Fenomena Kodokushi: Mati Sendirian yang Memilukan

Saban hari dunia kini banyak digemparkan dengan berita kejadian kematian yang mengejutkan. Tanpa mengira usia tua atau muda, kaya mahupun miskin, kematian tidak menunggu kebersediaan kita untuk menyapa.

Sesiapa sahaja dan walau di mana pun keberadaan kita, kematian yang menjadi suatu kerahsiaan takdir Ilahi pasti akan menjelma apabila tiba saat dan ketikanya. Apabila kita bercakap mengenai kematian, tentulah banyak sekali timbul rasa bimbang kita memikirkan kehidupan selepas mati.

Hal ini kerana kehidupan selepas kematian adalah suatu yang nyata dan benar sekali. Malah kehidupan selepas kematian itu bersifat kekal selamanya. Selain itu, satu hal lain lagi yang agak merisaukan warga dunia hari ini ialah berkaitan kematian bersendirian atau disebutkan sebagai kodokushi”.

Sejarah kodokushi

Secara umum, kodokushi merujuk kepada suatu fenomena kematian yang menyayat hati. Perkataan kodokushi berasal daripada bahasa Jepun.

Pada pemahaman sudut istilah, kodokushi membawa maksud kematian bersendirian – seseorang meninggal dunia tanpa disedari oleh sesiapa pun dan hanya ditemui selepas beberapa hari, minggu atau bulan dan bahkan boleh jadi bertahun.

Hakikatnya, kejadian ini bukan sekadar direkodkan sebagai kematian yang tragis tetapi juga menunjukkan cerminan tahap kemerosotan hubungan sosial yang merangkumi hubungan kekeluargaan, kejiranan, komuniti dan masyarakat setempat.

Harus diakui juga bahawa fenomena ini menyaksikan warga dunia yang semakin hilang rasa bermasyarakat dek mengejar dunia yang semakin pesat dan moden ini.

Sejarah negara terbit matahari ini pernah mencatatkan bahawa sejak krisis ekonomi yang melanda pada tahun 1980-an, telah bermula episod kodokushi yang menghantui Jepun sehingga ke hari ini.

Menurut statistik pada tahun 2024, sebanyak lebih 76,000 kes individu mati bersendirian di kediaman. Lebih memilukan, daripada jumlah tersebut, majoritinya terjadi dalam kalangan warga emas.

Dalam usaha menangani isu ini, pihak berkuasa tempatan di sana telah mewujudkan sebuah unit khas yang bertujuan untuk menguruskan jasad yang ditemui dalam keadaan reput tanpa waris yang tampil.

Fenomena semakin berkembang

Selain Jepun, fenomena ini juga dilihat semakin berkembang di seluruh negara Asia Tenggara lain seperti Thailand, Singapura, Indonesia dan termasuklah juga Malaysia. Dalam catatan rekod di Singapura, pada tahun 2020, sekurang-kurangnya lebih 700 kes kematian bersendirian dilaporkan.

Fenomena yang semakin membimbangkan ini telah mendorong pihak kerajaan menubuhkan sebuah agensi khas dibawah seliaan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga seperti Silver Generation Office (SGO) yang bertujuan memantau warga emas melalui rangkaian sukarelawan dan badan bukan kerajaan (NGO).

Thailand yang juga tidak terlepas daripada isu ini turut mengambil langkah agresif dengan melaksanakan sebuah program yang disebut sebagai Village Health Volunteers.

Negara jiran, Indonesia juga turut mengambil langkah sama dengan menubuhkan Posyandu Lansia, iaitu sebuah pusat penjagaan komuniti untuk golongan lanjut usia.

Hakikatnya, fenomena kodokushi ini amat lazim berlaku di negara-negara maju dan negara berstatus membangun. Perubahan gaya hidup selain tekanan ekonomi sedikit sebanyak menyumbang kepada perubahan sosial manusia.

Situasi di Malaysia

Malaysia yang juga dikenali sebagai negara membangun tidak terkecuali mendepani isu yang memilukan ini. Rekod yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan bahawa pada tahun 2024, seramai 3.9 juta orang atau 11.6% daripada populasi di Malaysia berusia 60 tahun dan ke atas.

Pertambahan jumlah individu berstatus warga emas ini juga turut menyaksikan peningkatan penyakit tidak berjangkit (non-communicable disease) yang membimbangkan.

Melalui data yang dikumpulkan oleh pihak Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS), pada tahun 2023, sejumlah lebih 500,000 atau 2.5% individu dewasa di Malaysia menghidap empat penyakit tidak berjangkit iaitu kencing manis, tekanan darah tinggi, kolesterol dan obesiti.

Keadaan ini akan mengundang kepada pertambahan warga emas yang mempunyai penyakit kronik sekiranya tidak ada langkah atau pelan untuk mengatasi isu tersebut.

Hakikatnya, sama ada kita sedar atau tidak, fenomena mati sendirian ini telah melanda negara kita sejak kebelakangan ini. Jika dahulu, kejadian seperti ini hanya dapat ditonton melalui drama dan filem terbitan dari luar negara, tetapi kini fenomena ini sudah menghiasi dada-dada akhbar dan laporan berita di televisyen dan radio.

Terkini, menurut laporan akhbar Bernama bertarikh 16 November 2025, seorang warga emas yang tinggal bersendirian ditemukan meninggal dunia di Kota Bharu, Kelantan.

Dalam kejadian memilukan ini, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Encik Khairul Fais Ariffin menjelaskan, mangsa yang dikenali dengan nama Jafri Said, berumur 62 tahun, disahkan meninggal dunia di lokasi dan mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. 

Sebelum itu, pada tanggal 22 September 2024, dilaporkan terdapat seorang wanita warga emas ditemui meninggal dunia bersendirian di Alor Gajah, Melaka.

Apa yang dinyatakan ini merupakan antara sebahagian kecil kes yang dilaporkan di media baru-baru ini. Laporan ini juga sekali gus membuktikan bahawa rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai komuniti masyarakat sudah mulai hilang rasa kecaknaan terhadap jiran tetangga.

Perspektif Islam

Dalam satu temu bual oleh wartawan Sinar Harian, Profesor Madya Dr. Halimatus Sadiah, Pakar Perubatan Kesihatan Awam Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM) menjelaskan bahawa golongan yang berisiko mati sendirian ialah warga emas yang belum berkahwin atau tiada anak, pesakit kronik, individu yang mengalami gangguan mental, kesunyian atau kemurungan, golongan miskin dan gelandangan serta orang kurang upaya (OKU).

Jika tidak ada kecaknaan terhadap kejiranan, tidak mustahillah fenomena kodokushi ini akan terus menghantui negara kita pada hari ini.

Dalam ajaran  Islam, melalui panduan oleh al-Quran dan as-Sunnah, kepedulian dan kecaknaan terhadap jiran sangat ditekankan. Ia termasuklah mengambil kira soal bertegur sapa, saling membantu dan menghormati antara satu sama lain.

Sehingga satu tahap, Islam membenci seseorang yang tidur dalam kekenyangan sedangkan jirannya dalam kelaparan. Hal ini sebagaimana yang terdapat dalam sebuah hadis riwayat Thabrani daripada Ibnu Abbas r.a. bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud:

“Tidak termasuk orang mukmin orang yang kenyang sementara tetangganya kelaparan.”

Selain itu, Islam yang juga sebagai agama yang membawa nilai kesejahteraan menuntut umatnya berbuat baik kepada jiran. Perbuatan berbuat baik kepada jiran tidak terhad kepada sekadar bersedekah, bahkan bertanya khabar dan menziarahi jiran juga termasuk antara maksud berbuat baik kepada jiran. Dalam sebuah hadis riwayat Muslim, daripada Abu Syuraih r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Barang siapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berbuat baik kepada jirannya.”

Pupuk kesedaran tinggi

Demikianlah fenomena kodokushi yang semakin menjadi-jadi. Realiti yang ada pada hari ini sudah memadai untuk menjelaskan kepada kita bahawa sikap kepedulian yang semakin terhakis selain sikap mementingkan diri sendiri telah membarah dalam diri kita.

Harus diakui dalam sesetengah keadaan, jiran sebelah rumah pun tidak dikenali atas alasan kesibukan kerja dan lain-lain. Akibatnya kelak, kita akan melihat banyak lagi kes kematian sendirian yang sunyi tanpa diketahui oleh masyarakat setempat.

Oleh itu, kesedaran tinggi dalam kalangan masyarakat haruslah dipupuk, contohnya memperkasakan program kejiranan dengan mewujudkan pelbagai insentif dengan kerjasama pelbagai pihak termasuklah memperhebat gerak kerja jawatankuasa kariah, jawatankuasa penduduk dan pertubuhan bukan kerajaan.

Dengan kerjasama dan peranan semua pihak, negara kita pasti boleh menangani isu yang semakin membimbangkan ini. Semoga Allah merahmati dan mengampuni kita semua.

Muhammad Faidhi Azis
Aktivis Rakan Hidayah Perlis

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia