Cara Membina Keyakinan Diri Anak: Beri Ruang Memimpin

memimpin

“Abang, bangun! Pergi mandi, lepas tu siap untuk kelas mengaji.”

“Kakak, petang ni jangan main jauh-jauh, duduk rumah buat latihan Matematik.”

Cuba kita imbas semula rutin harian di rumah. Berapa banyak perkataan yang keluar daripada mulut kita sebagai orang dewasa berbentuk arahan, aturan dan ketetapan? 

Sebagai ibu ayah atau pendidik, kita sering menjadi “Pengurus Besar” yang paling sibuk. Kita atur masa mereka, kita pilih aktiviti mereka, kita tentukan corak kehidupan mereka, semuanya atas satu hujah atau sebab yang murni: Kita sayangkan anak dan mahu berikan yang terbaik.

Namun, projek CELOTEH mengajak kita untuk berhenti sejenak, merendahkan pandangan kita setara dengan aras mata anak-anak, dan bertanya kepada diri sendiri: Di manakah ruang untuk suara, emosi dan ekspresi jujur mereka sendiri?

Apabila setiap detik dalam hidup seorang anak telah diprogramkan oleh orang dewasa, kita tanpa sedar sedang membina sebuah sangkar emosi. Anak-anak wujud di depan mata, tetapi suara dan impian mereka menjadi “halimunan”.

Membiarkan anak merancang aktiviti mereka bukanlah satu bentuk kebebasan yang semberono, ia adalah satu pengiktirafan tertinggi terhadap hak mereka untuk didengari.

Membaca “bahasa rahsia” melalui kebebasan memilih

Benjamin Franklin pernah mengungkap satu falsafah yang sangat mendalam:

“Tell me and I forget, teach me and I may remember, involve me and I learn.”

(Jika sekadar diberitahu, aku akan lupa. Jika diajarkan, mungkin aku ingat. Namun, jika aku dilibatkan, barulah aku benar-benar belajar.)

Kanak-kanak belajar dengan sangat efektif melalui penglibatan aktif dan ruang untuk membuat keputusan sendiri. Apabila kita memberikan mereka ruang untuk merancang aktiviti mereka sendiri, kita sebenarnya sedang menyerahkan “kunci” untuk mereka meluahkan apa yang tersirat dalam lubuk hati dan minda mereka.

Orang dewasa sering tersalah faham. Apabila anak-anak mula buat acuh tak acuh, merajuk atau tidak mahu mengikut aktiviti yang kita sediakan, kita mudah sahaja mengeluh dan menganggap mereka sebagai “anak yang tidak mahu mendengar kata”. 

Padahal, dalam dunia CELOTEH, itu adalah “bahasa rahsia” tingkah laku mereka untuk memberitahu: “Jiwa saya penat, dan minat saya bukan di sini.”

Apabila kita menukar pendekatan dengan memberikan mereka ruang memilih dan mencipta aktiviti sendiri, kita sedang mendidik diri kita sendiri untuk membaca bahasa rahsia itu. Kita memberi mereka peluang melatih kemahiran membuat keputusan, menyusun idea dan belajar bertanggungjawab terhadap pilihan mereka sendiri sejak usia muda.

Sentuhan nabawi: Bagaimana kepercayaan membina harga diri dan jati diri anak? 

Membina harga diri dan acuan jati diri anak yang utuh sebenarnya bukanlah bermula dengan teori Barat yang asing. Ia adalah rahsia mendalam yang telah lama ditunjukkan oleh suri teladan kita, Rasulullah SAW, melalui cara Baginda memberikan kepercayaan dan menghormati keupayaan anak-anak kecil.

Mari kita hayati kisah seorang sahabat cilik, Anas bin Malik r.a.  Beliau telah diserahkan oleh ibunya untuk berkhidmat dan dididik oleh Rasulullah SAW sejak berusia 10 tahun, satu fasa umur yang sangat kritikal ketika mana anak-anak mula membina jati diri.

Anas bin Malik menceritakan sendiri bagaimana indahnya emosi beliau sepanjang dididik oleh Baginda:

“Aku telah berkhidmat kepada Rasulullah SAW selama sepuluh tahun. Demi Allah, Baginda tidak pernah sekalipun berkata ‘Ah!’ kepadaku. Baginda juga tidak pernah menegur, ‘Mengapa kamu lakukan ini?’ terhadap apa yang aku lakukan, atau ‘Mengapa kamu tidak lakukan ini?’ bagi apa yang aku tinggalkan.” (HR al-Bukhari dan Muslim)

Subhanallah! Rasulullah SAW tidak mendidik dengan cara mengongkong, mengkritik atau mengatur setiap gerak-geri anak kecil. Baginda melayani anak-anak dengan penuh hormat dan kelembutan serta memberikan kepercayaan untuk mencuba bagi membolehkan mereka berkembang mengikut kemampuan mereka.

Anas membesar dalam suasana penuh kepercayaan, sehinggakan jiwanya mekar menjadi seorang pemimpin dan ilmuwan yang hebat.

Rasulullah SAW menegaskan:

“Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan ditanya tentang apa yang dipimpinnya.” (HR Bukhari & Muslim)

Latihan kepimpinan ini tidak boleh datang secara tiba-tiba apabila mereka dewasa. Ia mesti dipupuk dalam ruang lingkup kecil di rumah dan organisasi, bermula dengan memberi mereka peluang memimpin agenda permainan atau perancangan harian mereka sendiri.

