Ramadan pada suatu ketika dahulu difahami sebagai satu ruang sunyi antara hamba dan Tuhan. Segala amalan yang dilakukan pada bulan ini bukanlah untuk kelihatan baik, tetapi untuk menjadi benar-benar baik.
Namun, dalam ekosistem digital yang sarat dengan budaya visual dan algoritma, Ramadan semakin berubah menjadi musim produksi kandungan. Garis masa media sosial dipenuhi gambar juadah eksklusif, rakaman tangisan tarawih, video sedekah dengan muzik latar menyentuh emosi, serta ulasan berbuka puasa di hotel lima bintang yang disampaikan dengan gaya profesional.
Isunya bukan soal halal haram memuat naik gambar berbuka. Namun apa yang menjadi kegusaran kini ialah perubahan pada struktur makna beribadah. Apabila aktiviti ibadah yang bersifat peribadi dipindahkan ke ruang awam sebagai simbol status sosial dan kredibiliti moral, maka kita sedang menyaksikan proses komodifikasi spiritual, atau dengan kata mudahnya, menjadikan elemen kerohanian seperti barang dagangan.
Ibadah bukan lagi sekadar komitmen rohani, tetapi telah bertukar menjadi mata wang simbolik dalam ekonomi perhatian. Fenomena ini lahir dalam budaya digital yang meletakkan keterlihatan (visibility) sebagai ukuran nilai. Dalam dunia yang dipacu algoritma, yang tidak dipaparkan seolah-olah tidak wujud.
Puasa ialah ibadah paling intim. Tidak ada manusia yang boleh mengesahkan kesahihannya. Ia hanya diketahui oleh diri sendiri dan Tuhan. Di sinilah terletaknya latihan integriti yang paling tulen. Berbeza dengan ibadah lain yang mempunyai bentuk fizikal yang boleh dilihat, puasa mendidik manusia berdisiplin tanpa pengawasan sosial.
Budaya flexing di media sosial
Namun media sosial mengubah pengalaman itu. Kamera telefon menjadi saksi utama. Momen berbuka dirakam sebelum suapan pertama. Sedekah direkod sebelum penerima sempat berlalu. Tarawih disiarkan secara langsung dengan sudut pencahayaan dan suntingan yang dramatik.
Transformasi ini halus tetapi signifikan. Soalan yang dahulunya hanya dibisikkan dalam hati, “Adakah ibadahku ini diterima Tuhan?” telah mula digantikan dengan “Adakah ini cukup menarik untuk dikongsi?” Budaya flexing Ramadan bukan sekadar tentang mempamerkan kemewahan tetapi juga tentang pementasan moral. Kita bukan sahaja mahu dilihat berada, tetapi mahu dilihat soleh.
Di sinilah paradoks muncul. Ibadah yang bertujuan memupuk keikhlasan dalaman kini berdepan risiko menjadi persembahan identiti.
Laporan Digital 2024 menunjukkan rakyat Malaysia menghabiskan purata hampir tiga jam sehari di media sosial. Angka ini antara yang tertinggi di rantau Asia Tenggara. Sepanjang Ramadan, pola penggunaan media sosial meningkat terutama pada waktu sebelum berbuka dan selepas sahur. Situasi ini bermakna pengalaman Ramadan kini berlaku serentak dalam dua ruang, fizikal dan digital.
Dalam ekonomi perhatian, algoritma tidak menilai niat. Ia menilai interaksi. Kandungan yang dramatik, visual yang mewah dan naratif yang menyentuh emosi akan menerima capaian lebih luas. Sistem ini menggalakkan intensifikasi. Semakin luar biasa sesuatu paparan, semakin tinggi ganjaran sosialnya.
Teori dan kajian
Teori Perbandingan Sosial yang dikemukakan oleh Leon Festinger menjelaskan bahawa manusia menilai diri melalui perbandingan dengan orang lain. Apabila garis masa dipenuhi gambar buffet hotel eksklusif, sumbangan besar-besaran dan dekorasi iftar bertema, tekanan psikologi muncul secara halus. Rasa tidak cukup itu sering disalah tafsir sebagai kekurangan diri, sedangkan ia lahir daripada paparan yang telah disusun oleh algoritma dengan teliti.
Data perbelanjaan isi rumah di Malaysia turut menunjukkan peningkatan konsisten menjelang Ramadan dan Syawal. Bank Negara Malaysia dalam beberapa laporan kestabilan kewangan sebelum ini turut menekankan kebimbangan terhadap penggunaan kredit pengguna bagi perbelanjaan bermusim.
