SERI KEMBANGAN – Pendaftaran bagi pengambilan untuk kohort pertama Sijil Pengajian Islam Lanjutan (SPIL) di Open University Malaysia (OUM) pada tahun ini telah mula dibuka hingga 15 Januari 2026.
Program SPIL bertujuan untuk melahirkan peserta yang memiliki kefahaman Islam yang komprehensif, seimbang antara teori dan praktikal, serta mengaplikasikan nilai dan prinsip Islam dalam kehidupan peribadi, kerjaya dan masyarakat.
Program yang dibangunkan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan OUM dan Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) ini bermatlamat untuk membentuk individu berilmu, berakhlak dan berupaya menyumbang kepada pembinaan masyarakat harmoni berteraskan nilai Islam.
IKRAM menjadi NGO pertama yang menjalin kerjasama akademik dengan OUM, yang berusaha membina program ini melangkaui pembelajaran biasa, dengan penekanan mendalam terhadap pengajian Islam berasaskan nilai.
Melalui pengajian ini, pelajar akan diberi kefahaman mendalam merangkumi akidah, fiqh, ulum al-Quran, ulum al-hadis dan lain-lain, serta mengimbangi aspek ilmu nilai dan aplikasi dalam realiti semasa.
Menariknya, modul pengajian SPIL dikendalikan oleh tenaga pengajar yang berpengalaman dalam bidang pengajian Islam, dan ia adalah program yang bersifat fleksibel, membolehkan pelajar untuk belajar secara dalam talian di mana-mana sahaja.
Pengajian SPIL yang ditawarkan adalah modul Mikro Kredensial yang berstruktur berasaskan silibus tarbiah IKRAM, melibatkan Pengantar Ulum al-Quran, Pengantar Usul al-Fiqh, Kaedah Fiqh, Pengantar Ulum al-Hadis, Asas-asas Ilmu Islam, Pengantar Fiqh Ibadah, Fiqh Kehidupan dan Pengantar Akidah.
Bagi setiap modul, tempoh pengajiannya adalah selama tiga bulan. Pengajian program SPIL tidak mempunyai syarat kemasukan dan ia terbuka kepada semua peringkat umur.
Lepasan SPIL berpeluang melanjutkan pengajian Islam ke peringkat lebih tinggi iaitu diploma, ijazah sarjana muda, diploma lepasan ijazah dan ijazah sarjana.
Pengajian SPIL dibuka pendaftarannya pada Mei dan September 2026. Ahli-ahli IKRAM khususnya dan masyarakat umumnya, yang berminat untuk mengikuti pengajian ini, sila layari perincian info SPIL untuk maklumat lanjut.
- Lihat Buku Panduan SPIL
- Nota:
- Daftar/Sign up di https://cellplus.oum.edu.my/login/signup.php?
Log in dan daftar di https://cellplus.oum.edu.my/enrol/index.php?id=398




