Ramadan bakal hadir sekali lagi sebagai tetamu agung, membawa barakah dan ketenangan yang sentiasa dirindui jiwa. Bulan ini bukan sekadar ruang menahan diri daripada makan dan minum tetapi “madrasah tarbiah” yang mendidik hati, menyucikan jiwa dan mengembalikan manusia kepada fitrah ketakwaan.
Dalam banyaknya amalan yang digalakkan pada bulan mulia ini seperti membaca al-Quran, bersedekah, qiamullail dan memperbanyak doa, terdapat satu amalan wajib khusus dalam bulan Ramadan iaitu puasa fardu Ramadan, yang telah difardukan pada tahun kedua Hijrah melalui firman Allah SWT:
“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.” (Al-Baqarah: 183)
Namun, dalam dunia moden yang serba pantas ini, manusia semakin banyak bergerak. Ada yang bermusafir kerana tuntutan kerja, menziarahi keluarga dan ada juga yang mencari ketenangan jiwa daripada rutin harian yang melelahkan. Maka konsep rukhsah diperkenalkan bagi meraikan suasana perjalanan yang sering tidak menentu.
Konsep rukhsah
Rukhsah ialah kelonggaran yang Allah SWT anugerahkan sebagai tanda kasih sayang-Nya kepada hamba-Nya. Ia bukan pengurangan nilai ibadah, tetapi kemudahan agar seseorang dapat beribadah tanpa memudaratkan diri.
Dalam bulan Ramadan, antara rukhsah terbesar ialah keharusan berbuka puasa bagi musafir selain solat jamak dan qasar. Rukhsah mengajar bahawa perjalanan hidup manusia sentiasa berubah; ada ketika puasa mudah dilaksanakan dan ada ketika perjalanan jauh menjadikannya sukar.
Maka, rukhsah bukan lesen bermudah-mudah, tetapi rahmat agar ibadah tetap terlaksana mengikut kemampuan. Firman Allah SWT bermaksud:
“Sesiapa yang sakit atau dalam musafir, maka bolehlah ia berbuka, kemudian menggantikannya pada hari lain. Allah menghendaki kemudahan bagi kamu dan tidak menghendaki kesukaran.” (Al-Baqarah: 185)
Ayat ini menegaskan bahawa syariat puasa datang bersama ruang rahmat, bukan beban, dan setiap hukum dalam Islam bertujuan memelihara manusia, memudahkan urusan mereka serta memastikan ibadah dapat dilaksanakan tanpa meminggirkan nilai kemanusiaan.
Rukhsah dalam musafir
Hari ini, musafir tidak lagi terbatas kepada perjalanan unta di padang pasir, tetapi merangkumi perjalanan dengan kereta, bas, kereta api dan kapal terbang. Walaupun perjalanan lebih selesa, hukum musafir tetap sah kerana ia ditentukan oleh nas syarak dan syarat fiqh.
Maka sesiapa yang memenuhi syarat musafir berhak mengambil rukhsah puasa sebagaimana keringanan yang telah Allah SWT tetapkan. Syarat-syaratnya adalah seperti berikut:
Pertama, seseorang yang bermusafir mestilah benar-benar telah keluar daripada kawasan tempat tinggalnya (hadd al-balad) sebelum layak mengambil rukhsah berbuka puasa. Selagi ia masih berada dalam lingkungan kediamannya seperti di taman perumahan atau dalam bandar yang sama, status musafir belum terpakai.
Sebagai contoh, seseorang yang tinggal di Bangi berhajat untuk pulang ke kampung di Kelantan untuk menyambut Aidilfitri pada 27 Ramadan. Ia wajib berpuasa pada siang 25 Ramadan jika masih berada di rumah atau di kawasan kariah Bangi.
Rukhsah hanya bermula apabila ia telah keluar dari kariahnya. Ini bagi mengelakkan seseorang berbuka sebelum pasti bahawa perjalanannya akan berlaku tanpa halangan.
Kedua, perjalanan hendaklah melebihi dua marhalah, iaitu sekitar 80–89 kilometer seperti yang ditetapkan jumhur ulama. Jarak ini membezakan antara perjalanan dekat yang tidak mengubah rutin dengan perjalanan jauh yang memberi kesan kepada kemampuan beribadah.
Oleh itu, perjalanan kurang daripada jarak ini tidak dianggap musafir dan tidak layak mendapat rukhsah. Contohnya, perjalanan dari Bangi ke Kuala Lumpur tidak mencapai dua marhalah, manakala perjalanan dari Bangi ke Kota Bahru, melepasi jarak tersebut dan dikira musafir.
Ketiga, musafir mesti disertai niat yang jelas dan tujuan yang sah. Seseorang tidak dianggap musafir jika keluar perjalanan semata-mata untuk mendapatkan rukhsah. Imam Ibn Hajar menegaskan bahawa bermusafir untuk mencari kelonggaran adalah haram dan tetap wajib meneruskan puasa.
Rukhsah hanya diberikan apabila wujud sebab syarii yang sebenar, bukan helah untuk mengelakkan kewajipan. Contohnya, seseorang yang sengaja memandu jauh tanpa tujuan yang diharuskan, hanya kerana ingin berbuka tidak dianggap musafir. Ia tidak layak mengambil rukhsah kerana niat merupakan asas penentuan sahnya musafir di sisi syarak.
Keempat, tujuan musafir mestilah perkara yang mubah atau harus, kerana perjalanan yang bertujuan maksiat tidak melayakkan seseorang menerima rukhsah. Hal ini bermakna seseorang hanya dianggap musafir apabila perjalanannya dilakukan untuk urusan yang dibenarkan syarak seperti bekerja, menziarahi keluarga, menuntut ilmu atau memenuhi keperluan hidup.
Sebaliknya, jika seseorang melakukan perjalanan jauh untuk tujuan yang haram seperti berjudi, berhibur di tempat maksiat atau apa sahaja yang dilarang, ia tidak layak mengambil keringanan berbuka puasa walaupun jaraknya jauh. Rahmat rukhsah hanya diberikan untuk memudahkan ketaatan, bukan mempermudah kemaksiatan.
Kelima, seseorang hanya dianggap musafir jika seseorang tidak berniat menetap di tempat tujuannya melebihi tiga hari. Jika ia merancang tinggal lebih lama, status musafirnya gugur dan ia kembali dihukum sebagai bermukim.
Contohnya, seseorang yang menghadiri urusan kerja selama tiga hari masih layak mengambil rukhsah, tetapi jika ia bercadang tinggal seminggu, rukhsah tidak lagi terpakai. Tiga hari yang dimaksudkan tidak termasuk hari perjalanan pergi dan balik.
Had ini ditetapkan bagi membezakan antara musafir dan bermukim. Maka, sesiapa yang memenuhi semua syarat musafir berhak berbuka puasa ketika perjalanan dan menggantikannya pada hari lain sebagaimana ditetapkan syarak.
Adakah lebih baik tidak berpuasa ketika musafir pada siang hari bulan Ramadan?
Menurut jumhur ulama, seseorang yang bermusafir adalah lebih utama untuk meneruskan puasa sekiranya ia tidak menimbulkan kesukaran atau kemudaratan kepada dirinya.
Hal ini kerana berpuasa dalam keadaan mampu dapat menyegerakan seseorang membebaskan diri daripada tanggungan ibadah serta membolehkannya merebut kelebihan amalan dalam bulan Ramadan.
Lebih-lebih lagi pada zaman kini, dengan kemudahan pengangkutan moden dan teknologi yang memudahkan perjalanan, ramai musafir tidak lagi mengalami kesukaran yang berat untuk meneruskan puasa.
Namun, sekiranya seseorang khuatir bahawa berpuasa akan membawa mudarat kepada dirinya atau menyebabkan kelemahan yang menghalangnya daripada meneruskan perjalanan dengan selamat, maka lebih afdal baginya untuk berbuka dan mengambil rukhsah.
Contohnya, musafir yang perlu menempuh perjalanan udara merentasi benua sehingga tempoh puasanya menjadi jauh lebih panjang daripada kebiasaan, atau seseorang yang perlu memandu jarak jauh serta memerlukan tenaga, makan dan minum bagi mengelakkan mengantuk yang boleh membahayakan pemanduan.
Dalam keadaan seperti ini, berbuka adalah lebih utama kerana ia selari dengan tujuan rukhsah memelihara keselamatan dan mengelakkan kemudaratan.
Meskipun demikian, keharusan mengambil rukhsah untuk berbuka puasa pada bulan Ramadan tetap tidak gugur, walaupun berpuasa tidak mendatangkan sebarang mudarat. Namun, perlu diingat bahawa puasa yang ditinggalkan wajib diganti pada hari lain sebelum kedatangan Ramadan berikutnya.
Justeru, rukhsah puasa ketika musafir adalah bukti bahawa syariat Islam dibina atas asas rahmat dan kemudahan, bukan beban. Allah SWT menyediakan azimah bagi mereka yang mampu dan rukhsah bagi mereka yang diuji agar ibadah tetap dapat dilaksanakan mengikut kemampuan tanpa menjejaskan keselamatan atau kesihatan.
Sama ada seseorang memilih untuk berpuasa atau berbuka ketika musafir, yang utama ialah kejujuran niat dan ketaatan kepada panduan syarak.
Maka, raikanlah kemudahan yang Allah SWT berikan apabila diperlukan dan teruskan berpuasa apabila mampu. Semoga setiap perjalanan dan setiap Ramadan membawa kita lebih dekat kepada Allah SWT.
Ustazah Hasliza Talib
Universiti Islam Selangor




