Acapkali ketika melayari media sosial, kita akan bertemu tulisan atau kenyataan yang melibatkan isu politik negara. Penulisan tersebut mungkin datang daripada politikus mana-mana parti politik dalam berita media arus perdana dan sebagainya.
Malangnya, apabila kita membaca di ruangan komentar, pasti ada komentar yang sangat keterlaluan dan melampau. Komentar jelik, mengejek, menghina, memperlekeh dan paling malang terdapat unsur carutan “menghiasi” ruangan komen hinggakan kita tak sanggup membacanya.
Perlakuan ini sebenarnya hanya kerana perbezaan pendapat dan pandangan. Sebenarnya, perbezaan pandangan, ideologi dan pilihan perjuangan politik adalah sesuatu yang lumrah dalam sebuah negara demokrasi.
Namun, perbezaan ideologi dan fahaman politik tidak seharusnya menjadi alasan untuk masyarakat saling menghina, memfitnah, mencaci, mencarut atau memutuskan hubungan sesama ahli keluarga dan masyarakat.
Peranan besar pemimpin politik
Di negara kita, politik merupakan wadah utama mengubah pandangan, mentaliti dan cara fikir rakyat terutama ahli dan penyokong sesebuah parti politik. Jadi pemimpin politik merupakan figura penting dalam membawa ke mana hala tuju ahli dan penyokong mereka.
Tanggungjawab pemimpin politik bukan sekadar memimpin parti dan memenangkan pilihan raya. Mereka juga mempunyai tanggungjawab yang lebih besar iaitu mendidik ahli dan penyokong supaya berpolitik dengan akhlak.
Pemimpin politik perlu sedar bahawa setiap kenyataan mereka mempunyai pengaruh yang besar terhadap pengikut dan penyokong. Jika pemimpin menggunakan bahasa yang keras dan menghina pihak lawan, tidak mustahil bahasa tersebut akan ditiru oleh penyokong dan pengikut mereka.
Sebaliknya, jika pemimpin menunjukkan kematangan, menghormati perbezaan dan berhujah berdasarkan fakta, ahli juga akan terdorong untuk melakukan perkara yang sama.
Perbezaan fahaman politik bukan lesen untuk menghina.
Perbezaan fahaman politik tidak bermakna seseorang itu boleh dihina atau dijadikan sasaran serangan peribadi. Walaupun kita boleh tidak bersetuju dengan dasar kerajaan, keputusan pemimpin atau pendirian sesebuah parti, namun kritikan sepatutnya ditujukan kepada dasar, tindakan dan hujah, bukannya maruah atau peribadi seseorang.
Lebih membimbangkan apabila perbalahan politik di media sosial melibatkan perkara sensitif berkaitan agama, kaum dan institusi diraja. Kandungan yang bermula sebagai perdebatan politik boleh berkembang menjadi penghinaan, provokasi dan permusuhan antara masyarakat.
Dalam keadaan sebegini, pemimpin politik perlu tampil sebagai pendamai dan pendidik, bukannya sekadar menjadi pemerhati, lebih malang tersenyum dan ketawa seperti “menghalalkan” tindakan tersebut.
Ahli perlu dididik, bukan sekadar digerakkan
Parti politik mempunyai struktur organisasi yang mencapah. Di Malaysia, pemimpin politik mempunyai pengaruh sangat besar terhadap ahli di peringkat pusat, negeri, bahagian, akar umbi malah kumpulan tidak berparti dan berpihak.
Ahli dan penyokong perlu dididik. Pendidikan politik tidak seharusnya terhenti pada manifesto, ceramah dan kempen semasa pilihan raya. Ahli juga perlu diberikan kefahaman tentang etika komunikasi, penggunaan media sosial, semakan fakta dan batas-batas kritikan setiap masa.
Contohnya, ahli boleh diberikan panduan mudah oleh pemimpin parti politik apabila menerima sesuatu berita seperti “Semak sebelum kongsi”, “Berhujah tanpa menghina”, “Tidak pasti, jangan kongsi”, “Kritik dasar, bukan peribadi”, “Jangan sebarkan fitnah”, “Hormati perbezaan” atau “Check, recheck, double check apabila memperoleh sesuatu berita”.
