Ramadan Pergi, Rahmah Usah Mati: Tercapaikah Takwa?

Ramadan semakin menghilang dari genggaman waktu, tetapi persoalan yang jauh lebih penting ialah, apakah Ramadan turut menghilang dari jiwa kita, atau ia kekal sebagai cahaya yang terus membimbing langkah kehidupan? 

Dalam kerangka Asas Islam Rahmah (AISAR), Ramadan bermaksud bukan semata-mata bulan ibadah bermusim, tetapi sebuah proses pembinaan manusia yang berteraskan rahmah iaitu rahmah kepada Allah, rahmah kepada manusia, dan rahmah kepada seluruh kehidupan.

Ramadan datang mendidik, bukan hanya singgah. Ia melatih hati menjadi lembut, melatih lidah menjadi terjaga, melatih tangan menjadi pemurah, dan melatih jiwa menjadi tunduk kepada Allah SWT. Namun, semua latihan ini tidak bermakna jika ia hanya berlaku dalam tempoh 30 hari, kemudian lenyap bersama berakhirnya Ramadan. Inilah titik kritikal yang perlu difahami oleh kita sebagai umat Islam, Ramadan bukan destinasi, tetapi titik mula dan penerus.

Bermuhasabahlah!

Allah SWT telah menetapkan tujuan puasa dengan sangat jelas, iaitu untuk mencapai takwa. Dalam perspektif AISAR, takwa bukan hanya soal hubungan dengan Allah, tetapi juga bagaimana nilai itu terpancar dalam hubungan sesama manusia.

Takwa itu terlihat apabila kita menahan marah, memaafkan kesalahan, membantu yang susah dan tidak menyakiti orang lain. Maka, jika selepas Ramadan kita kembali kepada sifat lama yang kasar, lalai dan mementingkan diri, maka kita perlu jujur mengakui bahawa kita belum benar-benar “lulus” dari madrasah Ramadan.

Ketika Ramadan berada pada penghujungnya, saat inilah waktu terbaik untuk bermuhasabah secara mendalam. Bukan hanya bertanya berapa juzuk al-Quran yang telah dibaca, tetapi bertanya apakah al-Quran itu telah menyentuh hati kita?

Bukan sekadar bertanya berapa rakaat tarawih yang ditunaikan, tetapi bertanya, apakah solat itu telah mengubah cara kita melihat kehidupan? Bukan semata-mata bertanya berapa banyak sedekah yang telah diberikan, tetapi bertanya, apakah hati kita telah menjadi lebih peduli terhadap orang lain?

Ibadah melahirkan Rahmah

Dalam konsep AISAR, perubahan yang sebenar ialah apabila ibadah melahirkan rahmah. Jika seseorang itu semakin banyak beribadah tetapi semakin keras hatinya, semakin mudah menghukum orang lain, dan semakin jauh dari sifat empati, maka ibadah itu belum sampai kepada rohnya. Ramadan sepatutnya menjadikan kita manusia yang lebih memahami, bukan lebih menghukum, lebih memaafkan, bukan lebih menyimpan dendam.

Apabila Syawal menjelang, ramai yang melihatnya sebagai simbol kebebasan, iaitu bebas untuk makan, bebas untuk berhibur, bebas daripada disiplin Ramadan. Namun, hakikatnya dalam sunnah Nabi SAW, Aidilfitri adalah hari kemenangan spiritual, bukan hari pelepasan tanpa arah. Ia adalah hari untuk mensyukuri kejayaan menundukkan nafsu, bukan hari untuk menghidupkan kembali nafsu tanpa batas.

Mengekalkan disiplin Ramadan

Dalam AISAR, kemenangan Aidilfitri diukur bukan pada kemeriahan pakaian atau juadah, tetapi pada sejauh mana kita berjaya membawa nilai Ramadan ke dalam kehidupan seterusnya. Adakah kita masih menjaga solat seperti dalam Ramadan? Adakah kita masih membaca al-Quran walaupun tanpa suasana tadarus berjemaah? Adakah kita masih ringan tangan membantu orang lain walaupun tiada kempen infak? Inilah ukuran sebenar kemenangan yang sepatutnya kita capai.

Hakikatnya, cabaran terbesar bukanlah menahan diri dalam Ramadan, tetapi mengekalkan disiplin itu selepas Ramadan. Syaitan yang dibelenggu akan kembali, nafsu yang ditundukkan akan bangkit semula, dan dunia akan kembali menguji kita dengan pelbagai godaan. Di sinilah pentingnya konsep rahmah dalam AISAR iaitu rahmah yang tidak bermusim, tetapi menjadi asas kehidupan sepanjang masa.

Manifestasi kepada fitrah manusia 

Ramadan telah mengajar erti lapar agar kita memahami derita orang susah. Ia mengajar erti memberi agar kita tidak menjadi hamba kepada harta. Ia mengajar maksud sabar agar kita tidak dikuasai emosi. Namun, semua pengajaran ini akan menjadi sia-sia jika kita kembali kepada gaya hidup lama yang lalai dan tidak peduli. Sebaliknya, jika kita terus mempraktikkan nilai-nilai ini, sebenarnya kita telah berjaya “membawa Ramadan bersama kita”, walaupun bulan itu telah berlalu.

Aidilfitri pula sepatutnya menjadi manifestasi kepada fitrah manusia yang suci. Ia adalah peluang untuk membersihkan hati, memaafkan kesalahan dan memperbaik hubungan. Namun, jika Aidilfitri hanya diisi dengan pembaziran, hiburan melampau dan persaingan duniawi, maka kita telah tersasar daripada makna sebenar fitrah itu sendiri. Dalam AISAR, Aidilfitri adalah simbol keseimbangan, antara kegembiraan dan kesederhanaan, antara syukur dan tanggungjawab, antara diri dan masyarakat.

Akhirnya, kita perlu sedar bahawa Ramadan tidak pernah bertujuan untuk kekal sebagai kenangan, tetapi untuk menjadi titik perubahan. Jika sebelum ini kita lalai, Ramadan datang untuk menyedarkan. Sebelum ini kita keras, Ramadan datang untuk melembutkan hati-hati ini. Jika sebelum ini

 jauh dari Allah, Ramadan datang untuk mendekatkan kita kepada-Nya.

Versi diri yang lebih baik

Persoalannya sekarang, selepas Ramadan pergi, adakah kita akan kembali seperti dahulu, atau kita memilih untuk menjadi versi diri yang lebih baik?

Kejayaan sebenar bukan terletak pada siapa yang paling banyak beribadah dalam bulan Ramadan, tetapi siapa yang paling konsisten membawa roh Ramadan selepasnya. Hakikatnya, Allah bukan hanya Tuhan pada bulan Ramadan, tetapi Tuhan sepanjang kehidupan.

Maka, biarlah Ramadan pergi sebagai bulan, tetapi jangan biarkan rahmahnya pergi dari hati kita. Jadikan Syawal sebagai permulaan kehidupan baharu, kehidupan yang lebih bertakwa, lebih berahmah dan lebih bermakna. 

Sesungguhnya kemenangan sebenar bukan pada hari raya, tetapi pada jiwa yang benar-benar kembali kepada Allah Yang Maha Esa.

Atriza Umar
Pegawai Kanan
Jabatan Pendidikan Masyarakat
Pertubuhan IKRAM Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia