Krisis bukan perkara luar biasa dalam kehidupan manusia, tetapi cara menghadapinya itulah yang menentukan sama ada kita akan bangkit atau hancur, dan di sinilah kita belajar daripada Nabi Muhammad SAW bahawa setiap ujian adalah ruang untuk membina kekuatan, bukan alasan untuk tenggelam dalam emosi.
Dalam menghadapi tekanan dan konflik, Nabi SAW tidak pernah membiarkan emosi mendahului pertimbangan wahyu dan hikmah, bahkan baginda memilih untuk tenang, berfikir dan menilai sebelum bertindak walaupun dalam keadaan dihina dan dizalimi.
Ketenangan itu sendiri adalah asas kepada keputusan yang adil dan tepat, sebagaimana digambarkan dalam sirah bahawa baginda sering berdiam dan bermusyawarah sebelum membuat keputusan penting. (Ibnu Hisham, Sirah Nabawiyah)
Maslahat yang lebih besar
Salah satu contoh paling besar kebijaksanaan Nabi SAW ialah dalam peristiwa Perjanjian Hudaibiyah apabila baginda menerima syarat yang kelihatan berat demi mencapai maslahat yang lebih besar. Baginda melihat kesan jangka panjang yang membuka ruang dakwah dan keamanan yang akhirnya membawa kemenangan kepada Islam. (Sahih al-Bukhari, Hadis 2731)
Hal ini menunjukkan bahawa dalam menghadapi krisis, seseorang itu tidak boleh terlalu sempit melihat kemenangan pada hari ini sahaja, tetapi perlu melihat kesan yang lebih luas kepada masa depan masyarakat dan umat kerana keputusan yang bijak ialah keputusan yang menjaga maslahat jangka panjang walaupun kelihatan sukar pada awalnya.
Tidak boleh dipengaruhi
Nabi SAW juga mengajar bahawa keadilan tidak boleh dipengaruhi oleh sentimen kelompok atau emosi peribadi kerana kebenaran itu berdiri atas prinsip dan bukan atas siapa yang membawanya. Al-Quran menegaskan bahawa janganlah kebencian terhadap sesuatu kaum mendorong kita berlaku tidak adil. (Surah al-Maidah: 8)
Dalam konteks masyarakat hari ini, ia bermaksud seseorang tidak boleh menyokong sesuatu hanya kerana ia datang daripada “pihak kita” dan menolak sesuatu hanya kerana ia datang daripada “pihak mereka”. Sikap sebegini hanya akan merosakkan keadilan dan memecahbelahkan masyarakat tanpa kita sedari.
Ketika berhijrah ke Madinah, Nabi SAW tidak hanya menyelesaikan konflik secara sementara, tetapi membina satu sistem sosial melalui Piagam Madinah yang mengatur hubungan antara pelbagai kaum dan agama, menunjukkan bahawa krisis tidak cukup diselesaikan dengan emosi atau tindakan spontan, tetapi perlu disokong dengan struktur yang adil dan dipersetujui bersama.
Perkara ini adalah satu pelajaran besar bahawa masyarakat yang stabil tidak dibina atas reaksi semata-mata, tetapi atas sistem yang menjaga hak dan tanggungjawab semua pihak secara seimbang. (Ibnu Hisham, Sirah Nabawiyah)
Kitab Al-Bidayah wa al-Nihayah karangan Ibnu Kathir menyatakan bahawa Nabi SAW menunjukkan kebijaksanaan yang luar biasa dalam menyelesaikan konflik dengan menjaga maruah semua pihak. Contohnya dalam peristiwa peletakan Hajar al-Aswad, baginda mengelakkan pertelingkahan antara kabilah dengan melibatkan semua pihak dalam penyelesaian tersebut tanpa menjatuhkan sesiapa.
Dihormati dan diterima
Peristiwa ini mengajar kita bahawa dalam banyak situasi, penyelesaian terbaik bukanlah mencari siapa yang menang atau kalah, tetapi mencari jalan agar semua pihak berasa dihormati dan diterima.
Dalam masa yang sama, Nabi SAW sangat menjaga adab dalam komunikasi dan tidak pernah menjadikan kata-kata sebagai alat untuk menghina atau merendahkan manusia. Baginda memahami bahawa kata-kata boleh membina atau merosakkan masyarakat. Baginda mengingatkan bahawa berkata baik atau diam adalah pilihan terbaik bagi seorang mukmin. (Sahih al-Bukhari, Hadis 6018)
Dalam dunia yang media sosial sering menjadi medan penghinaan dan kecaman hari ini, perkara-perkara ini sangat relevan. Islam mengajar bahawa setiap perkataan akan dipertanggungjawabkan dan mempunyai kesan kepada orang lain. Firman Allah dalam Surah al-Hujurat ayat 11 bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (daripada kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak daripada kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya), maka merekalah orang-orang yang zalim.”
Menangani krisis berpaksikan keseimbangan
Antara lain, solusi besar Nabi SAW ialah keupayaan baginda memaafkan ketika berada di puncak kekuatan, seperti dalam peristiwa pembukaan Makkah apabila baginda memberi kemaafan kepada musuh-musuhnya walaupun berhak untuk membalas. Baginda memahami bahawa kemaafan dalam situasi tertentu mampu menyatukan hati dan membina masa depan yang lebih baik.
Ia menunjukkan bahawa kekuatan sebenar bukan pada membalas dendam, tetapi pada kemampuan mengawal diri dan memilih jalan yang membawa kepada kebaikan yang lebih besar.
Akhirnya, semua solusi Nabi SAW dalam menangani krisis berpaksikan keseimbangan antara ketegasan dan rahmah, antara prinsip dan hikmah serta antara keadilan dan ihsan. Baginda bukan hanya menyelesaikan masalah luaran tetapi membina manusia yang kuat dari dalam.
Justeru, jika kita ingin belajar menghadapi krisis hari ini, sama ada dalam keluarga, masyarakat atau negara, kita perlu kembali kepada pendekatan Nabi SAW yang mendahulukan ilmu daripada emosi, hikmah daripada reaksi dan solusi daripada kecaman.
Di situlah letaknya kekuatan sebenar umat yang ingin bangkit dan bukan hanya bertahan, insya-Allah.
Atriza Umar
Pegawai Kanan
Jabatan Pendidikan Masyarakat
Pertubuhan IKRAM Malaysia