Jika seseorang ahli tersilap menyebarkan kandungan yang mengandungi fitnah atau unsur provokasi, pemimpin parti sewajarnya mengambil pendekatan mendidik dan membetulkan kesilapan tersebut. Amalkan amar maaruf, nahi mungkar!
Teguran kepada ahli tidak semestinya bermaksud melemahkan parti. Sebaliknya, ia boleh menjadi mekanisme untuk membina budaya politik yang lebih matang. Budaya ini sebenarnya sangat besar nilainya di mata penyokong dan pihak lawan.
Malah budaya ini menjadi “political mileage” yang sangat besar kepada sesebuah parti politik sebagai daya tarikan untuk mendapat sokongan.
Pemimpin perlu berani menegur penyokong sendiri
Cabaran terbesar adalah apabila pemimpin hanya menegur kesalahan dan kesilapan pihak lawan tetapi berdiam diri apabila kesalahan dilakukan oleh penyokong mereka sendiri. Sikap sedemikian boleh menyebabkan penyokong merasakan bahawa setiap tindakan mereka boleh diterima selagi dilakukan atas nama perjuangan politik.
Pemimpin yang bertanggungjawab mempunyai prinsip yang sama terhadap semua pihak. Jika penyokong sendiri menghina pihak lawan, pemimpin perlu menegur. Jika ahli sendiri menyebarkan berita yang belum disahkan, pemimpin perlu meminta mereka memadam dan membetulkannya. Jika terdapat kandungan yang menyentuh isu sensitif, ahli perlu diingatkan supaya tidak mengapi-apikan keadaan.
Teguran seperti ini bukan tanda pemimpin lemah. Sebaliknya, ia menunjukkan bahawa kepimpinan mempunyai prinsip. Pemimpin perlu berani melakukan “political will” yang tinggi dan berjiwa besar kerana peranan mereka sangat besar dalam membentuk masyarakat.
Media sosial memerlukan disiplin
Media sosial memberikan ruang kepada setiap rakyat untuk bersuara. Namun, kebebasan bersuara hadir bersama tanggungjawab.
Satu hantaran yang ditulis dalam beberapa saat boleh dikongsi ribuan kali dan meninggalkan kesan yang jauh lebih besar daripada yang dijangka. Ramai penyokong parti politik yang dikenakan hukuman hingga RM10,000 kerana bersifat melampau terhadap sesuatu isu hingga menyentuh perkara sensitif.
Oleh itu, pemimpin politik perlu mendidik ahli supaya mempunyai disiplin digital yang tinggi. Sebelum berkongsi sesuatu kandungan, ahli boleh diajar menanyakan tiga soalan mudah:
Adakah maklumat ini benar?
Adakah perkongsian ini perlu?
Adakah perkongsian ini boleh menimbulkan fitnah atau permusuhan?
Jika jawapannya tidak pasti dan meragukan, lebih baik tidak berkongsi. Budaya politik yang matang bukan diukur berdasarkan jumlah hantaran yang mampu menghasilkan kecaman terhadap pihak lawan, tetapi sejauh mana perbincangan politik membantu rakyat memahami sesuatu isu.
Akhirulkalam, ingatlah wahai politikus seluruhnya, kepimpinan politik tidak akan selama-lamanya berkuasa. Jawatan akan berakhir, kuasa akan bertukar tangan dan sorakan penyokong akhirnya akan reda dan lambat laun akan hilang. Namun, budaya yang dibentuk oleh kepimpinanmu mungkin terus hidup dalam masyarakat, malah diwarisi oleh generasi seterusnya.
Jika hari ini anda mendidik pengikutmu untuk membenci, jangan terkejut apabila esok kebencian itu menjadi warisan negara. Maka, wahai politikus, didiklah pengikutmu. Bukan sekadar untuk memenangkan parti, tetapi untuk mematangkan demokrasi. Bukan sekadar untuk menewaskan lawan, tetapi untuk menegakkan kebenaran.
Akhirnya, pemimpin yang hebat bukanlah pemimpin yang mempunyai pengikut paling ramai, tetapi pemimpin yang mampu melahirkan pengikut yang tetap beradab dan berakhlak walaupun sedang marah, tetap berprinsip walaupun sedang berjuang dan tetap berkata benar walaupun kebenaran itu merugikan pemimpin yang mereka sanjungi.
Mohamad Sazmani Abdul Samat
Sungai Petani, Kedah Darul Aman