Dalam kajian tingkah laku pengguna Muslim tempatan, wujud kecenderungan berbelanja lebih untuk memenuhi jangkaan sosial dan imej diri. Ramadan yang sepatutnya mendidik sifat qanaah telah bertukar menjadi musim perlumbaan estetik.
Hedonisme hari ini tidak lagi hadir dalam bentuk pesta terbuka semata-mata. Ia hadir dalam bentuk yang lebih sopan dan sukar dikesan dan berselindung di sebalik bahasa keagamaan dan simbol spiritual.
Kita sering bercakap tentang kesederhanaan, tetapi berbuka dengan pengambilan makanan melampaui keperluan. Kita selalu menyebut untuk bersifat empati terhadap golongan memerlukan, tetapi membiarkan pembaziran berlaku demi kepuasan visual.
Data daripada SWCorp Malaysia menunjukkan peningkatan sisa makanan sepanjang Ramadan antara 15 hingga 20 peratus berbanding bulan biasa. Situasi ini bukan sekadar isu pengurusan sisa, tetapi gambaran paradoks moral. Rasa lapar sepatutnya mendidik rasa empati, namun budaya paparan mendorong pengambilan berlebihan demi kandungan.
Dalam Teori Isyarat Sosial, paparan kelimpahan sering ditafsir sebagai tanda status dan kejayaan. Maka hidangan yang melimpah bukan lagi soal selera, tetapi simbol kedudukan. Makanan yang terhidang mungkin bukan untuk dihabiskan, tetapi sekadar memenuhi fungsi utamanya iaitu sebagai bahan visual.
Apabila nilai spiritual diukur melalui estetika, kita sedang menyaksikan peralihan daripada ibadah sebagai transformasi diri kepada ibadah sebagai projek reputasi.
Ahli sosiologi Erving Goffman melalui konsep Dramaturgi Sosial melihat kehidupan sebagai pentas, dengan manusia memainkan peranan tertentu di hadapan penonton. Media sosial telah menyediakan pentas yang sungguh luas tanpa had. Maka setiap individu telah menjadi pelakon dan penerbit kandungan diri sendiri.
Menilai panduan perkongsian
Bulan Ramadan seharusnya menjadi musim persembahan identiti Muslim yang ideal. Kita telah dididik sejak kecil untuk menghormati bulan yang mulia ini dengan mempraktikkan sikap pemurah, rajin beribadah dan berdisiplin.
Oleh itu, tidak dinafikan bahawa tidak semua perkongsian bermotif negatif. Banyak perkongsian di media sosial adalah untuk mengajak kebaikan. Namun apabila tindakan dipandu oleh jangkaan penonton, garis antara dakwah dan demonstrasi menjadi kabur.
Kajian psikologi sosial turut menunjukkan bahawa kebergantungan kepada validasi luaran dalam bentuk “likes” dan “komen” telah mengaktifkan sistem ganjaran dopamin dalam otak.
Oleh itu, lama kelamaan, kepuasan tindakan mula dikaitkan dengan respons sosial, bukan dengan makna intrinsik. Dalam konteks Ramadan, gejala ini berbahaya. Ganjaran rohani yang bersifat jangka panjang digantikan dengan ganjaran neurologi yang sementara.
Soalan yang wajar diajukan bukan kepada orang lain, tetapi kepada diri sendiri. Jika tiada siapa melihat, adakah kita masih melakukan perkara yang sama? Jika tiada kamera, adakah jumlah sedekah kekal sama? Jika tiada kapsyen puitis, adakah doa masih dipanjatkan dengan intensiti yang serupa?
Jawapan kepada soalan ini menentukan sama ada kita sedang beribadah atau sekadar mengurus persepsi.
Jika ditelusuri dengan lebih mendalam, masalah sebenarnya bukan pada teknologi. Masalahnya ialah ketiadaan kesedaran struktur. Literasi digital yang sebenar bukan sekadar kemahiran teknikal untuk menghasilkan kandungan tetapi lebih kepada kefahaman tentang bagaimana algoritma membentuk emosi, bagaimana perbandingan sosial mempengaruhi harga diri, dan bagaimana validasi luaran boleh menghakis motivasi intrinsik.
Dalam kerangka pendidikan Malaysia yang menekankan pembentukan insan seimbang melalui Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan aspirasi Malaysia Madani yang mengangkat nilai ihsan dan kemampanan, isu ini bukan kecil. Generasi muda yang membesar dalam budaya keterlihatan berisiko menilai spiritualiti melalui metrik populariti.
Detoks digital sebagai solusi
Detoks digital sepanjang Ramadan bukan cadangan romantik. Ia hanyalah sebahagian strategi psikologi. Tindakan mengehadkan penggunaan telefon ketika berbuka, mengurangkan siaran langsung ibadah dan menilai semula keperluan memaparkan setiap amalan merupakan antara langkah kecil yang signifikan. Ia memulangkan fokus daripada paparan kepada pengalaman.
Bayangkan jika setiap keluarga menetapkan satu waktu berbuka tanpa telefon. Tiada gambar, tiada rakaman, hanya doa dan syukur. Tindakan ini mungkin tidak tular, tetapi ia membina memori emosi yang lebih mendalam dalam hati setiap ahli keluarga daripada sebarang siaran.
Budaya konten mendorong soalan “Apa yang boleh dipaparkan?” Budaya komitmen mendorong soalan “Apa yang perlu diperbaiki?” Perbezaannya terletak pada orientasi. Konten mencari penonton sementara komitmen mencari transformasi.
Ramadan sepatutnya menjadi latihan intensif pengurusan nafsu. Namun dalam budaya flexing, kita sekadar menukar bentuk nafsu – daripada nafsu makan kepada nafsu perhatian, daripada nafsu harta kepada nafsu pengiktirafan.
Perubahan ini tidak memerlukan kempen besar-besaran. Ia bermula dengan muhasabah individu dan kesedaran kolektif. Institusi pendidikan, masjid, media dan pembuat dasar boleh memainkan peranan dengan menekankan naratif kesederhanaan dan integriti dalaman berbanding estetika spiritual.
Jika benar kita mahu keluar daripada Ramadan sebagai insan yang lebih bertakwa, kita perlu berani melawan struktur yang mengkomersialkan makna. Situasi kebisingan digital perlu dikurangkan. Perbanyak ruang sunyi. Kurangkan produksi. Tambahkan refleksi.
Budaya flexing Ramadan bukan sekadar fenomena media sosial yang bersifat bermusim. Ia mencerminkan krisis orientasi nilai dalam masyarakat yang semakin menilai diri melalui pantulan skrin. Kita sedang hidup dalam era keterlihatan. Kewujudan seolah-olah memerlukan pengesahan awam. Dalam struktur sosial sebegini, menjadi dilihat sering kali mengatasi makna menjadi sebenar.
Ramadan dan integriti spiritual
Ramadan hadir sebagai intervensi rohani terhadap kecelaruan ini. Ia mengajar bahawa nilai manusia tidak terletak pada apa yang ditayangkan, tetapi pada apa yang dilaksanakan dalam ruang yang tidak disaksikan sesiapa. Puasa melatih disiplin tanpa pengawasan. Sedekah yang paling mendidik ialah yang tidak direkodkan. Doa yang paling jujur ialah yang tidak dikongsi.
Integriti spiritual tidak tumbuh di hadapan lensa, tetapi dalam sunyi yang memaksa manusia berhadapan dengan dirinya sendiri. Dalam tradisi etika Islam, keikhlasan adalah asas penerimaan amal.
Dalam bahasa psikologi moden, ia berkait dengan motivasi intrinsik yang tidak bergantung pada ganjaran luaran. Apabila tindakan didorong oleh makna dalaman, ia membentuk karakter. Apabila tindakan didorong oleh respons audiens, ia membentuk persepsi.
Pahala tidak meningkat dengan kualiti visual. Takwa tidak berkadar dengan jumlah pengikut. Ibadah tidak memerlukan pengesahan sosial untuk menjadi sah dan bernilai. Yang menentukan kedudukannya bukan algoritma, tetapi orientasi hati.
Barangkali sudah tiba masanya kita mengalihkan soalan. Bukan lagi “Apakah kandungan Ramadan yang boleh dikongsi hari ini?” tetapi “Apakah komitmen Ramadan yang sedang diperbaiki hari ini?” Bukan “Berapa banyak yang dilihat?” tetapi “Berapa banyak yang berubah?”
Jika pada penghujung bulan, galeri telefon kita tidak terlalu sarat tetapi jiwa terasa lebih lapang, jika capaian digital berkurang tetapi disiplin diri meningkat, itu mungkin tanda bahawa Ramadan telah menjalankan fungsinya sebagai madrasah pembetulan arah.
Dan kemenangan itu tidak memerlukan siaran kerana ia telah tercatat di tempat yang jauh lebih utama daripada mana-mana platform.
Nurul Nisha Mohd Shah
- Pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Rembau
Mohd Radzman Basinon
- Pengarah Kreatif, Sixtysix Action Academy




