Pergaulan remaja pada hari ini bukan sekadar tentang bermain bersama atau berkongsi cerita, malah mampu menjadi isu “hidup mati” yang menentukan masa depan generasi seterusnya.
Bulan Oktober 2025 mencatatkan beberapa kejadian yang melibatkan pelajar sekolah, antaranya laporan media mengenai kes rogol berkumpulan di sekolah, pembunuhan pelajar perempuan berusia 16 tahun di sebuah sekolah di Petaling Jaya dan kes buli. Satu perkara yang menghubungkan kesemua tragedi ini ialah pelakunya merupakan rakan mangsa sendiri.
Realiti ini seharusnya membuka mata kita kepada satu hakikat penting, iaitu mencari dan memilih rakan bukan perkara remeh. Kajian Universiti Putra Malaysia (2019) menunjukkan 60 peratus remaja yang terlibat dengan dadah mengaku terpengaruh dengan rakan sebaya.
Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) pada tahun 2023 pula mendapati bahawa 46 peratus kanak-kanak menghadapi masalah dengan rakan sebaya yang turut memberi kesan kepada kesihatan mental mereka.
Tinjauan yang dijalankan Sinar Harian pada Oktober 2025 mendapati 43 peratus responden menganggap media sosial sebagai punca utama masalah pelajar iaitu platform yang ironinya menjadi ruang utama pengaruh rakan sebaya berlaku pada hari ini.
Islam sebenarnya telah memberi peringatan tentang kepentingan memilih rakan sejak 1,400 tahun lalu. Namun sejauh manakah kita menghayati panduan ini dalam kehidupan seharian?
Pengaruh yang tersembunyi
Dalam kerangka Asas Islam Rahmah (AISAR) yang menjadi antara teras pendekatan IKRAM, aspek akhlak seseorang mampu dipengaruhi oleh persekitaran rakan. Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 melaporkan 46 peratus kanak-kanak menghadapi masalah dengan rakan sebaya, mencerminkan krisis pembentukan jati diri yang sedang melanda generasi muda.
Persoalannya, pengaruh rakan ini sering berlaku tanpa disedari. Seperti pewarna yang meresap ke dalam kain putih, nilai dan tingkah laku rakan perlahan-lahan meresap serta menjadi sebahagian dalam kehidupan rakannya. Ketika kita mula menyedarinya, pengaruh tersebut sudah pergi terlalu jauh.
Pengaruh itu boleh berlaku dari pelbagai sudut. Dari aspek ruhiyyah, kesihatan spiritual terhakis melalui pergaulan yang tidak meningkatkan iman. Contohnya, rakan yang mengajak ponteng solat mempersendakan orang yang rajin ke masjid sehingga dia sendiri mula merasakan ibadah sebagai beban.
Dari sudut akidah pula, keyakinan yang pada mulanya teguh mampu digoyahkan apabila setiap hari dikelilingi oleh rakan yang memandang ringan perkara haram, berseloroh tentang dosa, yang lama-kelamaan rakannya turut dipengaruhi dan menganggapnya sebagai perkara biasa.
Panduan Rasulullah SAW
Rasulullah SAW telah memberi peringatan yang bermaksud:
“Bandingan kawan yang baik dan kawan yang buruk seumpama penjual minyak wangi dan dapur tukang besi. Adapun penjual minyak wangi akan memberi kamu (minyak wangi itu), atau kamu membeli daripadanya, atau kamu memperoleh bau yang harum daripadanya. Sedangkan dapur tukang besi pula akan membakar baju kamu atau kamu memperoleh bau yang busuk.” (HR al-Bukhari, no. hadis 5534)
Perumpamaan daripada hadis tersebut menggariskan tiga prinsip asas:
Pertama, pengaruh rakan pasti berlaku tanpa pengecualian. Sama ada kita membeli minyak wangi atau sekadar mencium baunya, pasti ada kesan.
Begitu juga halnya dengan dapur tukang besi, sama ada terbakar atau tercium bau busuk, kesan itu tetap wujud. Walaupun ada yang mampu kekal tidak terpengaruh, namun dalam kebanyakan kes, pengaruh tetap berlaku sama ada disedari atau tidak.
Kedua, kesan boleh berlaku secara halus atau nyata. Kadang-kadang pengaruh itu jelas seperti luka terbakar, kadang-kadang kesan itu halus seumpama bau yang melekat pada pakaian. Inilah yang berbahaya, iaitu kita tidak menyedari perubahan tersebut.
Ketiga, kita bertanggungjawab atas pilihan kita. Rakan yang kita pilih akan menentukan arah hidup kita, sama ada ke arah kebaikan atau keburukan. Oleh itu, kita tidak boleh menyalahkan sesiapa kecuali diri sendiri jika terpengaruh dengan rakan yang tidak membawa manfaat.
Allah SWT mengingatkan dalam Surah al-Furqan ayat 27-28 yang bermaksud:
“Dan (ingatlah) hari (ketika) orang yang zalim menggigit kedua-dua tangannya sambil berkata: Alangkah baiknya sekiranya aku dahulu mengambil jalan (yang benar) bersama Rasul. Celakanya aku, alangkah baiknya kalau aku tidak mengambil si dia itu menjadi sahabat karib.”
Kriteria rakan yang baik
Rakan sejati mengingatkan kita kepada suruhan dan larangan Allah, bukan sekadar menyokong setiap keputusan kita. Mereka berani menegur apabila kita tersasar.
Selain itu mereka amanah, menjaga rahsia dan memberi nasihat ikhlas, bukan menjadikan masalah kita sebagai bahan cerita. Seterusnya mereka konsisten melakukan kebaikan, sama ada secara terbuka atau tertutup.
Berwaspadalah dengan rakan yang membawa kepada mudarat, antaranya ialah mereka yang selalu mengajak melanggar apa yang disuruh oleh agama, gemar menceritakan aib orang lain atau membuat kita berasa bersalah apabila melakukan kebaikan.
Apa yang perlu dilakukan?
Nilai semula persahabatan sedia ada, siapakah lima orang paling rapat? Adakah mereka membawa kita lebih dekat kepada Allah atau sebaliknya.
Menjauhkan diri daripada persekitaran toksik bukan bermakna membenci atau memutuskan hubungan sepenuhnya, tetapi menetapkan batasan yang jelas. Kita masih boleh berkawan dengan mereka, namun pastikan iman kita tidak tergugat dan dipengaruhi olehnya.
Libatkan diri dalam aktiviti bermakna seperti kelab sukan, persatuan, kerja sukarelawan atau majlis ilmu. Pilihlah ruang yang membina diri. Di sinilah kita akan bertemu rakan yang berkongsi nilai dan matlamat yang sama. Bagi yang mencari komuniti berasaskan Islam, IKRAM dan program usrah menawarkan platform sedemikian. Yang penting ialah sentiasa berdoa memohon petunjuk daripada Allah agar dikurniakan rakan yang baik.
Rasulullah SAW mengingatkan bahawa seseorang itu berada pada agama sahabatnya. Cabaran hari ini bukan sekadar memilih rakan yang baik, tetapi menjadi “penjual minyak wangi” kepada orang lain.
Binalah diri dengan akhlak mulia, istiqamah dalam ibadah, teguhkan akidah dan ruhiyyah berasaskan syariah Allah, nescaya kita menjadi rahmat kepada sekeliling.
Mulakan dengan menilai semula persahabatan serta bertekad menjadi rakan yang membawa orang lain lebih dekat kepada keredaan Allah SWT.
Prof. Madya Dr. Khairul Hamimah Mohammad Jodi
Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan
Open Universiti Malaysia




