masihi dikaitkan dengan kelahiran Nabi Isa a.s., manakala tahun Hijrah pula dikaitkan dengan penghijrahan Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah. Kedua-duanya sudah tentu mempunyai nilai sejarah yang besar dan signifikan dalam tradisi masing-masing.

Namun, terdapat satu keistimewaan pada peristiwa Hijrah yang sangat dekat dengan kehidupan manusia, iaitu nilai perubahan, perjuangan dan pengorbanan yang terkandung dalam peristiwa tersebut! 

Kelahiran pada hakikatnya ialah satu anugerah yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada seseorang tanpa pilihan daripada orang itu, sedangkan hijrah ialah suatu keputusan yang lahir daripada kesedaran, keberanian dan kesanggupan untuk meninggalkan sesuatu demi mencapai keadaan yang lebih baik.

Di sinilah terletaknya hikmah pemilihan peristiwa Hijrah sebagai asas takwim Islam. Hijrah bukan sekadar menceritakan bagaimana Rasulullah SAW memulakan sebuah fasa besar dalam perkembangan Islam, tetapi juga mengajar kita ke mana dan bagaimana seseorang sepatutnya mengubah nasib dirinya.

Dengan itu, ia bukan sekadar peristiwa sejarah yang kosong, tetapi suatu simbol perubahan yang dirancang, diperjuangkan dan dikorbankan demi mencapai masa hadapan yang lebih baik.

Oleh sebab itulah mungkin, sudah menjadi kebiasaan kita umat Islam, setiap kali tibanya tahun baharu Hijrah, kita bukan sekadar diingatkan tentang perjalanan Rasulullah SAW, tetapi turut diajak untuk menilai perjalanan hidup kita sendiri: Apakah kita masih berada di takuk yang sama, atau sedang bergerak menuju keadaan yang lebih baik daripada sebelumnya?

Erti Hijrah kepada umat Islam

Tanpa perlu mendalami sirah Rasulullah SAW secara terperinci, perkataan “hijrah” itu sendiri sudah cukup menjelaskan makna “meninggalkan sesuatu keadaan yang kurang baik kepada keadaan yang lebih baik”. 

Sehubungan itulah, setiap kali memasuki tahun baharu Hijrah, kita bukan sekadar menukar angka pada kalendar. Bahkan kita akan berusaha untuk mengingatkan diri sendiri tentang kewajipan untuk berubah, membaiki diri dan meninggalkan perkara yang menghalang kita daripada mencapai keredaan Allah SWT. 

Hijrah mendorong kita meninggalkan kemalasan kepada kerajinan, membuang kejahilan dan menambah ilmu, meninggalkan permusuhan yang keji kepada hidup berkasih sayang sesama insan, selain tidak dilupakan juga keperluan untuk meninggalkan dosa kepada amalan taubat yang bererti.

Dalam erti kata lain, tahun Hijrah bukan sekadar sistem kiraan masa, tetapi sebuah peringatan yang berulang setiap tahun bahawa kehidupan ini sentiasa bergerak ke hadapan. Ya, progress itu akan wajib berlaku, tidak dapat tidak. Cuma sama ada ke arah yang lebih baik atau ke arah yang lebih buruk, kita sahaja yang menentukannya!

Manusia yang berakal waras pastilah akan memilih untuk bergerak ke arah yang lebih baik, lantaran itulah sambutan Maal Hijrah tempoh hari mempunyai nilai pendidikan yang sangat besar. Ia bukan hanya mengajak kita mengenang sejarah, tetapi mengajak kita menilai semula perjalanan hidup kita sendiri.

Walau bagaimanapun, timbul satu persoalan yang sangat penting bagi saya. Jika setiap tahun kita menyambut Hijrah dan setiap tahun kita bercakap tentang perubahan, ironinya mengapa masih ramai yang kelihatan tidak berubah menjadi lebih baik? Malah, kadang-kadang yang berlaku adalah sebaliknya. 

