Wacana Politik Perlu Disiplin Guna Sumber Agama?

Wacana Politik Perlu Disiplin Guna Sumber Agama?

Dalam masyarakat Islam, sumber agama seperti al-Quran, hadis dan sirah menjadi asas pegangan serta panduan kehidupan. 

Namun, apabila sumber-sumber ini digunakan dalam wacana politik, sering kali akan timbul dilema apabila sesetengah pihak beranggapan bahawa apa-apa tindakan politik yang menyerupai atau disandarkan kepada Nabi Muhammad SAW semestinya benar dan perlu diterima tanpa bantahan.

Padahal, dalam disiplin ilmu Islam sendiri, dapat difahami bahawa hubungan antara sumber agama yang berasaskan wahyu dengan tindakan manusia bukanlah hubungan yang langsung, tetapi secara epistemologinya melalui proses yang panjang dan berlapis.

Hal ini disebabkan oleh perbezaan antara manusia dalam kemampuan memahami teks, mentafsir hukum dan menilai situasi.

Menggunakan sumber agama dalam merangka dasar politik merupakan satu usaha yang penting. Namun, persoalan yang lebih utama perlu ditimbulkan ialah bagaimana mengelakkan salah faham dalam kalangan masyarakat bahawa sesuatu tindakan politik yang disokong dengan sumber agama tidak semestinya maksum (bebas daripada kesalahan).

Meskipun dihiasi dengan ayat al-Quran dan hadis, dasar atau tindakan politik tetap merupakan hasil ijtihad manusia yang boleh dibahaskan, dikritik atau ditinggalkan sekiranya terbukti kurang tepat.

Kes ini tidak boleh disamakan dengan era Nubuwwah ketika Nabi SAW mengetuai kerajaan Islam di Madinah. Integrasi antara politik dengan agama pada masa itu bersifat mutlak kerana Rasulullah SAW menerima wahyu secara langsung daripada Allah SWT dan baginda terpelihara daripada sebarang kesalahan (maksum).

وَالنَّجْمِ إِذَا هَوَىٰ  (1)مَا ضَلَّ صَاحِبُكُمْ وَمَا غَوَىٰ (2) وَمَا يَنطِقُ عَنِ الْهَوَىٰ (3) إِنْ هُوَ إِلَّا وَحْيٌ يُوحَىٰ (4)

Demi bintang semasa ia menjunam. Rakan kamu (yakni Nabi Muhammad yang kamu tuduh dengan pelbagai tuduhan itu), tidaklah dia menyeleweng (dari jalan yang benar), dan tidak pula dia sesat (dengan kepercayaan yang salah). Dia tidak memperkatakan (sesuatu yang berhubung dengan agama Islam) menurut kemahuannya sendiri. Segala yang diperkatakannya itu (sama ada al-Quran atau hadis) tidak lain hanyalah wahyu yang diturunkan kepadanya.(An-Najm: 1-4)

Jika persamaan dengan era Nubuwwah ini cuba diterapkan secara literal dalam konteks sosiopolitik negara ini, ia boleh dianggap sebagai satu bentuk bidaah politik, dan pengikut politik sedemikian akan cenderung mengagungkan pemimpin mereka hingga ke tahap yang tidak boleh dicabar.

Parti politik yang mengambil pendekatan ini mungkin mempunyai pengaruh yang kuat dalam kalangan penyokong, namun perjuangan mereka adalah batil dan boleh dianggap sebagai satu bentuk manipulasi agama untuk tujuan pangkat dan kuasa.

Sehubungan itu, persoalan yang perlu dirungkaikan ialah: bagaimanakah cara yang betul untuk mengambil inspirasi daripada agama tanpa menyelewengkannya? Dengan kata lain, adakah terdapat disiplin tertentu yang perlu dipatuhi oleh individu yang bercakap mengenai agama apabila mengaitkannya dengan strategi politik?

Epistemologi, yang bermaksud teori tentang ilmu, berperanan menjelaskan persoalan ini, iaitu bagaimana keyakinan agama berubah menjadi tindakan politik melalui beberapa tahap yang terdedah kepada pentafsiran manusia dengan taraf kebenaran yang berbeza-beza.

Di sinilah pentingnya kesedaran masyarakat bahawa wahyu berupa teks al-Quran dan hadis yang pada asasnya bersifat murni dan tidak mengandungi kesalahan, akhirnya boleh terdedah kepada kesilapan apabila ditafsirkan.

Daripada proses ini lahirlah prinsip-prinsip moral yang bersifat subjektif dan seterusnya diterjemahkan menjadi dasar politik yang mungkin didorong oleh kepentingan tertentu.

Maka jelaslah bahawa dasar politik yang terhasil sebenarnya telah melalui jarak epistemik yang jauh, melibatkan proses tafsiran, perumusan nilai moral dan penyesuaian dasar berpandukan konteks semasa.

Artikel ini bertujuan menjelaskan tahap-tahap tersebut di samping mengemukakan beberapa disiplin yang boleh direnungkan agar agama Islam terhindar daripada dilema dan kekeliruan apabila dibawa masuk ke dalam wacana politik.

Tahap Pertama: Sumber Asal (daripada Wahyu kepada Pengetahuan)

Segala yang bersumber daripada al-Quran dan hadis sahih ialah wahyu yang bersifat mutlak, benar dan bebas daripada kesalahan. Namun, wahyu juga bersifat kontekstual; yakni diturunkan dalam konteks sejarah tertentu dengan bahasa, budaya dan realiti masyarakat tertentu.

Pada tahap yang digelar “tanzil pertama” ini, hanya Nabi SAW yang memiliki keistimewaan untuk memahami dan melaksanakan wahyu dengan sempurna kerana baginda bersifat maksum (terpelihara daripada kesalahan).

Bagi manusia biasa, wahyu ini tidak boleh diterjemahkan terus kepada tindakan politik. Ia perlu difahami terlebih dahulu melalui lapisan akal, ilmu dan tafsiran.

Tahap Kedua: Pengetahuan Ulama (Tafsir dan Istinbat)

Selepas zaman Nabi, wahyu tidak lagi turun. Maka, peranan memahami dan mentafsir teks agama diambil oleh para ulama. Di sinilah bermulanya tahap epistemik kedua, iaitu tafsiran manusia terhadap teks suci.

Ulama menggunakan pelbagai disiplin seperti fiqh, usul fiqh, kalam, mantiq dan bahasa Arab untuk memastikan tafsiran mereka tidak menyimpang daripada maksud asal wahyu.

Namun, di tahap ini juga berlaku ruang perbezaan pandangan kerana tafsiran tidak lagi bersifat mutlak, tetapi ijtihadi, iaitu hasil usaha manusia yang terdedah kepada benar dan salah untuk memahami kalam Tuhan.

Maka, apabila sumber agama digunakan dalam politik, ia bukan lagi “firman Tuhan” dalam erti kata mutlak, tetapi hasil tafsiran terhadap firman Tuhan yang dikaitkan dengan realiti semasa.

Tahap Ketiga: Penetapan Prinsip Sosial

Daripada pelbagai tafsiran, lahir pula prinsip-prinsip umum dalam kehidupan bermasyarakat seperti keadilan (‘adl), amanah (amānah), musyawarah (shūrā), dan kebajikan (maslahah). Prinsip-prinsip ini tidak lagi berbentuk hukum literal, tetapi panduan etika dan moral yang boleh disesuaikan dalam pelbagai konteks politik dan sosial.

Inilah sebenarnya tahap yang paling ideal untuk politik Islam bergerak, bukannya mengambil terus teks al-Quran atau hadis secara langsung, tetapi mengambil nilai dan prinsip yang terkandung di dalamnya.

Jika gerakan politik Islam diteraskan kepada prinsip-prinsip umum ini serta membahaskannya secara aktif dan rasional, maka diyakini masyarakat tidak akan terdedah dengan dilema dan kekeliruan epistemik akibat agama dipolitikkan.

Tahap Keempat: Pembuatan Dasar dan Polisi (daripada Prinsip kepada Aplikasi)

Apabila pemimpin politik Muslim membentuk dasar, mereka sebenarnya sedang melakukan proses “tanzīl baru” (tanzil kedua); menurunkan prinsip ke dalam konteks realiti semasa.

Di sinilah berlaku cabaran terbesar, bagaimana untuk memastikan nilai-nilai Islam diterjemahkan dalam dasar yang adil dan berkesan tanpa menyelewengkan teks suci untuk tujuan politik.

Pemimpin bukan maksum. Mereka perlu sedar bahawa setiap tindakan politik adalah ijtihad, bukan wahyu. Lantaran itu, setiap tindakan mereka boleh dikritik, ditambah baik atau diperbetul.

Ketika pemimpin menggunakan ayat atau hadis untuk menyokong dasar mereka, mereka harus menyatakan dengan jelas bahawa itu adalah tafsiran mereka terhadap wahyu (walaupun bersumberkan turath terdahulu), bukan wahyu yang suci itu sendiri.

Tahap Kelima: Wacana dan Kesedaran Politik (daripada Aplikasi kepada Kefahaman Awam)

Tahap terakhir ialah bagaimana masyarakat mentafsir dan menerima tindakan politik yang dikaitkan dengan agama. Di sinilah sering berlaku salah faham, khususnya di peringkat akar umbi. Apabila mereka mendengar ayat al-Quran atau hadis digunakan dalam wacana politik, mereka mudah menyangka bahawa tindakan tersebut pasti benar dan suci.

Untuk mengelakkan kekeliruan ini, wacana politik Islam perlu menekankan sifat telus dalam hubungan antara agama dan politik, bahawa daripada wahyu hingga ke dasar negara, terdapat proses epistemologi panjang melibatkan tafsiran, penilaian dan pelaksanaan. Semuanya melibatkan kerja ijtihadi manusia yang tidak maksum.

Menginsafi jarak antara wahyu dan kuasa 

Kesimpulannya, integrasi antara politik dan agama sememangnya wujud dalam Islam dan bersifat mutlak pada zaman Rasulullah SAW. Namun, keadaan hari ini berbeza kerana manusia tidak lagi dipimpin oleh seorang nabi yang maksum. 

Justeru, integrasi antara politik dan agama memerlukan kefahaman yang jelas tentang jarak epistemik antara wahyu dan dasar politik. Hal ini menuntut disiplin yang ketat, baik daripada pemimpin mahupun rakyat.

Meneladani sunnah Rasulullah SAW dalam berpolitik tidak bererti meniru secara literal cara baginda memerintah, sebaliknya mengekstrak nilai-nilai mulia dan falsafah rabbani daripada contoh yang baginda tunjukkan.

Nabi ialah utusan Allah SWT, manakala pemimpin politik ialah pelaksana yang berijtihad. Kedua-duanya mempunyai hubungan yang signifikan, tetapi dipisahkan oleh ruang epistemik yang perlu dihormati.

Memahami jarak ini bukan bermaksud menolak atau menjauhkan Islam daripada politik, tetapi mengiktiraf bahawa politik Islam ialah hasil ijtihad manusia yang berpaksikan nilai wahyu, bukan wahyu itu sendiri.

Dengan kesedaran ini, umat Islam diyakini akan dapat menilai politik secara lebih matang, bukan menerima dasar dan pandangan politik dengan kesetiaan membuta tuli, tetapi dengan kefahaman yang berasaskan ilmu serta adab terhadap sumber agama.

Dr Amer Hudhaifah Hamzah
Ahli Pertubuhan Ilmuwan dan Cendekiawan Muslim Malaysia (ILMAN)

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia