Hari Antarabangsa untuk Penghapusan Keganasan Terhadap Wanita yang diadakan saban tahun pada 25 November juga menandakan pelancaran kempen UNiTE iaitu satu inisiatif aktivisme selama 16 hari bagi menamatkan keganasan berasaskan gender.
Kempen ini berlangsung dari 25 November dan berakhir pada 10 Disember yang bertepatan dengan sambutan Hari Hak Asasi Manusia Antarabangsa yang disambut di seluruh dunia.Â
Kempen UNiTE yang merupakan singkatan kepada United Nations initiative to End Violence Against Women and Girls (Inisiatif Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Menamatkan Keganasan terhadap Wanita dan Kanak-kanak Perempuan) menyeru kerajaan, masyarakat sivil, pertubuhan wanita, golongan muda, sektor swasta, media dan sistem PBB untuk berganding bahu menangani wabak global keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan.
Kempen UNiTE 2025 kali ini membawa perhatian masyarakat dunia kepada peningkatan membimbangkan insiden keganasan terhadap wanita dengan tema: “Tamatkan Keganasan Digital Terhadap Semua Wanita dan Kanak-Kanak Perempuan”.
Dalam era digital, teknologi semakin disalahgunakan untuk mengintai, mengganggu dan mendera wanita serta gadis. Bentuk keganasan digital termasuk buli siber, deepfake pornography (pornografi palsu), trolling, cyberstalking (pengendapan siber), gangguan seksual dan ancaman dalam talian, manipulasi video atau audio secara digital, pemalsuan maklumat di media sosial dan penerbitan maklumat peribadi.
Keganasan digital bukan hanya berlaku dalam talian, malah sering membawa kepada keganasan dalam kehidupan sebenar seperti paksaan, gangguan dan penderaan fizikal. Kesan keganasan digital menyebabkan kemudaratan jangka panjang yang menjejaskan keselamatan fizikal, mental dan emosi mangsa.
Keganasan digital menyasarkan wanita lebih daripada lelaki merentasi semua lapisan masyarakat. Namun begitu, wanita yang mempunyai keterlihatan awam atau keterlihatan dalam talian seperti aktivis, wartawan, personaliti media sosial, ahli politik, pembela hak asasi manusia serta wanita muda dilihat sering menjadi sasaran utama.
Perkembangan Dasar dan Undang-Undang di Malaysia
Kerajaan Malaysia telah menunjukkan komitmen yang tinggi dalam menangani isu keganasan digital dengan mewujudkan kerangka perundangan keselamatan digital, termasuk penggubalan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Akta 866) yang telah diluluskan Parlimen pada tahun 2024 dan diwartakan pada 22 Mei 2025.Â
Meskipun Akta 866 ini masih belum dikuatkuasakan sepenuhnya kerana kerajaan memaklumkan bahawa beberapa peraturan subsidiari masih dalam proses digubal oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), usaha untuk melindungi pengguna, terutama kanak-kanak dan wanita daripada ancaman digital melalui kawal selia platform serta pengenalan mekanisme tindak balas terhadap kandungan berbahaya amat dialu-alukan oleh para pemegang taruh dan juga masyarakat umum.
Selain itu, Kementerian Komunikasi dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah melancarkan Kempen Internet Selamat (KIS) pada tahun ini yang memberi tumpuan kepada kesedaran ancaman digital dan etika penggunaan internet dalam kalangan rakyat Malaysia khususnya daripada golongan pelajar sekolah rendah, menengah dan institusi pendidikan.Â
Program ini juga memberi fokus kepada isu-isu seperti buli siber, penipuan dalam talian, perjudian digital dan kandungan penderaan seksual kanak-kanak. Sehingga 23 November 2025, kempen ini telah dilaksanakan di 8,274 sekolah dan institusi pendidikan serta dijangka meliputi semua sekolah di seluruh negara menjelang suku pertama tahun 2026.
Walau bagaimanapun, usaha menangani keganasan digital sebegini sewajarnya diperluaskan sasarannya kepada semua wanita dan kanak-kanak perempuan yang merupakan antara golongan paling terdedah kepada jenayah ini.
Strategi yang diambil bagi menghapuskan keganasan digital terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan harus bersifat holistik dengan memastikan pemahaman dan kesedaran mengenai isu ini harus meliputi para ibu bapa dan ahli keluarga yang bertanggungjawab melindungi kanak-kanak perempuan dan wanita. Ahli keluarga dan masyarakat harus menyedari keseriusan masalah ini dan bersama-sama berganding bahu menangani isu ini.
Cadangan Tindakan Penambahbaikan
Bagi memperkukuh usaha pencegahan dan perlindungan terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan, beberapa tindakan dicadangkan untuk dilaksanakan.
1. Program pendedahan dan pendidikan mengenai keganasan digital yang bersasar dilaksanakan mengikut kelompok masyarakat termasuk program khusus yang direka khas untuk wanita, ibu bapa dan ahli keluarga melalui pelbagai pendekatan dan platform.
Fokus khusus perlu diberikan kepada kaum wanita memandangkan mereka lebih ramai menjadi mangsa keganasan digital berbanding lelaki. Para ibu bapa dan ahli keluarga bertanggungjawab melindungi dan memastikan keselamatan wanita di ruang digital terpelihara di samping berperanan memberikan sokongan yang kuat sekiranya wanita menjadi mangsa keganasan digital.
2. Peranan institusi agama dan komuniti diperkasakan untuk menyebarluaskan kesedaran mengenai keganasan digital kepada setiap lapisan masyarakat bagi mencegah gejala ini selain daripada berperanan memupuk sokongan masyarakat terhadap mangsa.
Institusi agama dan komuniti boleh memainkan peranan dengan menyediakan program kesedaran keselamatan di ruang digital untuk masyarakat. Melalui aktiviti bersama, institusi agama dan komuniti dapat membina persekitaran yang kondusif bagi menyokong pembangunan setiap ahli secara holistik, termasuk di ruang digital.
3. Perkhidmatan sokongan mangsa diperkukuh termasuk pemulihan psikologi, kaunseling dan perlindungan jangka panjang untuk mangsa keganasan digital. Dalam hal ini, sokongan padu daripada ibu bapa, ahli keluarga dan masyarakat sekitar boleh mendorong mangsa untuk mengatasi perasaan takut dan trauma akibat keganasan digital.
4. Mekanisme aduan yang cekap dan mesra pengguna melalui portal aduan berpusat yang mudah diakses dengan protokol tindak balas segera untuk memastikan bantuan diterima dengan pantas dan berkesan. Di samping itu, sokongan kepada mangsa perlu diperkukuh dengan memastikan saluran pelaporan yang selamat serta perlindungan daripada tindakan balas pemangsa.
5. Platform aduan dalam talian yang mesra kanak-kanak dibangunkan khusus untuk memudahkan kanak-kanak perempuan membuat laporan dengan selamat tanpa melalui proses birokrasi yang rumit. Ia selaras dengan situasi semasa yang pada hakikatnya aduan orang dewasa sekalipun perlu melalui pelbagai borang dan saluran sebelum sampai kepada MCMC. Keadaan seperti ini menjadikannya kurang efektif untuk golongan rentan.
6. Naratif pencegahan menyeluruh dari akar umbi hingga pembuat dasar melibatkan semua pihak secara kolektif dalam membentuk budaya digital yang selamat. Kempen pencegahan perlu terus dilaksanakan dari semasa ke semasa melalui media massa serta turut disiarkan dalam sistem pengangkutan awam agar maklumat ini dapat tersebar dengan meluas.
7. Usaha berterusan membentuk ibu bapa dan generasi berdaya tahan melalui pendidikan literasi digital, kompetensi emosi dan keupayaan mengurus risiko dalam talian. Ibu bapa yang celik digital merupakan benteng pertama dalam melindungi keluarga daripada ancaman siber.
Suatu mekanisme yang mapan dan lestari berkaitan pendidikan keibubapaan perlu diwujudkan agar ibu bapa benar-benar terdidik untuk membangunkan generasi akan datang yang berdaya tahan.
Sehubungan itu, kerjasama kukuh antara kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), keluarga dan komuniti adalah asas kepada usaha menamatkan keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan demi kesejahteraan dan keselamatan semua.
Prof. Madya Dr. Roohaida Othman
Pengerusi Jawatankuasa Advokasi
Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia




