Saban tahun, apabila jutaan manusia dari pelbagai pelosok bumi berkumpul di Haramain iaitu tanah suci Makkah dan Madinah, wujud “satu kelompok” yang sering kali menjadi sebutan dan buah mulut komuniti antarabangsa.
Mereka bukanlah diplomat berpangkat tinggi mahupun selebriti media sosial dengan jutaan pengikut. Mereka adalah jemaah haji Malaysia.
Di sebalik jubah dan ihram, tersirat satu kekuatan soft power (kuasa lunak) yang luar biasa. Tanpa perlu berucap di podium antarabangsa, jemaah Malaysia telah berjaya membina reputasi negara sebagai model “Islam yang Rahmah” melalui akhlak terbaik dan budaya yang mengagumkan.
Di tengah-tengah kesesakan jutaan manusia, jemaah Malaysia dikenali dengan satu sifat utama: Ketertiban. Perkataan “Sabar” dan “Tertib” seolah-olah sudah sebati dalam DNA jemaah Malaysia. Jemaah haji Malaysia jarang sekali dilihat meredah barisan, mencetuskan kekacauan atau melanggar zon larangan.
Jemaah kita dididik untuk bergerak dalam kumpulan yang terancang. Kepatuhan kepada jadual melontar jamrah, waktu bertolak ke Arafah dan giliran ziarah bukan sekadar mengikut arahan muassasah, tetapi dilihat sebagai tanggungjawab agama demi menjaga maslahah (kepentingan awam).
Penekanan terhadap disiplin dan kepatuhan jemaah Malaysia bukan sekadar satu pemerhatian luaran, malah ia merupakan satu fenomena sosiologi yang meletakkan Malaysia dalam kelas yang tersendiri di mata dunia. Dalam konteks Haramain, disiplin ini diterjemahkan sebagai satu bentuk “patriotisme spiritual”.
Secara sosiologinya, ia adalah hasil daripada gabungan nilai murni budaya Melayu rakyat Malaysia yang mementingkan kesantunan dihiasi dengan amalan Islam yang menekankan disiplin diri.
Apabila jemaah Malaysia beratur dengan rapi di pintu Masjidil Haram atau menjaga kebersihan di kawasan perkhemahan Mina, mereka sebenarnya sedang mempamerkan sebuah branding atau jenama negara yang sangat efektif.
Di celah-celah jutaan manusia di Mina, disiplin jemaah Malaysia dalam menjaga kebersihan ruang tempat tinggal dan kawasan awam sering mendapat pujian. Hal ini mencerminkan tahap sivik yang tinggi; mereka berusaha menterjemah maksud hadis nabi, “Kebersihan itu sebahagian daripada iman.”
Lebih membanggakan, Kempen Kebersihan Masya’ir yang dimulakan sejak 2017 telah dipuji oleh Dr. Taufiq Fawzan Al-Rabiah, Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi. Beliau pernah dipetik sebagai berkata, “Jika semua jemaah di dunia seperti jemaah Malaysia, saya boleh tidur dengan tenang.”
Kejuruteraan sosial: Tabung Haji sebagai arkitek disiplin
Kehebatan karakter jemaah Malaysia tidak datang secara kebetulan. Ia adalah hasil kejuruteraan sosial yang teliti melalui Lembaga Tabung Haji (TH). Kursus-kursus haji yang dijalankan di tanah air bukan sekadar mengajar rukun dan wajib haji, tetapi turut menekankan aspek disiplin, kepatuhan dan kenegaraan.
Jemaah dididik bahawa di Tanah Suci, mereka membawa bendera di bahu. Setiap tindakan mereka mencerminkan imej Malaysia. Inilah yang kita panggil sebagai Diplomasi Rakyat – setiap individu bertindak sebagai “duta kecil” yang mempamerkan kematangan sebuah negara berdaulat.
Sebelum menjejakkan kaki ke Tanah Suci, jemaah didedahkan dengan undang-undang negara Arab Saudi. Mereka diajar untuk menghormati kedaulatan tuan rumah. Kepatuhan ini mengurangkan risiko diplomatik dan memudahkan urusan konsular negara.
Melalui struktur ketua unit, ketua bilik dan penyelia maktab, sistem pengurusan jemaah Malaysia menyerupai struktur organisasi yang sangat efisien. Ia mewujudkan satu rantaian arahan (chain of command) yang jelas, membolehkan maklumat kecemasan atau perubahan jadual disampaikan dengan pantas tanpa menimbulkan panik.
Salah satu jurang yang membezakan jemaah Malaysia dengan negara lain ialah kepatuhan berasaskan kefahaman dan ilmu, bukan sekadar ikut-ikutan.
Jemaah Malaysia cenderung untuk mengikut fatwa-fatwa yang telah diselaraskan oleh Jawatankuasa Penasihat Ibadah Haji (TH-JAKIM). Hal ini mengelakkan perdebatan sia-sia atau tindakan ekstrem di lapangan yang boleh mengganggu ketenteraman awam.
Disiplin untuk tidak menghalang laluan (solat di laluan utama) atau tidak berebut-rebut ketika mencium Hajarul Aswad menunjukkan bahawa jemaah Malaysia mempunyai kesedaran tinggi tentang hak orang lain dalam ruang awam yang terhad.
Impak kepada reputasi global Malaysia
Mengapa budaya yang positif ini penting dalam konteks global? Dalam dunia yang sering kali melihat Islam melalui lensa konflik, kehadiran jemaah Malaysia yang tenang, celik teknologi dan mematuhi undang-undang memberikan naratif alternatif yang sangat positif.
Pihak Berkuasa Arab Saudi sering memuji jemaah Malaysia sebagai antara yang paling mudah diurus. Jemaah negara lain melihat Malaysia sebagai contoh kejayaan integrasi antara kemodenan sistem (melalui TH) dengan keluhuran peribadi.
Haji bagi rakyat Malaysia bukan sekadar perjalanan ritual tetapi merupakan manifestasi intelektualisme budaya. Kesantunan yang dipamerkan bukan tanda lemah, tetapi tanda kekuatan jiwa yang terkawal.
Apabila seorang jemaah Malaysia membantu jemaah tua dari negara lain atau sekadar melemparkan senyuman ketika berhimpit dalam kesesakan, mereka sedang menulis “surat cinta” dari Malaysia kepada dunia.
Mereka adalah “Duta Senyap” yang membuktikan bahawa kehebatan sesebuah negara tidak hanya terletak pada pencakar langitnya tetapi pada adab dan pekerti rakyatnya.
Disiplin dan kepatuhan ini memberikan impak yang sangat nyata terhadap kedudukan Malaysia di persada antarabangsa. Pertamanya, dari sudut diplomatik, apabila Malaysia sering menjadi negara pertama yang diberikan kelonggaran atau projek rintis seperti Makkah Route kerana tahap disiplin jemaah yang tinggi.
Kedua, kuota haji bertambah. Pihak berkuasa Arab Saudi berkeyakinan terhadap Malaysia dan memudahkan rundingan kuota tambahan haji pada masa hadapan.
Ketiganya, imej Islam yang rahmah. Imej ini membuktikan bahawa masyarakat Islam dari Asia Tenggara mampu mengamalkan cara hidup yang moden, teratur dan beradab tinggi.
Disiplin jemaah Malaysia di Haramain adalah bukti bahawa karakter bangsa adalah aset diplomatik yang paling berharga. Ia bukan sekadar tentang “takut pada undang-undang”, tetapi tentang rasa bangga membawa nama negara.
Kepatuhan jemaah adalah cerminan kepada kestabilan sistem pendidikan dan sosial di Malaysia yang berjaya membentuk insan yang menghormati “ketertiban global”.
Tahun ini, kira-kira 31,600 jemaah haji Malaysia akan bertamu mengunjungi Baitullah bagi melengkapkan rukun Islam kelima.
Harapan kita agar setiap “duta kecil” ini sentiasa dikurniakan kesihatan terbaik, mampu melengkapkan ibadah haji dengan sempurna serta mempamerkan kualiti akhlak dan budaya Malaysia yang sentiasa membanggakan negara.
Dr. Safwan Saparudin
Ketua Penyelidik
Ansori Global Datalab