Umur semakin meningkat, tetapi kesihatan semakin merosot. 

Pendapatan bertambah, tetapi ekonomi keluarga semakin sempit. 

Teknologi semakin canggih, tetapi makna kehidupan semakin berkurangan. 

Peluang pendidikan semakin luas dan mudah, tetapi malang sekali budaya membaca pula semakin terabai.

Di sinilah paradoks itu berlaku. Kita sebenarnya mempunyai lebih banyak kemudahan berbanding generasi terdahulu, namun peliknya, kita sering berasa lebih tertekan dan tidak tenang. 

Ada juga dalam kalangan kita yang setiap tahun memasang azam yang sama. Tahun lalu mahu mengurangkan berat badan, tahun ini juga masih bercakap perkara yang sama.

Tahun lalu mahu membaca lebih banyak buku, tahun ini malangnya, sudah lebih seminggu daripada sambutan Maal Hijrah 17 Jun yang lalu, tapi kita masih belum pun membuka buku pertama. Tahun lalu mungkin mahu memperbaiki hubungan keluarga, tapi tahun ini masih menyimpan luka dan sengketa yang sudah sangat lama berlalu.

Apakah sebenarnya yang berlaku kepada kita? Adakah kita tidak mahu berubah? Atau adakah kita mahu berubah tetapi tidak mengetahui caranya? Adakah kita terlalu memberi perhatian kepada hasil sehingga terlupa kepada proses?

Atau mungkin kita terlalu ghairah bercakap tentang perubahan, berkongsi dalam media sosial, menagih like dan share, tetapi tidak pernah benar-benar merancang jalan untuk mencapainya?

Hijrah bukan sekadar slogan, tetapi suatu strategi

Begitulah hakikatnya, ramai orang gemar dan suka akan idea perubahan ini, tetapi tidak ramai yang sanggup melalui proses perubahan. Kita suka membayangkan kejayaan, tetapi kurang memberi perhatian kepada strategi yang membawa kepada kejayaan tersebut. 

Ia ibarat kita mahu sampai ke destinasi, tetapi tidak merancang perjalanan! Adakah itu akan menyampaikan kita ke destinasi? Bahkan ia mungkin akan menjerumuskan kita ke dalam masalah yang lain pula.

Hal tersebut sebenarnya selalu terjadi. Apabila berhadapan dengan cabaran pertama, semangat kita sudah mula luntur. Baru sahaja kita berhadapan dengan kesukaran pertama, azam sudah mula pudar. Akhirnya, tahun demi tahun berlalu, tetapi tanpa perubahan yang benar-benar memberi makna kepada kehidupan. Kita masih di takuk yang lama, ibarat “tiada progress”.

Dari sinilah perlu direnungkan bersama, barangkali penyelesaian kemelut ini bukan sekadar mempunyai azam yang baik. Mungkin penyelesaiannya ialah mengambil iktibar bagaimana Rasulullah SAW sendiri menguruskan sebuah hijrah yang besar dan bersejarah. 

Benarlah perkataan “hijrah” itu sendiri sudah cukup untuk memberikan kita makna dan nilai perubahan, tetapi ia tidak memadai untuk memandu kita cara bagaimana kita merealisasikan perubahan tersebut. Kita masih sangat perlu membaca sirah.

Kita masih sangat perlu menghayati sejarah Hijrah dengan lebih mendalam, lebih daripada sekadar mendengar kisah-kisah yang sama, diulang-ulang saban tahun dalam ceramah agama, sehingga kadangkala kedengaran sudah terlalu biasa dan kurang bermakna.

Jika kita meneliti sirah dengan lebih mendalam, kita akan mendapati bahawa kejayaan hijrah Baginda bukan hanya disebabkan oleh semangat dan keikhlasan, tetapi juga kerana adanya perancangan yang teliti dan strategi jangka pendek dan jangka panjang yang luar biasa.

Antara perkara yang sering terlepas daripada perhatian kita ialah betapa strategiknya Rasulullah SAW dalam memastikan kejayaan hijrah Baginda. Kita mungkin sering menghayati semangat pengorbanan dalam hijrah, kesusahan, kesakitan… tetapi kita kurang memberi perhatian kepada perancangan (planning) yang mendahului pengorbanan tersebut.

Dalam apa jua usaha yang berstrategi, perancangan merangkumi dua komponen utama – perancangan strategik (strategic planning) dan pelaksanaan taktikal (tactical execution). Perancangan strategik merujuk kepada penetapan matlamat jangka panjang, hala tuju yang ingin dicapai serta gambaran besar tentang kejayaan yang diharapkan.

Pelaksanaan taktikal pula merujuk kepada langkah-langkah khusus, pengurusan risiko, penggunaan sumber dan tindakan yang perlu diambil dari semasa ke semasa bagi memastikan matlamat tersebut dapat direalisasikan.

Kedua-dua perancangan ini saling melengkapi kerana strategi tanpa pelaksanaan yang baik akan tinggal sebagai angan-angan, manakala tindakan tanpa strategi pula mudah tersasar daripada matlamat asal.

Menariknya, kedua-dua perkara ini dapat kita lihat dalam peristiwa hijrah Rasulullah SAW, tetapi jarang disorot oleh penceramah-penceramah Maal Hijrah.

Perancangan sebelum hijrah (strategic planning)

Antara bukti-bukti perancangan Rasulullah SAW yang dilaksanakan Baginda sebelum hijrah ke Madinah berlaku ialah pelaksanaan satu bentuk hijrah awal (al-Hijrah al-Ula) yang memperlihatkan penghijrahan para sahabat terpilih ke Habsyah. 

Ketika tekanan semakin berat, Baginda tidak membiarkan para sahabat terus menderita tanpa perlindungan. Sebaliknya, Baginda mengarahkan mereka yang diketuai oleh Uthman bin ‘Affan r.a. berhijrah ke Habsyah kerana pemerintahnya ketika itu seorang raja Kristian tetapi bersifat adil, yang dikenali sebagai an-Najasyi.

Di sini kita melihat satu pelajaran yang sangat penting. Rasulullah SAW bersedia memanfaatkan keadilan seorang raja Kristian bagi melindungi dakwah Islam.

Fokus Baginda ketika itu ialah memastikan agama dapat terus berkembang dan umat Islam mempunyai ruang untuk hidup dengan aman. Nyatalah bahawa dakwah Baginda tidak dibina atas emosi semata-mata, tetapi atas pertimbangan yang matang dan berpandangan jauh.

Bahkan jauh sebelum hijrah ke Madinah berlaku, Rasulullah SAW telah membina asasnya melalui Perjanjian Aqabah (Bay’at al-‘Aqabah). Dalam musim haji, Baginda bertemu secara rahsia dengan beberapa orang daripada Yathrib (nama lama Madinah) yang kemudiannya memeluk Islam.

Hubungan tersebut berkembang sedikit demi sedikit sehingga lahir Perjanjian Aqabah Pertama dan Perjanjian Aqabah Kedua. Melalui perjanjian ini juga, sebuah masyarakat Islam pertama lahir dan bersedia menerima serta melindungi Rasulullah SAW apabila hijrah terjadi.

Saat Baginda tiba di Madinah, asas masyarakat Islam sebenarnya telah mula kukuh melalui tindakan proaktif yang dilaksanakan Rasulullah SAW. Justeru, hijrah bukan bermula pada hari Baginda meninggalkan Makkah, ia sebenarnya sudah bermula bertahun-tahun sebelumnya melalui usaha dakwah, pembinaan hubungan, pendidikan dan perancangan yang sistematik.

Perancangan ketika hijrah (tactical execution)

Ketika golongan kafir Quraisy merancang untuk membunuh Rasulullah SAW, Baginda tidak terus bergerak ke Madinah melalui jalan utama yang lazim digunakan oleh para musafir. Sebaliknya, Baginda memilih satu strategi yang tidak dijangka oleh musuh.

Setelah keluar dari Makkah, Baginda bergerak ke arah selatan menuju ke Gua Thur, sedangkan Madinah terletak di sebelah utara.

Dari sudut logik biasa (pandangan impulsif), tindakan tersebut seolah-olah menjauhkan diri daripada destinasi yang ingin dituju. Namun itulah strategi berganda. Baginda tidak sekadar memikirkan destinasi untuk dicapai, tetapi turut memikirkan keselamatan perjalanan menuju ke destinasi tersebut.

Rasulullah SAW dan Abu Bakar r.a. berlindung di Gua Thur selama tiga hari. Dalam tempoh itu, pelbagai peranan disusun dengan begitu teratur. Abdullah bin Abu Bakar mengumpulkan maklumat tentang pergerakan Quraisy. Asma’ binti Abu Bakar menyediakan bekalan makanan. 

Amir bin Fuhairah pula menggembala kambing melalui laluan yang dilalui Rasulullah dan Abu Bakar bagi menghapuskan kesan jejak kaki. Semua ini menunjukkan bahawa kejayaan hijrah tidak berlaku secara kebetulan.

Lebih menarik lagi, Rasulullah SAW menggunakan khidmat Abdullah bin al-Urayqit sebagai penunjuk jalan. Walaupun beliau ketika itu belum memeluk Islam, beliau terkenal sebagai seorang yang amanah serta sangat mahir dengan selok-belok laluan padang pasir di Semenanjung Arab. 

Dengan kepakaran beliau, Rasulullah SAW tidak melalui laluan utama yang lazim digunakan oleh para musafir menuju Madinah. Sebaliknya, Baginda memilih laluan pesisir yang lebih jarang digunakan, lebih mencabar dan lebih sukar untuk dilalui berbanding jalan biasa. 

Walaupun terpaksa menghadapi segala kesukaran tersebut, laluan pesisir itu memberikan kelebihan strategik kerana lebih selamat dan mengurangkan risiko dikesan oleh pihak Quraisy yang sedang giat memburu Baginda. 

Pemilihan Abdullah bin al-Urayqit menunjukkan bahawa Rasulullah SAW bukan sahaja sekadar bertawakal kepada Allah SWT, tetapi turut memanfaatkan kepakaran terbaik yang ada bagi memastikan kejayaan misi hijrah tersebut. Hal ini mengajar kita bahawa kejayaan sering memerlukan gabungan antara keimanan, kebijaksanaan dan kepakaran.

Renungan kendiri

Persoalannya, bagaimana pula dengan kita hari ini?

Kadang-kadang hijrah yang kita rancangkan hanya bersifat sementara atau mengikut trend semasa. Kita berkata, “Tahun ini saya nak kurus.” Sebulan kemudian semuanya kembali seperti biasa. Ada yang berkata, “Saya nak mula membaca buku.”

Akhirnya buku yang dibeli tersusun cantik di rak tanpa pernah dibuka. Ada yang berkata, “Saya nak bangun tahajud setiap malam,” tetapi tidak pernah menyusun semula jadual tidur, yang akhirnya menjadi punca utama kegagalan perancangan tersebut.

Ada juga yang berkata, “Saya nak jadi lebih produktif,” lalu membeli pelbagai aplikasi, buku motivasi dan alat perancangan, tetapi tidak pernah benar-benar mengubah tabiat, yang akhirnya mengakibatkan masa terbuang sia-sia setiap hari.

Masalahnya bukan azam itu tidak baik sebenarnya. Masalahnya ialah kita sering memisahkan satu perubahan yang dirancang daripada keseluruhan kehidupan kita. Kita melihat setiap perubahan secara terasing-asing dan terpisah-pisah, sedangkan kehidupan manusia sebenarnya kompleks dan saling berkaitan.

