Ijtihad Politik: Pemimpin Bijak, Rezeki Terpijak

Ijtihad Politik: Pemimpin Bijak, Rezeki Terpijak | IKRAM

“Ibarat kayu besar di tengah padang, tempat bernaung kepanasan, tempat berlindung kehujanan.” 

Begitulah kehalusan dan ketelitian nenek moyang kita menjelmakan persekitaran mereka menggunakan kata yang indah bagi menyampaikan sesuatu maksud.

Mereka menggambarkan makna yang tersirat secara tepat, namun penuh tertib dan bersopan sama ada untuk menasihati atau menegur, tanpa menimbulkan rasa kecil hati juga menyinggung perasaan orang lain.

Peribahasa di atas bermaksud signifikannya peranan pemimpin yang bijak dalam masyarakat. Pemimpin yang bijak mampu memberikan solusi dan manfaat kepada rakyat meski dalam apa jua keadaan, susah mahupun senang. 

Melihat kepada literasi Islam dalam bidang kepemimpinan, lipatannya kaya dengan hukum dan cerita, ‘ibrah juga panduan.

Jika disorot, sejarah yang melatari perkembangan ketamadunan umat Islam sangatlah pelbagai. Benarlah bahawa sejarah berulang kembali, cuma pemain peranannya sahaja yang berbeza.

Untuk itu, syariah wujud sebagai panduan yang jelas dalam hal-hal pentadbiran serta kepimpinan. Bidang siasah syar’iyyah yang menjadi ranah perbahasan para ulama tentang tadbir urus sesebuah negara kaya dengan panduan, cuma ia perlu diambil dengan hikmah dan kebijaksanaan pemimpin serta rakyat jelata.

Ijtihad berpandukan nas, bersendikan akal

Perkara utama yang perlu disedari ialah bahawa walaupun politik adalah sebahagian daripada syariah, namun ia terletak dalam kerangka muamalat dan bukannya akidah ataupun ibadat.

Maka, dalam menyikapi isu muamalat, kaedah yang disepakati oleh para fuqaha bahawa hukum asal sesuatu perbuatan adalah harus (ibahat al-Asliyah) perlulah menjadi panduan utama.

Berdasarkan kaedah ini, dapat disimpulkan bahawa hukum asal bagi segala aktiviti politik adalah harus kecuali ada dalil yang mengharamkannya. Hal ini bermakna, sebarang perbuatan yang menyalahi prinsip-prinsip asas syarak seperti kezaliman, penipuan, rasuah, ketirisan dan pecah amanah adalah terlarang secara tuntas.

Rashid al-Ghannouchi menyifatkan bahawa isu politik termasuk dalam ruang ijtihad yang amat luas bagi para cendekiawan Muslim menghasilkan pendapat-pendapat yang baharu berpandukan Maqasid al-Syariah.

Beliau menyifatkan bahawa isu-isu politik termasuk dalam ruang vakum (faraghaat) yang telah ditinggalkan oleh syariat agar manusia bersikap kreatif dalam usaha mencapai maslahat umum yang menjadi tema utama syariat Islam itu sendiri.

Hasilnya, persekitaran politik dalam kerangka ruang ijtihad yang luas memerlukan input kontemporari dengan meraikan faktor konteks, tempatan, masa, zeitgeist (semangat zaman), budaya dan perbezaan akal manusia. 

Hal ini bersesuaian dengan konsep ijtihad yang menekankan kepentingan pencapaian maslahah ataupun kebaikan kepada manusia itu sendiri.

Abu Zahrah misalnya merumuskan bahawa “Ijtihad dengan menggunakan fikiran itu lebih bersifat penelitian untuk mengetahui mana satu jawapan yang lebih dekat dengan kehendak al-Quran dan al-Sunnah. Caranya ialah sama ada dengan merujuk kepada nas tertentu, iaitu yang dikenali sebagai qiyas ataupun dengan merujuk kepada objektif umum syariah (al-Maqasid al-Ammah li al-Syariah) iaitu yang dikenali sebagai maslahah.

Ini bermakna ijtihad dalam bidang politik adalah proses yang dinamik. Kayu ukur bagi ijtihad politik adalah ‘keadilan sejagat.’ Ia selaras dengan ungkapan Ibn al-Qayyim iaitu:

“Sesungguhnya syariah Islam itu binaan asasnya adalah atas segala hikmah dan kebaikan untuk manusia di dunia juga akhirat. Syariah Islam itu segalanya keadilan, kebaikan dan hikmat. Maka setiap perkara yang terkeluar daripada keadilan kepada kezaliman, daripada rahmat kepada yang berlawanan dengannya, daripada kebaikan kepada kerosakan, daripada hikmat kepada sia-sia, maka ia bukan syariat Islam sekalipun diberikan takwilan untuknya.”

Teliti dalam memahami sumber

Jika diteliti, para fuqaha telah membahagikan hadis-hadis Nabi Muhammad SAW kepada apa yang bersifat tasyri’iy (syariat) dan ghayr tasyri’y (bukan syariat).

Dalam hal ini, al-Qarafi  bersikap lebih teliti dengan membezakan hadis antara wahyu yang secara spesifiknya berkaitan hal keagamaan yang bersikap rigid dan normatif, dan wahyu yang berkaitan perbuatan dan keputusan baginda dalam persoalan harian sebagai seorang manusia.

Ini termasuklah keputusan-keputusan yang diambil oleh Rasulullah SAW yang berbentuk keduniaan seperti keputusan politik yang diguna pakai atas kapasiti baginda sebagai ketua negara serta keputusan kehakiman yang hanya menjurus kepada kes-kes tertentu sahaja.

Sebab itu hadis-hadis yang berkisar tentang persoalan politik, keputusan penghakiman dan isu-isu keduniaan lain yang diputuskan oleh baginda atas kapisitinya sebagai manusia biasa tidaklah bersikap imperatif dan normatif.

Pada masa yang sama, ijtihad atau keputusan Rasulullah SAW yang berkaitan soal akidah, ibadah dan akhlak pula merupakan sesuatu yang bersikap rigid, normatif juga perlu diterima tanpa berdolak-dalik.

Tadbir urus berteraskan maslahah

Sungguhpun demikian, hadis-hadis Rasulullah SAW yang merupakan ijtihad baginda pada persoalan politik, pemerintahan dan juga pentadbiran tidaklah pula mesti diabaikan.

Hadis-hadis tersebut mestilah dikaji, difahami falsafah dan tujuan di sebaliknya berdasarkan konteks ia berlaku, dan juga dijadikan iktibar tanpa dijadikan perintah atau suruhan secara literal (harfiyah).

Yang pastinya, dapat dilihat berdasarkan penyelidikan kritikal, kesemua hadis tersebut bertujuan menjaga maslahat (kepentingan) umum kaum Muslimin. Hadis-hadis tersebut juga kesemuanya menjurus kepada pemeliharaan Maqasid al-Syariah.

Justeru, bagi umat Islam pada zaman terkemudian, mereka hendaklah memahami bahawa ijtihad berkaitan politik dan hal kenegaraan mestilah berdasarkan kerangka Maqasid al-Syariah dalam menjaga kepentingan masyarakat secara umum.

Ringkasnya, ibarat kata pemikir dan cendekiawan Islam kontemporari Dr Fazlur Rahman Malik;

“Apa yang penting, para Muslim terdahulu sama ada para fuqaha mahupun para umara atau rakyat jelata sekalipun menjadikan matlamat tertinggi berpolitik adalah untuk mencapai kejayaan di dunia juga akhirat berdasarkan perjuangan menegakkan keadilan, menentang kezaliman serta menjadi ejen rahmat kepada sekalian alam dengan memanifestasikan usaha memaksimumkan penjagaan kepentingan umum serta mengelakkan kerosakan.”

Hal yang sedemikian menjadikan umat Islam sedar bahawa penglibatan politik mereka dalam pelbagai ruang hanya sebagai wasilah dan bukannya matlamat. 

Apa yang penting juga, bukanlah penglibatan politik semata-mata yang menjadi pertimbangan para ulama terdahulu, tetapi natijah, kesan penglibatan juga menjadi kayu ukur kepada para ulama sekalian dalam menilai buruk serta baiknya sesuatu aktiviti politik.

Pemimpin yang baik dan boleh diharap ialah pemimpin yang bijak menguruskan rakyat jelata demi menjaga kesejahteraan mereka bukan sahaja di dunia, malah di akhirat.

Ia bertepatan dengan pepatah Melayu, “Condong yang akan menongkat, rebah yang akan menegak.” Itulah ibarat pemimpin yang diharapkan. 

Dr Hamidah Mat
Timbalan Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan
Open University Malaysia (OUM)

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia