Setiap kali tibanya awal Muharam, umat Islam di Malaysia akan mengadakan majlis Maal Hijrah untu memperingati peristiwa hijrah Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah.
Namun hakikatnya, hijrah bukan sekadar peristiwa sejarah perpindahan ar-Rasul SAW, tetapi hijrah juga adalah satu proses perubahan (ke arah kebaikan) yang perlu berlaku dalam kehidupan setiap Muslim sepanjang hayat. Sabda Nabi Muhammad SAW:
“Tiada lagi hijrah selepas pembukaan kota Makkah (Fathu Makkah), tetapi (masih ada) jihad dan niat.” (HR al-Bukhari, 2783)
Kita semua mempunyai perkara yang perlu dihijrahkan untuk menjadi seorang insan yang lebih cemerlang di dunia dan akhirat.
Ada yang perlu berhijrah daripada kelemahan kepada kekuatan, daripada kemalasan kepada kerajinan, daripada kejahilan kepada ilmu, daripada perpecahan kepada perpaduan, dan daripada kehidupan yang biasa-biasa kepada kehidupan yang lebih cemerlang serta diberkati Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda:
“Orang yang berhijrah ialah orang yang meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah.” (HR al-Bukhari, 10)
Justeru, semangat hijrah perlu diterjemahkan dalam kehidupan seharian melalui usaha berterusan untuk memperbaik diri, keluarga, masyarakat dan negara.
Berdasarkan pengajaran al-Quran, sunnah Rasulullah SAW dan kajian tentang kehidupan, terdapat enam pengajaran utama dari peristiwa hijrah Nabi Muhammad SAW yang boleh kita ambil sebagai panduan untuk membantu kita menjayakan proses hijrah diri, keluarga dan masyarakat demi mencapai kecemerlangan hidup yang lebih baik di dunia dan akhirat.
Enam perkara tersebut adalah aspek-aspek yang perlu dimiliki oleh seseorang insan yang ingin lebih menjadi lebih cemerlang, yang diringkaskan dengan akronim H.I.J.R.A.H.
H – Hala tuju dan matlamat yang jelas
Kejayaan tidak mungkin tercapai tanpa matlamat yang jelas. Manusia yang berjaya mempunyai hala tuju dan matlamat yang jelas.
Hijrah Nabi Muhammad SAW bukan sekadar satu perpindahan, tetapi bagi mencapai satu misi dan matlamat yang lebih besar iaitu menegakkan dan mengamalkan syariat Islam secara lebih menyeluruh dalam diri, keluarga, masyarakat dan negara.
Ini adalah selaras dengan misi dan tujuan pelantikan baginda sebagai Rasul untuk membawa rahmat ke seluruh alam, mengajak manusia mengabdikan diri hanya kepada Allah SWT, mendidik dan membimbing manusia serta melaksanakan syariat secara menyeluruh seperti yang diperintahkan oleh Allah SWT.
Oleh itu, untuk menjadi seorang insan yang lebih cemerlang di dunia dan akhirat, kita perlu memahami misi hidup kita sebagai seorang hamba dan khalifah Allah SWT di atas muka bumi ini sepertimana disebutkan dalam al-Quran (Surah adz-Dzaariyaat: 56 dan Surah al-Baqarah: 30).
Kita juga perlu menetapkan matlamat (perkara yang ingin dicapai) yang lebih baik dan lebih jelas dalam segala aspek kehidupan diri kita selaras dengan kehendak syariat dan misi sebagai hamba dan khalifah Allah SWT di muka bumi. Beberapa aspek yang boleh dipertimbangkan dalam merangka hala tuju dan matlamat yang lebih baik ialah menetapkan:
- Matlamat dari sudut peribadi seperti tahap pendidikan, amal ibadah, menjadi Muslim yang lebih bertakwa dan tahap pendapatan diri.
- Matlamat dari sudut keluarga seperti menjadi ibu ayah yang lebih baik, menjadi anak yang lebih baik atau menjadi ahli keluarga yang lebih baik terhadap ahli keluarga yang lain.
- Matlamat dari sudut kerjaya dan profesion seperti menjadi pekerja dan pemimpin yang lebih baik, mencapai tahap tertentu dalam kerjaya atau perniagaan.
- Matlamat sebagai anggota masyarakat dan warga negara seperti menjadi jiran yang lebih baik dan menjadi warga negara yang lebih baik.
Tanpa hala tuju dan matlamat yang jelas, seseorang akan mudah hanyut dibawa arus kehidupan.
I – Ilmu dan kemahiran yang mantap
Ilmu merupakan asas kepada setiap perubahan dan kejayaan. Rasulullah SAW sendiri diarahkan untuk membaca melalui wahyu yang pertama dan diperintahkan untuk menambahkan ilmu pengetahuan. Firman Allah SWT:
“Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan.” (Surah al-‘Alaq: 1)
“Dan katakanlah: Wahai Tuhanku, tambahkanlah kepadaku ilmu pengetahuan.” (Surah Taha: 114)
Rasulullah SAW mempunyai ilmu pengetahuan yang sangat luas dan mendalam yang diberikan terus oleh Allah SWT melalui wahyu bukan sahaja dari sudut akidah, ibadah dan akhlak tetapi dalam pelbagai aspek kehidupan manusia termasuk ilmu kepimpinan, sejarah, sains, sosial, ekonomi dan geopolitik semasa dan masa depan.
Dalam peristiwa Hijrah ketika Nabi SAW dikejar oleh Suraqah bin Malik (ketika beliau belum memeluk Islam), Baginda Nabi SAW telah berdialog dan berjanji dengan Suraqah bahawa pada suatu hari nanti kerajaan Parsi akan tumbang dan Suraqah (setelah masuk Islam) bakal memakai mahkota dan gelang kebesaran Kisra Parsi.
Peristiwa kejatuhan Parsi ini benar-benar berlaku pada zaman pemerintahan Saidina Umar al-Khattab sebagai khalifah dan Suraqah (yang telah masuk Islam) telah menerima mahkota tersebut.
Dunia hari ini berubah dengan sangat pantas. Teknologi, kecerdasan buatan (AI), ekonomi digital dan pelbagai perkembangan baharu menuntut kita untuk sentiasa belajar.
Jika kita ingin berjaya sebagai ibu bapa, pekerja, usahawan, pemimpin atau pendakwah, kita mesti mempunyai ilmu fardu ain seperti ilmu akidah, ibadah dan akhlak serta dan meningkatkan ilmu serta kemahiran fardu kifayah yang sesuai dengan keperluan masa kini dan masa depan.
Oleh itu, tingkatkanlah ilmu dan kemahiran melalui program pembelajaran formal dan pembelajaran yang tidak formal sepanjang hayat dengan:
- membaca buku setiap hari
- menghadiri majlis ilmu, kuliah dan seminar
- mengikuti kursus kemahiran baharu
- mendengar podcast, video atau ceramah yang bermanfaat
- menghadiri program usrah
- belajar daripada pengalaman orang lain
Orang yang berhenti belajar sebenarnya sedang membenarkan dirinya ketinggalan.
J – Jiwa dan hati yang tenang dan sentiasa berhubung dengan Allah
Kecemerlangan sebenar bukan hanya diukur melalui pencapaian material tetapi juga ketenangan jiwa. Dalam dunia moden, ketenangan jiwa dan hati (spiritual and emotional quotient) menjadi salah satu aspek penting untuk mencapai kecemerlangan hidup.
Dalam konteks Islam, hubungan dengan Allah SWT adalah rahsia sebenar bagi mencapai tahap ketenangan jiwa dan hati. Allah SWT berfirman:
“Ketahuilah bahawa dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang.” (Surah ar-Ra’d: 28)
Dalam peristiwa Hijrah, ketika Rasulullah SAW dan Saidina Abu Bakar as-Siddiq bersembunyi di Gua Thur, sekumpulan orang musyrikin Makkah yang memburu mereka hampir menemui mereka di dalam gua tersebut menyebabkan Saidina Abu Bakar menjadi risau. Namun, Rasulullah SAW menenangkan beliau dan mengingatkan dengan kata, “Janganlah kamu risau, kerana sesungguhnya Allah SWT bersama kita.” (at-Taubah: 40)
Ramai manusia berjaya dari sudut kerjaya dan kewangan, tetapi masih hidup dalam kegelisahan, tekanan dan kekosongan jiwa. Hubungan yang kuat dengan Allah SWT akan melahirkan ketenangan, kekuatan dalaman dan keyakinan ketika berhadapan dengan ujian kehidupan.
Antara amalan yang boleh memperkukuh hubungan dengan Allah ialah:
- Menjaga solat lima waktu dan ibadah wajib dan sunat
- Membaca al-Quran setiap hari
- Berzikir dan beristighfar
- Berdoa dengan penuh pengharapan
- Qiamullail walaupun beberapa minit sebelum Subuh
- Mensyukuri segala nikmat Allah dan bersabar dengan ujian-Nya
Jiwa yang dekat dengan Allah akan lebih mudah menghadapi cabaran kehidupan dengan sabar dan tenang.
R – Rancangan dan pelan tindakan yang strategik
Ramai orang mempunyai impian yang besar, tetapi tidak semua mempunyai perancangan yang jelas. Rasulullah SAW sendiri menunjukkan contoh perancangan yang sangat teliti dan strategik ketika baginda berhijrah ke Madinah. Baginda memilih masa yang sesuai, laluan yang berbeza, tempat persembunyian, penunjuk jalan serta pelbagai langkah keselamatan yang rapi.
Dalam menjayakan sesuatu misi perjuangan, Allah SWT memerintahkan agar sentiasa membuat perancangan dan persiapan sewajarnya. Allah SWT berfirman (maksudnya):
“Dan sediakanlah untuk menghadapi mereka segala kekuatan yang kamu mampu.” (Surah al-Anfal: 60)
Bagi mencapai sesuatu misi dan matlamat, antara bentuk perancangan yang boleh dibuat:
- Tentukan strategi dan tindakan yang perlu dilaksanakan
- Tentukan prioriti atau keutamaan sesuatu tindakan
- Tetapkan jadual masa yang sesuai untuk pelaksanaan sesuatu tindakan
- Tentukan siapa yang akan melaksanakan tugas yang dirancang
- Buat anggaran keperluan sumber seperti peralatan dan bahan yang mencukupi
- Jangkakan sesuatu risiko dan tindakan untuk mengurus risiko tersebut
Kejayaan jarang berlaku secara kebetulan. Ia biasanya hasil daripada perancangan yang baik dan tindakan yang konsisten.
A – Amal soleh dan pelaksanaan yang berkualiti
Ilmu dan perancangan sahaja tidak mencukupi untuk menjayakan sesuatu misi dan mencapai matlamat yang diinginkan. Yang membezakan antara orang yang berjaya dan gagal ialah tindakan. Amal yang soleh (baik) dan tindakan yang berkualiti, betul dan produktif seperti yang dirancang adalah sangat penting.
Saidina Ali karamallahu wajhah berjaya melaksanakan tugas menggantikan Rasulullah untuk tidur di tempat tidur Rasulullah SAW dengan amat baik semasa peristiwa hijrah sehingga berjaya mengelirukan para musyrikin Makkah walaupun tugas tersebut amat berbahaya dan berisiko tinggi.
Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya Allah menyukai apabila seseorang melakukan sesuatu pekerjaan, dia melakukannya dengan itqan (tekun, teliti dan berkualiti).” (HR al-Baihaqi, 4929 (Syu’ab al-Iman), Hasan)
Setiap pekerjaan yang dilakukan dengan niat yang betul dan cara yang baik boleh menjadi ibadah. Justeru, marilah kita melaksanakan setiap tugas yang diamanahkan sebaik mungkin dengan:
- membetulkan niat yang Ikhlas
- bersungguh-sungguh
- mematuhi peraturan dan syarat kualiti tugas
- menepati masa
- menjaga kualiti
- sentiasa menyemak dan berusaha melakukan yang terbaik.
Kecemerlangan bukanlah melakukan perkara luar biasa sekali-sekala, tetapi melakukan perkara biasa dengan luar biasa secara konsisten.
H – Hubungan yang harmoni dengan manusia
Manusia adalah makhluk yang tidak boleh hidup bersendirian. Untuk menjadi insan yang lebih berjaya dan cemerlang, kita perlu mampu hidup dan bekerjasama dengan sebaik mungkin dengan orang lain. Orang beriman ialah mereka yang sentiasa tolong-menolong untuk melaksanakan kebaikan secara jama’i atau berpasukan.
Allah SWT berfirman:
“Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan dalam perkara kebajikan dan ketakwaan.” (Surah al-Maidah: 2)
“Sesungguhnya Allah amat mencintai mereka yang berjuang di jalan-Nya secara tersusun dalam satu pasukan sepertimana bangunan yang kukuh.” (Surah as-Saff: 4)
Dalam peristiwa Hijrah, Nabi SAW tidak bersendirian tetapi sentiasa ditemani Saidina Abu Bakar as-Siddiq. Baginda juga memanfaatkan orang lain bagi menjayakan misi hijrahnya termasuk orang bukan Islam (Abdullah bin Uraiqit) yang menjadi penunjuk jalan (nagivator) dalam perjalanan ke Madinah.
Hubungan yang amat baik antara kaum Muhajirin (dari Makkah) dan Ansar (orang Madinah) amat penting bagi menjayakan misi hijrah Rasulullah SAW.
Untuk hidup dan bekerjasama dengan baik dengan orang lain, kita perlu membina hubungan yang harmoni dengan semua pihak terutama dengan mereka yang amat kita perlukan untuk menjayakan misi dan matlamat kita termasuk ibu bapa, ahli keluarga, rakan-rakan, jiran tetangga dan ahli masyarakat yang lain. Antara perkara yang boleh dilakukan termasuk:
- mengenali mereka dengan lebih lanjut (taaruf)
- menyebarkan salam dan membuat kebaikan kepada mereka
- menziarahi atau berjumpa dengan mereka
- mendoakan mereka
- membantu mereka yang susah dan memerlukan
- mengelakkan budaya fitnah, benci-membenci dan mencaci orang lain
- menyelesaikan sebarang konflik atau selisih faham dengan baik
Kejayaan dalam keluarga, organisasi dan masyarakat sangat bergantung kepada hubungan yang baik sesama manusia. Rasulullah SAW juga berjaya membangunkan masyarakat Madinah melalui pembinaan ukhuwah, kasih sayang dan kerjasama.
Hubungan yang baik membuka pintu keberkatan, manakala hubungan yang rosak sering menjadi punca kegagalan dan kesedihan.
Jadilah insan yang sentiasa berhijrah
Hijrah bukan sekadar berpindah tempat. Hijrah yang sebenar ialah perubahan ke arah yang lebih baik dalam setiap aspek kehidupan.
Marilah kita menjadikan tahun baharu Hijrah ini sebagai titik permulaan untuk membina kehidupan yang lebih cemerlang dengan memenuhi enam syarat H.I.J.R.A.H yang diterangkan. Semoga Allah sentiasa memberkati dan membantu kita ke arah kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan akhirat.
“Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keredaan) Kami, pasti Kami akan tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami.” (Surah al-Ankabut: 69)
Selamat Menyambut Maal Hijrah 1448 H.
Hj Ahmad Raji Yaakub
Pemangku Yang Dipertua
IKRAM Negeri Selangor
- Ketua Pegawai Eksekutif
Kumpulan Profess Consulting Group - Felo Kanan
Oxbridge Institute of Professional Development - Sarjana Sains Pembangunan Sumber Manusia
Universiti Putra Malaysia (UPM)