Sebagai contoh, seseorang yang ingin mengurangkan berat badan tidak seharusnya menjadikan penampilan semata-mata sebagai matlamat.

Hakikatnya, berat badan yang lebih sihat berpotensi membantu mengawal tekanan darah, mengurangkan risiko diabetes, meningkatkan tenaga untuk beribadah, membolehkan seseorang bermain dengan anak-anak dengan lebih aktif serta mengurangkan kos rawatan pada masa hadapan.

Maka, hanya satu perubahan kecil, tetapi dapat menghasilkan kesan yang besar kepada pelbagai aspek kehidupan.

Begitu juga halnya apabila seseorang mahu membaca lebih banyak buku. Tujuannya bukan sekadar menambah jumlah buku yang dibeli untuk dipamerkan di media sosial, tetapi untuk meningkatkan ilmu dan memperbaik keputusan hidup atau menjadi ibu bapa contoh yang lebih baik kepada anak-anak, pekerja yang lebih produktif dan anggota masyarakat yang lebih banyak memberi manfaat kepada alam sekeliling.

Inilah yang sering kita terlepas pandang. Kita terlalu fokus kepada sasaran jangka pendek sehingga gagal melihat gambaran yang lebih besar, menyebabkan motivasi kita rendah dan mudah hilang, sedangkan Rasulullah SAW mengajar kita pelajaran yang sangat berguna, bahawa perubahan yang berjaya ialah perubahan yang mempunyai hala tuju, strategi dan manfaat yang melangkaui kepentingan diri sendiri semata-mata.

Sudah tentu saya tidak bermaksud memperlekeh hijrah-hijrah kecil dalam kehidupan. Setiap langkah menuju kebaikan pastinya mempunyai nilai tinggi di sisi Allah SWT. Namun, alangkah baiknya jika hijrah tersebut diselaraskan dengan matlamat yang lebih besar dan bermakna.

  1. Mungkin kita ingin menjadi lebih sihat bukan semata-mata untuk kelihatan lebih menarik atau mencapai sasaran berat badan tertentu, tetapi supaya dapat terus menjaga ibu bapa yang semakin berusia, membesarkan anak-anak dengan lebih baik dan menjalani kehidupan yang lebih produktif. 
  2. Mungkin kita ingin meningkatkan pendapatan bukan sekadar untuk memenuhi kehendak peribadi, tetapi untuk menyediakan pendidikan yang lebih berkualiti kepada anak-anak, membantu ahli keluarga yang memerlukan atau menyumbang kepada masyarakat. 
  3. Apabila kita menambah ilmu, matlamatnya bukan sekadar memperoleh sijil atau pengiktirafan, tetapi untuk meningkatkan keupayaan diri dalam menyelesaikan masalah dan memberi manfaat kepada orang lain. 

 

Apabila sesuatu hijrah dikaitkan dengan manfaat yang lebih luas, ia akan mempunyai asas motivasi yang lebih kukuh dan daya tahan yang lebih panjang. Dalam banyak keadaan, manusia lebih mudah beristiqamah apabila perubahan yang dilakukan bukan hanya untuk dirinya sendiri, tetapi turut melibatkan orang yang disayangi serta tanggungjawab yang lebih besar.

Bayangkan jika setiap individu mempunyai visi yang melangkaui kepentingan dirinya sendiri. Seorang guru contohnya menambah baik ilmu dan kemahiran pengajarannya kerana menyedari bahawa kualiti murid pada masa hadapan banyak bergantung kepada usahanya hari ini.

Seorang usahawan mengembangkan perniagaannya bukan sekadar untuk meningkatkan keuntungan, tetapi juga untuk mewujudkan peluang pekerjaan dan menjana manfaat ekonomi kepada masyarakat. 

Seorang penjawat awam meningkatkan integriti dan profesionalismenya kerana memahami bahawa kepercayaan rakyat terhadap institusi negara terbina melalui tindakan individu yang menjalankan amanah dengan baik.

Ibu dan ayah pula berusaha memperelok akhlak, ilmu dan keperibadian diri kerana mereka sedar bahawa anak-anak belajar lebih banyak daripada contoh yang ditunjukkan berbanding nasihat yang diucapkan. 

Apabila perubahan individu dihubungkan dengan manfaat kepada keluarga, masyarakat dan negara, maka hijrah tersebut bukan lagi sekadar pencapaian peribadi, tetapi menjadi sebahagian daripada usaha membina peradaban yang lebih baik.

Bukankah daripada himpunan hijrah seperti inilah akan lahir sebuah masyarakat yang lebih baik?

Hijrah-hijrah kecil yang membentuk kehidupan bermakna

Hari ini kita sering bercakap tentang pembinaan Masyarakat Madani dan Negara Rahmah. Namun sesuatu yang ideal seperti slogan tersebut tidak akan muncul secara tiba-tiba. Ia mesti bermula daripada individu yang mempunyai cita-cita yang lebih besar daripada kepentingan dirinya sendiri.

Ia juga mesti bermula daripada keluarga yang menjadikan kebaikan sebagai budaya hidup. Ia juga bermula daripada warga yang memahami bahawa setiap tindakan mereka memberi kesan kepada orang lain.

Oleh sebab itu, janganlah kita memandang remeh usia yang Allah SWT berikan kepada kita. Setiap tahun yang berlalu bukan sekadar angka yang bertambah. Ia adalah peluang yang semakin berkurangan. Selagi hayat masih ada, ruang untuk memperbaik diri juga masih terbuka luas.

Landskap dunia ini sebenarnya sangat indah. Di dalamnya terdapat peluang untuk berbuat baik, menyebarkan ilmu, membina keluarga, membantu masyarakat dan meninggalkan legasi yang bermanfaat. Kita juga adalah sebahagian daripada keindahan tersebut.

Kehadiran kita, meskipun kerdil, tetapi bukanlah sia-sia. Setiap orang mempunyai ruang untuk menyumbang walaupun dalam nilai yang kecil dan sedikit.

Maka apabila datangnya tahun baharu Hijrah, jangan sekadar bertanya apakah yang ingin kita ubah pada tahun ini. Renungkan juga mengapa kita perlu berubah, untuk siapa kita berubah dan apakah kesan yang ingin kita tinggalkan apabila suatu hari nanti usia kita berakhir.

Jangan biarkan hijrah kita sekadar seperti percikan api mancis yang menyala sesaat lalu hilang tanpa bekas. Biarlah ia menjadi unggun yang terus hidup di tengah malam yang panjang; mengusir dingin yang menggigit, menerangi jalan yang gelap, menyediakan bekalan untuk musafir yang keletihan dan menjadi sumber harapan bagi mereka yang mencari arah. 

Sesungguhnya usia yang Allah kurniakan terlalu berharga untuk dihabiskan pada perubahan yang bersifat sementara. Jadikanlah setiap hijrah sebagai nyalaan yang semakin membesar, meskipun bukan untuk menerangi dunia yang luas, tetapi sekurang-kurangnya untuk menyinari sekeliling kita yang kegelapan.

Mudah-mudahan hijrah kita bukan sekadar perubahan yang bersifat sementara, tetapi sebuah perjalanan yang dirancang dengan bijaksana, dilaksanakan dengan istiqamah dan akhirnya memberi manfaat kepada keluarga, masyarakat, bangsa serta negara. Itulah antara pelajaran terbesar daripada hijrah Rasulullah SAW yang akan terus relevan sepanjang zaman.

Dr Amer Hudhaifah Hamzah
Ahli Pertubuhan Ilmuwan dan Cendekiawan Muslim Malaysia (ILMAN)

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia