Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengambil langkah tegas dalam mengendalikan kes berprofil tinggi yang melibatkan tokoh politik, pegawai kanan kerajaan dan pemain industri utama.
Tindakan ini menunjukkan komitmen institusi ini dalam membongkar rangkaian rasuah yang telah lama wujud dalam negara. Keberkesanan SPRM dalam menyiasat dan mendakwa kes-kes kompleks ini mencerminkan kredibiliti institusi.
SPRM bukan sekadar menjadi ejen penguatkuasaan tetapi juga institusi yang perlu dilihat menjadi benteng utama integriti negara.
Sebagai institusi yang diberikan kuasa besar untuk menyiasat dan mendakwa isu rasuah, SPRM mesti beroperasi dengan bebas, bertanggungjawab dan telus. Setiap tindakan yang diambil perlu jelas asas undang-undangnya serta bebas daripada pengaruh politik atau kepentingan luar.
Kebimbangan awam terhadap SPRM bukan berpunca daripada kekurangan tindakan penyiasatan atau pendakwaan, tetapi lebih kepada persepsi bahawa struktur semak dan imbang sedia ada belum cukup kukuh untuk menjamin kebebasan institusi ini secara mutlak daripada sebarang pengaruh politik.
Apabila mekanisme pelantikan, pemantauan dan pertanggungjawaban tidak dilihat benar-benar bebas, ruang persepsi akan terbuka luas walaupun secara faktanya tindakan penguatkuasaan tetap berjalan.
Oleh itu, memperkukuh mekanisme semak dan imbang yang lebih jelas, bebas serta berautoriti bukan sahaja penting untuk melindungi integriti SPRM, malah menjadi prasyarat utama dalam memulihkan dan mengekalkan keyakinan awam terhadap institusi pencegahan rasuah negara.
Insiden yang melibatkan tuduhan terhadap SPRM dan Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki perlu dilihat sebagai peluang untuk melaksanakan reformasi SPRM secara menyeluruh dan berasaskan institusi.
Penelitian menyeluruh Akta SPRM 2009
Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia – Integriti, Governans dan Antirasuah (KRPPM-IGAR) mencadangkan satu semakan komprehensif terhadap Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
Semakan ini adalah penilaian semula menyeluruh bagi memastikan kerangka undang-undang sedia ada benar-benar relevan dengan landskap rasuah moden yang semakin kompleks dan berlapis.
Penelitian ini hendaklah merangkumi tiga komponen utama. Pertama, kuasa penguatkuasaan yang diberikan kepada SPRM perlu dinilai semula supaya jelas, seimbang dan terlindung daripada sebarang penyalahgunaan atau persepsi penyalahgunaan.
Kedua, mekanisme pemantauan dan semak imbang perlu distruktur semula agar lebih berautoriti dan benar-benar bebas. Ketiga, perlindungan kepada pegawai penyiasat serta pemberi maklumat mesti diperkukuh bagi memastikan mereka dapat bertindak secara profesional tanpa tekanan atau intimidasi.
Matlamat utama semakan ini ialah membina kerangka perundangan yang menjamin bahawa setiap tindakan SPRM dilaksanakan secara bebas, profesional dan berintegriti.
Pindaan utama dan penstrukturan semula
Perhatian wajar diberikan kepada pindaan beberapa peruntukan utama dalam Akta SPRM 2009 termasuk Seksyen 5, 13, 14 dan 15. Peruntukan ini berkait rapat dengan struktur kepimpinan, mekanisme pelantikan dan sistem pemantauan institusi.
Cadangan pindaan tertumpu kepada penstrukturan semula proses pelantikan Ketua Pesuruhjaya supaya lebih telus dan bebas daripada pengaruh Eksekutif. Proses ini perlu melibatkan saringan dan pengesahan Parlimen bagi memastikan legitimasi jawatan tersebut berpaksikan mandat rakyat, bukan semata-mata kuasa pentadbiran.
Selain itu, mekanisme pemantauan yang diperuntukkan dalam Akta juga perlu diperkukuh supaya tidak sekadar bersifat nasihat, tetapi mempunyai autoriti jelas dalam memastikan akauntabiliti institusi. Penstrukturan semula ini bertujuan mengukuhkan prinsip semak dan imbang serta memastikan kuasa yang besar disertai pengawasan yang setara kuat.
Penubuhan Independent Oversight Board (IOB)
Dicadangkan penubuhan sebuah Independent Oversight Board (IOB) yang diperkasa dan berautoriti, dianggotai sembilan ahli berintegriti tinggi. Proses pelantikan mereka hendaklah melalui saringan Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Rakyat dan seterusnya disahkan melalui undian majoriti di Dewan Rakyat sebelum diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.
Prosedur ini perlu dilaksanakan tanpa penglibatan Perdana Menteri bagi menutup sepenuhnya ruang persepsi campur tangan Eksekutif dan memastikan legitimasi lembaga tersebut bersumberkan Parlimen sebagai wakil rakyat.
Seterusnya, kuasa pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM dicadangkan dipindahkan daripada Perdana Menteri kepada IOB. Langkah ini bertujuan menginstitusikan proses pemilihan yang lebih telus dan bebas daripada pengaruh politik.
Tempoh maksimum perkhidmatan hendaklah dihadkan kepada enam tahun bagi mengelakkan pemusatan kuasa yang berpanjangan, manakala sebarang penyingkiran perlu melalui tribunal khas yang bebas. Mekanisme ini penting untuk menjamin keselamatan jawatan serta akauntabiliti kepimpinan tertinggi SPRM.
Jawatankuasa Parlimen sedia ada yang memantau SPRM perlu diperkasa sebagai mekanisme akauntabiliti tetap dan bebas daripada kawalan Eksekutif. Jawatankuasa ini hendaklah mempunyai mandat yang jelas untuk meneliti prestasi, dasar dan laporan tahunan SPRM serta IOB, dengan laporan dikemukakan terus kepada Dewan Rakyat.
Pendekatan ini akan memperkukuh fungsi semak dan imbang secara demokratik serta meningkatkan ketelusan dalam tadbir urus institusi antirasuah negara.
Pelan hala tuju reformasi komprehensif
Menjadi langkah yang penting untuk satu pelan hala tuju reformasi disiapkan dengan segera melalui inkuiri Jawatankuasa Pilihan Dewan Rakyat secepat mungkin. Pelan ini seharusnya merangkumi proses konsultasi menyeluruh, penyediaan draf pindaan Akta SPRM 2009 serta penetapan mekanisme pelaksanaan reformasi yang komprehensif.
Matlamatnya jelas dan penting iaitu memastikan institusi berfungsi bebas daripada sebarang tanggapan campur tangan eksekutif dan akauntabiliti yang terus kepada Parlimen.
Reformasi institusi sememangnya bukan langkah yang mudah dan sering mengundang tentangan kerana menyentuh kepentingan sedia ada. Namun di situlah terletaknya ujian keberanian politik sebenar.
Rasuah ialah pengkhianatan terhadap amanah rakyat dan masa depan negara. Negara yang berjaya mengekangnya akan menikmati pentadbiran yang lebih telus, ekonomi yang berdaya saing dan keadilan sosial yang lebih seimbang.
Justeru, reformasi SPRM yang berani dan menyeluruh bukan sekadar keperluan teknikal, tetapi prasyarat kepada maruah negara dan pemulihan kepercayaan rakyat.
Hj. Badlishah Sham Baharin
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia




