Awal Januari 2026, kerajaan negeri Selangor melalui Exco Pertanian dan Infrastruktur mengumumkan cadangan penstrukturan semula industri ternakan babi.
Rancangan awal untuk mewujudkan ladang berpusat di Tanjung Sepat kemudiannya dipindahkan ke Bukit Tagar, namun menerima tentangan daripada penduduk tempatan dan NGO kerana kebimbangan terhadap kesihatan awam dan alam sekitar. Malah, Perdana Menteri turut mencadangkan projek itu dibatalkan atas pelbagai faktor risiko.
Keputusan kerajaan negeri pada 12 Februari untuk menghentikan projek serta-merta, termasuk pemberhentian lesen baharu dan penutupan berperingkat ladang sedia ada, menandakan perubahan dasar yang signifikan.
Langkah ini secara langsung mengalih sumber bekalan daging babi negeri kepada import sepenuhnya dari dalam dan luar negara.
Persoalan utama kini bukan hanya sensitiviti tempatan, tetapi keterjaminan bekalan makanan di Malaysia. Pada ketika ini, sekitar 70% bekalan daging babi Selangor diperoleh dari negeri lain, masih mencukupi untuk keperluan masyarakat bukan Islam.
Namun, adakah import mampu menggantikan sepenuhnya pengeluaran tempatan secara mampan?
Data Perangkaan Agromakanan 2024 menunjukkan Selangor menyumbang kira-kira 22.5% daripada keseluruhan ternakan babi di Malaysia, dengan pengeluaran sekitar 260,930 ekor setahun pada 2024, kedua tertinggi selepas Perak. Sumbangan ini signifikan kepada rantaian bekalan protein negara.
Secara nasional, trend pengeluaran daging babi menunjukkan penurunan, manakala Penggunaan Per Kapita (Consumption Per Capita) dalam kalangan masyarakat bukan Islam kekal tinggi, iaitu 15.9kg setiap individu setahun. Dengan Kadar Sara Diri (Self-Sufficient Ratio) sekitar 67.8%, ia menunjukkan lebih 30% bekalan masih perlu diimport.
Penutupan ladang di Selangor dijangka meningkatkan kebergantungan import sehingga 50%, menimbulkan risiko apabila berlaku gangguan global seperti peperangan, bencana alam atau wabak penyakit sejajar kebimbangan dalam Dasar Keterjaminan Makanan Negara 2030 (DKMN 2030).
Contoh baru-baru ini ialah penularan penyakit zoonotik, Virus Nipah pada sumber daging babi dari India yang boleh menjejaskan rantaian import. Gangguan sebegini bukan sahaja menjejaskan bekalan daging babi, tetapi menggugat keseluruhan ekosistem makanan negara.
Amalan peningkatan kebergantungan import untuk daging babi ini adalah tidak sejajar dengan DKMN 2030 dan boleh mendatangkan pelbagai implikasi. Ia perlu diambil perhatian oleh kerajaan sepenuhnya.
Sekiranya bekalan daging babi berkurangan atau harga meningkat, sebahagian pengguna mungkin beralih kepada sumber protein lain seperti ayam.
Tekanan permintaan terhadap ayam ini boleh menjejaskan kestabilan harga dan bekalan sedia ada, terutama menjelang fenomena perayaan dua komuniti utama negara secara serentak, Hari Raya Aidilfitri dan Tahun Baru Cina yang dikenali sebagai “Kongsi Raya”.
Permintaan tinggi ketika tempoh ini berpotensi mencetuskan lonjakan harga jika tiada perancangan strategik awal.
Pertumbuhan populasi negara meningkatkan tekanan terhadap sumber protein, menjadikan keseimbangan antara pengeluaran domestik dan import satu keperluan mendesak. Dalam konteks ini, kerajaan, khususnya Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, perlu mengambil tindakan segera dan menyeluruh.
Dasar yang seimbang, perancangan rantaian bekalan yang strategik serta penyelarasan antara pengeluaran tempatan dan import amat penting untuk memastikan keterjaminan makanan negara.
Selain itu, kerajaan disarankan menubuhkan agensi khusus bagi mengurus penternakan dan rantaian sumber makanan. Ketiadaan struktur ini kini menyukarkan pengurusan dan pengawasan isu keterjaminan bekalan protein secara menyeluruh.
Keterjaminan makanan bukan sekadar isu ekonomi atau perdagangan, ia berkait rapat dengan kestabilan sosial dan kesejahteraan rakyat. Setiap keputusan dasar berkaitan sumber protein perlu dinilai secara holistik bagi mengelak kesan berantai yang boleh menjejaskan harga dan bekalan makanan.
Khairul Naim Khairul Anuar
Graduan ijazah Sains Ternakan UPM
Eksekutif Advokasi, Pertubuhan IKRAM Malaysia
Rujukan:
1. Perangkaan Agromakanan 2024
https://www.kpkm.gov.my/bm/penerbitan/perangkaan-agromakanan#flip22/101/
https://www.kpkm.gov.my/bm/penerbitan/perangkaan-agromakanan#flip22/145/




