HIMMAH 2025 Perkukuh Pewarisan Dakwah dan Kepemimpinan

anak muda

SERDANG – Anak muda digalakkan untuk mendekati pemimpin politik sebagai usaha membina kefahaman dan jaringan kepimpinan, namun pendekatan tersebut perlu berteraskan prinsip dan kejelasan matlamat perjuangan.

“Jawatan bukan matlamat utama perjuangan kerana tanpa asas nilai yang kukuh, seseorang boleh naik dengan cepat tetapi jatuh dengan lebih pantas,” kata Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, YB Syed Ibrahim Syed Noh ketika merasmikan Himpunan IKRAM Muda Malaysia dan Agensi (HIMMAH) 2025 di Kompleks Latihan MARDI, di sini pada 6 Disember lalu.

HIMMAH 2025 dianjurkan buat kali ketiga, menghimpunkan lebih 100 pemimpin anak muda Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) dari seluruh negara, menggabungkan dua komponen utama iaitu Majlis Perwakilan IKRAM Muda Nasional (MPIMN) dan Sanggar Kerja IKRAM Muda, melibatkan perwakilan negeri, kawasan serta agensi-agensi IKRAM Muda.

Bertemakan “Anak Muda Beriman, Generasi Penerus Dakwah dan Perjuangan”, HIMMAH 2025 menjadi medan strategik untuk memperkukuh kefahaman, menyatukan fikrah serta membina hala tuju kepimpinan anak muda dalam mendepani cabaran dakwah, sosial dan kenegaraan yang semakin kompleks.

Dalam Ucapan Dasar Ketua IKRAM Muda Malaysia, Khairul Anuar Kamaruddin, beliau menegaskan bahawa masa depan umat dan negara bergantung kepada pembinaan generasi anak muda yang mantap iman, jelas fikrah dan matang memimpin.

“Anak muda digariskan bukan sekadar sebagai pewaris struktur organisasi, tetapi sebagai pemegang amanah dakwah dan kepimpinan yang perlu menggabungkan kekuatan spiritual, keberanian moral, keupayaan intelektual serta kepekaan terhadap isu keadilan social,” tegasnya.

Ucapan dasar tersebut turut menyorot cabaran besar generasi muda dalam era pascanormal yang dicirikan oleh ketidaktentuan ekonomi, tekanan kesihatan mental, perubahan teknologi pesat serta krisis identiti.

Sehubungan itu, IKRAM Muda menekankan keperluan melahirkan generasi belia yang berdaya tahan, kritikal dan berprinsip agar mampu memimpin masyarakat tanpa kehilangan pedoman nilai dan akhlak.

Perbahasan dalam MPIMN memperlihatkan kematangan perwakilan dalam mengemukakan perbezaan pandangan secara berprinsip dan berpaksikan kesatuan perjuangan.

Antara fokus utama perbahasan adalah keperluan memperkukuh keberkesanan gerak kerja IKRAM Muda secara berimpak dan berteraskan data, termasuk cadangan penetapan indikator hasil yang jelas, sistem pelaporan serta pembangunan papan pemuka (dashboard) digital nasional bagi mengukur capaian dan impak sebenar program belia.

Isu pewarisan dakwah dan kepimpinan turut diketengahkan sebagai cabaran strategik, khususnya dalam memastikan kesinambungan kepimpinan tanpa bergantung kepada individu yang memikul pelbagai peranan serentak. Perwakilan juga menekankan keperluan sinergi yang lebih kukuh antara agensi IKRAM Muda bagi mengelakkan gerak kerja secara terpisah, selain keperluan membina kepimpinan yang seimbang dalam menghadapi realiti Generasi Sandwich.

Bagi salah seorang peserta, HIMMAH 2025 mencabar jangkaan awalnya yang menyangka program ini akan bersifat tegang dan terlalu serius.

“Sebaliknya, suasana yang dibina agak santai tetapi matang dan membina, terutamanya ketika sesi perbahasan Ucapan Dasar. Menarik melihat perbezaan blok pemikiran, sama ada yang idealistik mahupun lebih konservatif, namun masih mampu bersinergi dalam ruang yang sama,” katanya.

Beliau berkata, walaupun peserta berdepan realiti dan cabaran yang berbeza, kesedaran bahawa mereka berada di landasan perjuangan yang sama menjadi sumber kekuatan untuk terus bertahan dan melangkah ke hadapan.

Menurutnya, antara perkongsian yang memberi kesan mendalam ialah penyampaian oleh Naib Ketua 1 IKRAM Muda Malaysia, Ammar Shahrin, yang menekankan bahawa masalah besar tidak boleh ditangani dengan pemikiran yang kecil, sebaliknya memerlukan kerangka pemikiran dan sistem perubahan yang lebih besar dan menyeluruh.

Sesi Sanggar Kerja pula dimulakan dengan perkongsian IKRAM Muda Negeri dan IKRAM Muda Kawasan yang mengetengahkan amalan terbaik di lapangan masing-masing, sebelum disusuli perbincangan berfokus mengenai pewarisan dan pelapisan kepimpinan.

Mengangkat tema Perancangan Peralihan Kepimpinan, sesi ini digerakkan melalui proses refleksi pembelajaran, perbincangan penambahbaikan serta perumusan pelan tindakan pengurusan transisi bagi memastikan kesinambungan kepimpinan secara terancang dan berimpak.

HIMMAH 2025 turut diserikan dengan kehadiran tokoh-tokoh penting daripada pelbagai latar kepimpinan masyarakat, gerakan sivil, belia dan solidariti antarabangsa. Antaranya ialah Timbalan Yang Dipertua Dewan Perwakilan Nasional IKRAM, Dr. Muhammad Munawar Mohamed Hatta; Presiden IKRAM, Badlishah Sham Baharin; serta barisan kepimpinan IKRAM di peringkat pusat, negeri dan kawasan.

Turut hadir Ketua Pemuda Federation of Chinese Association Malaysia (Huazong), Ng Chee Pin; Pengerusi Palestinian Students Association, Abdul Latif serta Pengarah Global Coalition for Palestine in Malaysia, Dr Khalil Zayyan; Penolong Pengarah GCYSP Malaysia, Abdulfattah Asqool; Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Muhammad Adib Irfan Fazil; Penolong Setiausaha Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhammad Dzul Aiman Zulkefly serta wakil pertubuhan belia dan badan bukan kerajaan yang lain.

Secara keseluruhan, HIMMAH 2025 menegaskan peranan strategik anak muda sebagai generasi penerus dakwah dan perjuangan, bukan sekadar pewaris struktur tetapi pembina visi masa depan.

Dengan penganjuran kali ketiga ini, HIMMAH terus mengukuhkan kedudukannya sebagai platform kepimpinan belia yang relevan, inklusif dan berpaksikan nilai, selari dengan aspirasi membentuk anak muda beriman yang berani memikul amanah zaman.

Lagi info & foto: HIMMAH 2025

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia