Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) memandang serius kes salah laku seksual melibatkan pelajar sekolah yang dilaporkan baru-baru ini di Melaka. Kejadian ini amat membimbangkan dan mencerminkan krisis nilai serta cabaran sosial yang semakin meruncing dalam kalangan remaja kita.
IKRAM menegaskan bahawa sekolah bukanlah satu-satunya pihak yang harus dipersalahkan apabila insiden sebegini berlaku. Berdasarkan maklum balas guru dan kaunselor di lapangan, pelbagai program pencegahan telah dilaksanakan — termasuk ceramah oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD). Namun, masalah salah laku moral dan seksual pelajar masih berulang kerana punca utamanya datang dari luar pagar sekolah.
Antara faktor yang dikenal pasti ialah pendedahan tidak terkawal kepada bahan lucah melalui telefon pintar dan media sosial, pengaruh rakan sebaya, kandungan hiburan yang tidak sesuai umur, serta kurangnya pengawasan ibu bapa terhadap penggunaan gajet dan media digital anak-anak.
Dalam konteks ini, kawalan ibu bapa perlu jauh lebih aktif. Apabila anak-anak diberikan telefon pintar, tanggungjawab memantau penggunaannya juga mesti seiring. Privasi tanpa pengawasan hanya membuka ruang kepada keruntuhan moral yang lebih besar.
IKRAM juga berpandangan bahawa konsep Sekolah Selamat perlu diperkukuh dan dinilai semula oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) serta Pejabat Pendidikan Daerah (PPD). Pelaksanaan program pencegahan di sekolah mesti disertai dengan mekanisme penilaian yang jelas bagi memastikan keberkesanan, bukan sekadar memenuhi laporan atau KPI.
Selain itu, kerjasama dengan pelbagai agensi luar seperti PDRM, Bomba, AADK, Pejabat Kesihatan, pihak berkuasa tempatan dan NGO perlu diperkasakan semula dengan pendekatan yang berterusan dan berimpak tinggi.
Dalam masa yang sama, IKRAM menggesa agar kerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dipertingkat bagi menapis kandungan tidak bermoral di Internet, serta memperluas kempen literasi digital dan keselamatan siber seperti Kempen Internet Selamat (KIS) bersama Pusat Internet NADI dan komuniti setempat.
Berhubung isu rotan dan disiplin, IKRAM berpandangan bahawa pendekatan mendidik harus berasaskan kasih sayang (rahmah) dan tanggungjawab moral, bukan keganasan. Yang perlu ditekankan ialah memperkukuh autoriti guru serta garis panduan disiplin yang jelas, adil dan berhemah.
Sebagai NGO prihatin terhadap kesejahteraan masyarakat dan pendidikan negara, IKRAM sentiasa bersedia memberikan sokongan serta menyumbang kepakaran dan khidmat bakti dalam usaha memperkukuh sistem pendidikan, membina sahsiah murid dan mewujudkan kehidupan masyarakat Malaysia yang lebih harmoni dan berakhlak.
Dr. Omar Yaakob
Pengerusi, Jawatankuasa Pendidikan
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)