Aktiviti bersesuaian mengikut tahap usia anak

Kebebasan membuat keputusan ini mestilah disesuaikan mengikut tahap perkembangan kognitif dan emosi anak-anak agar mereka tidak keliru. Pengisian aktiviti yang boleh diserahkan kepada anak-anak boleh dibahagikan mengikut fasa peringkat umur berikut:

  • Fasa prasekolah (keputusan ringkas): Beri peluang anak memilih buku cerita sebelum tidur, menentukan aktiviti kraf atau menyusun aktiviti bermain mereka.
  • Fasa sekolah rendah (kemahiran sosial): Libatkan anak untuk merancang aktiviti keluarga pada hujung minggu, menyusun atur cara santai atau mengurus projek cilik bersama adik-beradik.
  • Fasa sekolah menengah (tanggungjawab besar): Beri kepercayaan penuh untuk mereka merancang program komuniti, mengendalikan projek kreatif bebas atau menguruskan acara sosial keluarga.

 

Membentuk sahsiah anak melalui ruang memimpin

Mengapa penting untuk kita memberi peluang kepada anak-anak merancang aktiviti mengikut acuan mereka sendiri? Berikut adalah lima (5) transformasi sahsiah yang akan kita lihat:

  • Membina keyakinan diri: Anak yang dihargai pandangannya akan berasa selamat untuk bersuara, memberi pendapat dan berani mencuba perkara baharu tanpa takut dikritik.
  • Mengembangkan kreativiti tanpa sempadan: Peluang merancang ini membebaskan imaginasi luas anak-anak daripada acuan fikir orang dewasa yang selalunya kaku.
  • Melatih kemahiran membuat keputusan: Kemahiran ini tidak muncul secara mendadak pada usia 18 tahun, ia perlu dipupuk sejak kecil melalui sekecil-kecil pilihan dan tanggungjawab.
  • Membentuk sikap bertanggungjawab: Anak-anak akan melaksanakan tugasan dengan penuh komitmen apabila mereka berasa diri terlibat sebagai pembuat keputusan, bukan sekadar menerima arahan.
  • Menggalakkan kemahiran sosial dan komunikasi: Proses merancang bersama keluarga melatih anak seni berunding, mendengar pendapat orang lain dan mengurus perbezaan pandangan.

 

Menghidupkan teknik “Kapten i-Junior” di rumah

Melalui Projek CELOTEH, pendekatan autonomi ini diterjemahkan secara praktikal melalui formula khas yang dinamakan Teknik “Kapten i-Junior”.

Ringkasnya, kita menyerahkan “lencana kuasa” secara santai kepada anak berusia 9 hingga 12 tahun untuk menjadi “Kapten” yang merancang aktiviti keluarga. Sebagai contoh pada hari minggu, biarkan mereka menyusun jadual mengikut kreativiti sendiri, sama ada memilih menu makanan, menentukan jenis permainan mahupun menyusun masa aktiviti bermula.

Untuk menjayakan teknik ini, peranan kita sebagai orang dewasa perlu berubah total melalui dua langkah penting:

1. Turunkan ego, jadilah “fasilitator” yang setia: Kita perlu belajar melonggarkan sedikit kawalan. Di sinilah peranan kita berubah daripada seorang “Diktator” kepada seorang “Fasilitator”. Semasa si Kapten sedang bersemangat membentangkan idea kreatif mereka, tugas kita adalah mendengar dengan penuh rahmah tanpa mencelah.

2. Gunakan soalan terbuka untuk merangsang daya fikir: Sokong mereka dari belakang tabir dengan bertanyakan soalan yang membina keyakinan, bukannya mematahkan semangat: “Wah, seronoknya idea Kapten ni! Boleh ceritakan pada kru bagaimana cara kita nak jayakan aktiviti baru ni nanti?”

Melalui kaedah ini, fokus kita adalah untuk merai hak bersuara anak-anak dengan memberikan mereka ruang autonomi yang selamat untuk membina keyakinan diri.

Kesimpulan

Perkara paling bermakna yang boleh kita berikan kepada seorang anak bukanlah sebuah rancangan atau jadual harian yang sempurna hasil air tangan orang dewasa. Sebaliknya, ia adalah sebuah kepercayaan bahawa suara mereka didengari dan idea mereka juga mempunyai nilai yang bermakna.

Apabila anak diberi peluang untuk mencuba, berfikir dan memimpin dalam “dunia kecil” mereka hari ini, kita sebenarnya sedang meletakkan batu asas yang kukuh untuk sahsiah mereka. Inilah langkah awal untuk mempersiapkan mereka menjadi individu yang kental, kreatif dan yakin dalam menghadapi gelombang cabaran kehidupan pada masa hadapan.

(Namun, realiti di lapangan pastinya tidak semudah teori. Bagaimanakah cara kita mengendalikan emosi diri dan anak apabila idea si Kapten mula bertukar menjadi kucar-kacir atau terpaksa ditolak atas faktor keselamatan? Kita akan rungkai formula praktikal ini dalam artikel Siri CELOTEH seterusnya nanti!)

Dr. Nik Sumayyah Nik Mhd Nor
Pakar Ginekologi Kanak-kanak dan Remaja &
Ahli Jawatankuasa Advokasi Kanak-kanak
Wanita IKRAM Pusat &
Sekretariat Malaysian Against Pornography

Nota: Artikel ini ialah artikel ketujuh Siri CELOTEH oleh Wanita IKRAM Malaysia.

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia