Sekitar tahun 2005 hingga 2010, dunia nasyid Melayu pernah dihiasi dengan sebuah lagu yang cukup dekat dengan jiwa penggemar seni Islami.
Nasyid berjudul “Layar Keinsafan” yang dinyanyikan oleh kumpulan Mestica dan diterbitkan oleh Hijjaz Records ini sering berkumandang melalui corong radio dan pemain kaset yang menemani pendengar daripada pelbagai lapisan masyarakat.
Bagi saya yang sehingga 2007 itu masih berada di asrama, nasyid ini selalu menjadi peneman sewaktu perjalanan jauh di dalam bas, semasa prep malam ataupun kala sunyi berhujung minggu di sekolah. Pada ketika itu juga, mungkin ramai yang mendengarnya hanya sebagai sebuah lagu yang merdu dan mendamaikan sahaja.
Sebagai contoh, bagi diri saya sendiri yang memang berjiwa sastera, lagu ini diminati kerana kedalaman maknanya dan keindahan melodi sejajar dengan nuansa Islamik yang membangkitkan rasa beragama. Justeru, nasyid itu hanya dihargai setakat ciri-ciri luarannya sahaja pada masa tersebut.
Namun seiring pertambahan usia, saya mula menyedari bahawa lagu ini sebenarnya membawa makna yang jauh lebih mendalam dan manusiawi daripada apa yang saya faham selama ini.
Dengan kata lain, ia bukan sekadar populariti hiburan bernuansa Islamik, tetapi juga sebagai medium peringatan tentang hakikat kehidupan yang semakin mendekati penghujungnya.
Sepi benar senja ini
Bayunya semilir, menganak ombak kecil
Jalur ufuk pula mengemas terang
Kapal dan layar terkapar
Mengapa nantikan senja?
Baru kan terdetik, pulang ke pangkalan
Gusar malam menghampiri
Ku tewas di lautan
Kedua-dua rangkap ini meskipun terasa indah dengan gambaran di tengah laut semasa waktu senja, langitnya dipenuhi lembayung kemerahan dengan kapal berolak tanpa arah tujuan, tetapi metafora ini sebenarnya menghadirkan perasaan cemas tentang sebuah pelayaran yang sudah terlalu lewat untuk berpatah baik. Dari sinilah, kesedaran untuk merenung kembali ke dalam diri sangat perlu dilakukan.
Perkataan “pulang ke pangkalan”, “malam menghampiri” dan “tewas di lautan” itu pula bukan setakat unsur dramatik, namun lebih menggambarkan kegelisahan seorang insan yang baru menyedari bahawa masa untuk kembali ke jalan benar semakin singkat, sedangkan sebahagian besar hidupnya telah berlalu dalam pencarian yang tidak menentu dan penuh keliru.
Nikmat masa muda
Sebagai seorang yang mula belajar menganalisis bahasa sastera sewaktu di bangku universiti, saya menjadi semakin sensitif terhadap gambaran, perlambangan dan metafora yang tersembunyi di sebalik sesuatu karya.
Namun, dengan bertambah pengalaman hidup, kesukaran yang dirasakan, mehnah dan tribulasi yang silih berganti selepas menceburi bidang pekerjaan, “Layar Keinsafan” kini, bagi saya, hadir bukan sekadar sebagai nasyid lama yang nostalgik semata-mata, bahkan menggambarkan kesedaran manusia tentang singkatnya masa muda yang dikurniakan oleh Allah SWT.
Nasyid ini mungkin menyentuh jiwa kita dengan cara yang unik bergantung kepada pengalaman pendengar itu sendiri, tetapi sesiapa sahaja yang menghayati erti di sebalik liriknya, pasti akan tersedar tentang kepentingan menyedari had dan keterbatasan manusia seawal waktu sebelum diuji dengan pelbagai ujian.
Begitulah manusia sering memahami nilai sesuatu nikmat dengan lebih mendalam hanya apabila nikmat tersebut mula berkurang atau tidak lagi dimiliki.
Ketika usia masih muda dan tubuh masih bertenaga, ramai yang merasakan keadaan tersebut akan kekal sebagaimana adanya. Namun apabila usia semakin meningkat atau kesihatan mula terganggu, barulah timbul kesedaran tentang betapa berharganya masa dan kesempatan yang pernah dimiliki.
Sehubungan perkara di atas, Rasulullah SAW mengingatkan umatnya agar menghargai nikmat yang sering dianggap biasa melalui sebuah hadis sahih yang diriwayatkan daripada Abdullah ibn Abbas r.a.:
اغتنم شبابك قبل هرمك
“Rebutlah masa mudamu sebelum datang masa tuamu.”
Baginda turut berpesan dalam hadis yang sama:
وصحتك قبل سقمك
“dan kesihatanmu sebelum datang sakitmu.”
Menariknya, Rasulullah SAW tidak menyebut kedua-duanya sebagai satu keadaan yang sama, sebaliknya membezakan antara masa muda dan kesihatan melalui dua sebutan yang berlainan.
Pada pandangan pertama, pemisahan ini mungkin kelihatan ganjil kerana usia muda lazimnya dikaitkan dengan tubuh yang sihat, kuat dan bertenaga. Maka menyebut “masa muda” boleh difahami bersamanya “masa sihat”. Namun apabila direnungkan dengan lebih mendalam, ternyata kedua-duanya bukanlah nikmat yang sama.
Pengalaman hidup manusia menunjukkan bahawa usia muda tidak semestinya disertai kesihatan yang baik. Malah ada yang masih muda, tetapi diuji dengan pelbagai penyakit, kemalangan atau keterbatasan fizikal.
Sebaliknya, ada juga yang telah lanjut usia tetapi masih dikurniakan tubuh yang cergas dan kesihatan yang baik. Oleh sebab itu, masa muda dan kesihatan sebenarnya merupakan dua nikmat yang berbeza, walaupun sering hadir bersama dalam kehidupan seseorang.
Justeru, pesanan Rasulullah SAW mengenai masa muda bukanlah seruan untuk sentiasa sibuk bekerja sehingga mengabaikan kesihatan dan ketenangan jiwa. Malah, dalam kehidupan moden hari ini, pekerjaan dan kesibukan yang berlebihan juga boleh menjadi punca kemerosotan kesihatan fizikal dan kesejahteraan emosi.
Apa yang ingin disampaikan oleh Baginda ialah peringatan agar menghargai masa yang difirmankan oleh Allah SWT melalui Surah al-‘Asr.
“Demi masa (1) sesungguhnya manusia berada dalam kerugian (2) kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh; mereka itu berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran. (3)”
Ibn Khathir meriwayatkan daripada Imam asy-Syafii bahawa beliau pernah menyebut: “Sekiranya manusia bertadabur dengan Surah al-‘Asr ini, nescaya ia sudah memadai bagi dirinya”.
Diriwayatkan juga oleh at-Tabari tentang para sahabat Baginda SAW apabila berjumpa, nescaya salah seorang daripada mereka akan membacakan surah ini sebelum bersalaman dan berpisah. Begitulah gambaran betapa pentingnya masa, khususnya masa muda, bagi kita.
Secara khusus apabila merujuk kepada masa muda, ia bererti menyedari nilai usia, tenaga dan peluang yang masih terbentang di hadapan. Menghargai kesihatan pula bererti mensyukuri kemampuan yang diberikan Allah SWT untuk beribadah, berbuat baik dan menjalankan tanggungjawab kehidupan dengan sebaik-baiknya.
Kedua-duanya merupakan amanah yang tidak kekal, bahkan boleh berubah pada bila-bila masa mengikut ketentuan-Nya. Rasulullah SAW bersabda:
نعمتان مغبون فيهما كثير من الناس: الصحة والفراغ
“Dua nikmat yang selalu manusia tertipu dengannya; itulah kesihatan dan waktu terluang.” [Riwayat al-Bukhari]
Peka dengan perubahan
Hakikat yang kita sebagai manusia perlu sedari ialah kehidupan kita akan sentiasa berubah dan tidak kekal dalam satu keadaan. Masa muda akan beransur-ansur digantikan dengan usia tua, manakala tubuh yang sihat boleh berubah menjadi lemah dan sakit.
Kesedaran terhadap perubahan inilah yang akan melahirkan sikap rendah hati dan bersyukur di samping akan membuatkan kita lebih berhati-hati dalam menjalani liku-liku kehidupan.
Sehubungan itu, dapat kita fahami makna tersirat daripada bahagian kedua yang merupakan bahagian utama daripada lirik “Layar Keinsafan” yang dipersembahkan dalam bentuk munajat (permohonan) kepada Tuhan.
Tuhan, layarkanku ke arah cinta-Mu
Tuntuniku menggapai reda-Mu
Rimbunan kasih-Mu ku berteduh
Kepada-Mu, ya Tuhan
Berikan secebis keinsafan
Bekalan sepanjang perjalanan
Mencari ketenangan
Biar Kau menjadi saksi
Tulus tangisku kala dini hari
Kesempatan yang hanya sebentar
Moga keikhlasanku terlakar
Berikanlah ku hidayah
Agar dikuatkan iman yang lemah
Moga diberkati hidup ini
Menuju bahagia yang kekal abadi
Pada-Mu Tuhan
Kan kuserahkan cinta kepada-Mu
Harapanku moga dikurniakan
Manisnya iman berpanjangan
Moga lautan hilang gelora
Untukku berlayar
Beberapa nilai yang dapat dipelajari daripada bahagian ini ialah:
- Kesedaran tentang sifat sementara kehidupan
- Keinsafan terhadap kelemahan diri dan memanfaatkan masa yang ada
- Pergantungan kepada Allah SWT
- Mencari ketenangan berpanjangan di sebalik perubahan hidup
Mengenai kesedaran tentang sifat sementara kehidupan, aspek ini telah dihuraikan dalam bahagian terdahulu. Dalam rangkap munajat ini, mesej yang sama diulang dan diperkukuhkan melalui baris:
Kesempatan yang hanya sebentar
Ungkapan tersebut mengingatkan bahawa usia muda, kesihatan dan peluang hidup yang dimiliki oleh kita hanyalah bersifat sementara serta tidak akan berkekalan. Pengulangan tema ini bukan sekadar berfungsi sebagai peringatan, malah bertujuan menguatkan lagi kesedaran bahawa kehidupan dunia hanyalah persinggahan yang singkat.
Dengan kesedaran itu, segala pengorbanan, usaha dan perjuangan yang dilakukan di dunia dilihat lebih bermakna kerana ia bukan semata-mata untuk kepentingan seketika, tetapi sebagai bekalan menuju kehidupan abadi:
Menuju bahagia yang kekal abadi
Poin pertama di atas, secara tidak langsung, membawa kepada poin kedua, iaitu keinsafan terhadap kelemahan diri yang dapat kita fahami melalui baris:
Berikan secebis keinsafan
dan
Agar dikuatkan iman yang lemah
Kedua-dua baris ini memperlihatkan pengakuan bahawa manusia mempunyai keterbatasan dan tidak mampu bergantung sepenuhnya kepada kekuatan diri sendiri. Kesedaran ini lahir daripada kefahaman bahawa kehidupan, usia muda dan kesihatan hanyalah bersifat sementara.
Menariknya, unsur kelemahan manusia yang diketengahkan dalam lirik “Layar Keinsafan” sentiasa disusuli dengan harapan terhadap perkara yang lebih berkekalan.
Contohnya permohonan untuk memperoleh “secebis keinsafan” diikuti dengan harapan agar dikurniakan “bekalan sepanjang perjalanan”, manakala permohonan agar “dikuatkan iman yang lemah” pula disusuli dengan cita-cita menuju “bahagia yang kekal abadi”. Dalam rangkap penutup, tema yang sama diteruskan melalui harapan untuk memperoleh “manisnya iman berpanjangan”.
Hal ini menunjukkan bahawa kesedaran terhadap kelemahan diri bukanlah sekadar pengakuan tentang keterbatasan manusia. Sebaliknya, pengakuan tersebut menjadi sebab untuk memohon pertolongan, hidayah dan bimbingan Allah SWT agar manusia memperoleh bekalan rohani yang dapat membimbingnya menuju kebahagiaan yang kekal.
Dengan kata lain, sudah menjadi lumrah manusia yang lemah untuk mengakui keterbatasannya, seterusnya berserah dan memohon bantuan Allah SWT bagi mencapai cita-cita yang dihajatkan.
Daripada kesedaran inilah lahir nilai yang ketiga, iaitu pergantungan kepada Allah SWT. Setelah menyedari kelemahan diri dan keterbatasan kemampuan manusia, nasyid “Layar Keinsafan” mengajarkan bahawa seseorang perlu meletakkan harapan serta pergantungannya kepada Tuhan. Nilai tersebut dapat dilihat melalui baris
Tuntuniku menggapai reda-Mu
dan
Berikanlah ku hidayah
Kedua-dua baris ini memperlihatkan bahawa kita bukan sahaja memerlukan petunjuk untuk menentukan arah kehidupan, malah memerlukan bimbingan yang berterusan dalam menghadapi pelbagai perubahan dan cabaran hidup, seperti yang sering dibaca dalam Surah al-Fatihah:
اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ (6)
“Tunjukkanlah kami jalan yang lurus.”
Permohonan yang berulang-ulang dilakukan dalam setiap solat ini adalah bertujuan memohon petunjuk yang berterusan (continuous guidance) daripada Allah SWT, bukan hanya sekali petunjuk one-off.
Nilai pergantungan kepada Allah SWT menjadi semakin penting apabila usia semakin meningkat dan kemampuan fizikal semakin berkurangan. Pada saat inilah hubungan dengan Tuhan menjadi sumber kekuatan, ketenangan dan harapan yang amat diperlukan.
Ketenangan daripada HAL ehwal dunia yang menggusarkan
Setelah segala hal yang dibincangkan di atas tentang kesedaran sifat sementara kehidupan, kelemahan diri manusia, kepentingan masa dan keperluan pergantungan kepada Allah SWT, apa yang menjadi tujuan utama kita ialah untuk memperolehi ketenangan yang berpanjangan di sebalik pergolakan duniawi.
Hal inilah yang ingin disampaikan oleh nasyid “Layar Keinsafan” berdasarkan beberapa baris lirik, contohnya:
Mencari ketenangan
dan
Moga lautan hilang gelora
Untukku berlayar
Kedua-dua baris di atas menandakan ketenangan rohani ialah nilai yang sebenar-benarnya didambakan untuk menghadapi kegusaran perubahan fizikal dan mental sejajar meningkatnya usia.
Keseluruhan makna lirik ini menunjukkan bahawa ketenangan tidak semestinya datang daripada kesihatan fizikal dan kekuatan jasmani semata-mata, bahkan lebih kuat jika ia disandarkan kepada rasa dekat dengan Tuhan, Pemerintah Sekalian Alam.
Paradigma ini perlu dianjak dan keyakinan umat Islam seharusnya lebih utuh melalui keimanan, bukan melalui keyakinan metarialistik yang menipu.
Dengan kata lain, nilai inilah yang cuba dibawa oleh penyanyi “Layar Keinsafan” kepada pendengar. Setiap metafora dan alunan yang mendayu-dayu nasyid ini dapat meninggalkan kesan mendalam kepada kita disebabkan setiap mesej disampaikan tanpa paksaan ke atas emosi.
Keindahan bahasanya pula secara beransur-ansur memujuk jiwa kita agar sentiasa merenung kehidupan, kesilapan, keletihan dan mencari arah tuju yang sebenar. Ketika masih muda remaja, keindahan ini mungkin hanya singgah pada melodi dan liriknya sahaja, namun setelah dewasa dan menimba pengalaman hidup, nasyid ini mula kedengaran berbeza dan lebih mendalam.
Kesan yang ditinggalkan oleh nasyid seperti “Layar Keinsafahan” ini menunjukkan bahawa hiburan bukanlah sesuatu yang semestinya melalaikan. Sebaliknya, apabila digunakan untuk menyampaikan mesej yang baik, hiburan boleh menjadi medium pendidikan jiwa dan pembinaan iman.
Atas sebab itulah Islam tidak pernah menolak hiburan secara mutlak. Bahkan telah diriwayatkan oleh al-Bukhari sebuah hadis yang mengatakan medium hiburan (yang ketika itu adalah syair, menyamai lagu dan bunyi-bunyian pada zaman sekarang) mengandungi hikmah.
إِنَّ مِنَ الشِّعْرِ لَحِكْمَةً
“Sesungguhnya pada syair itu terdapat hikmah.”
Ironinya, nasyid-nasyid yang sarat dengan mesej keinsafan dan ketuhanan semakin jarang mendapat tempat dalam arus perdana.
Pada masa yang sama, banyak karya hiburan hari ini lebih menumpukan aspek emosi, pengalaman peribadi atau hiburan semata-mata sehingga mesej yang ingin disampaikan menjadi kabur. Akibatnya, unsur hikmah yang dahulunya menjadi kekuatan karya-karya sebegini semakin sukar ditemui.
Hal ini merupakan satu pemesongan terhadap budaya yang murni kerana Islam bukan hanya datang untuk memberi alternatif, malah tujuan yang lebih nyata ialah untuk menyebarkan mesej-mesej yang baik yang akan mengembalikan masyarakat kepada Tuhan.
Selagi maklumat tidak jelas, hala tuju bercelaru disebabkan terpengaruh dengan lagu yang kononnya lebih moden dan menurut perkembangan zaman. Nilai hikmah akan hilang dan yang tinggal adalah hiburan yang tidak bererti.
Sudah tiba masanya kita mendengar semula nasyid-nasyid lama dengan jiwa yang lebih matang. Jika dahulu kita menikmati melodinya, hari ini kita mungkin dapat memahami hikmah yang tersimpan di sebalik setiap bait liriknya.
Dalam dunia yang semakin sibuk dan tidak menentu, mesej tentang keinsafan, pergantungan kepada Allah SWT dan pencarian ketenangan rohani barangkali lebih relevan berbanding sebelumnya.
Jom dengar semula nasyid-nasyid lama ini, pautan “Layar Keinsafan” di Spotify: https://shorturl.at/Manra
Dr Amer Hudhaifah Hamzah
Ahli Pertubuhan Ilmuwan dan Cendekiawan Muslim Malaysia




