Mengapa sesetengah pemimpin atau aktivis bukan Muslim boleh tampil lantang membela Palestin? Antara mereka ada yang berani mengambil risiko dan membuat aksi solidariti secara terang-terangan seperti Gustavo Petro, Greta Thunberg, Roger Waters dan lain-lain.
Mereka digerakkan bukan sekadar kerana simpati spontan tetapi oleh ideologi dan komitmen moral yang jelas sama ada antiimperialisme, sosialisme atau gerakan hijau.
Ideologi tersebut memberi rangka pemikiran dan keberanian untuk mengambil risiko dan daya tahan menanggung kritikan umum, kehilangan kedudukan sehingga mengancam nyawa.
Selain itu, tokoh-tokoh ini disokong rangkaian aktivis dan organisasi transnasional serta mahir menggunakan media dan naratif global. Mereka mengamalkan prinsip “walk the talk” iaitu bertindak, bukan sekadar berucap. Kombinasi ilmu, platform dan keberanian itulah yang menukar empati kepada aksi nyata seperti Global Sumud Flotilla ke Gaza.
Keberanian moral
Persamaan paling ketara antara aktivis kontemporari dan pejuang para nabi dan rasul ialah keberanian moral. Mereka sama-sama sanggup menanggung kecaman, penderitaan atau risiko demi menegakkan hak. Namun, perbezaan asas terletak pada sumber kekuatan.
Perjuangan Rasulullah SAW dan para sahabatnya berakar kepada wahyu dan akidah tauhid. Ia adalah amanah yang melahirkan keberanian dan ketaatan kepada Allah SWT dalam usaha pembelaan maruah insan dan perjuangan menegakkan kalimah tauhid.
Pada zaman awal Islam, Rasulullah SAW dan para sahabat menghadapi pelbagai bentuk penyeksaan fizikal dan psikologi daripada kaum Quraisy. Mereka dihina, diboikot, diancam nyawa serta menghadapi penyeksaan terbuka terhadap para pengikut yang lemah.
Bilal r.a. diikat di atas padang pasir yang panas, diletakkan batu besar di atas badannya dan disebat dengan penuh penyeksaan sehingga beliau dibeli dan dibebaskan oleh Saidina Abu Bakar as-Siddiq r.a.
Sumayyah dan keluarganya pula menjadi sasaran dera oleh golongan Quraisy dengan diherdik, ditindas dan diseksa secara berterusan kerana enggan meninggalkan agama tauhid.
Tekanan itu mencapai kemuncaknya apabila Abu Jahal bertindak kejam membunuh Sumayyah dengan cara yang tidak berperikemanusiaan. Keberanian mereka didorong oleh keimanan yang tinggi kepada Allah SWT.
Mengangkat martabat insan
Keberanian Rasulullah SAW dan para sahabat didorong kuat oleh keimanan mereka untuk misi kemanusiaan yang luhur. Mereka berjuang untuk membebaskan manusia daripada kezaliman, penindasan dan ketidakadilan sosial yang berleluasa dalam masyarakat jahiliah.
Akidah tauhid menuntut pengabdian kepada Allah SWT dalam ruang yang sangat besar iaitu terangkum dalam menuntut keadilan, kasih sayang dan penghormatan terhadap hak sesama insan.
Perjuangan mereka adalah usaha menyeluruh untuk membina masyarakat yang berasaskan nilai ihsan, persaudaraan dan tanggungjawab moral. Oleh itu, perjuangan Islam sejak awal bukan hanya bersifat spiritual, tetapi juga sarat dengan nilai kemanusiaan yang universal.
Islam hadir sebagai risalah pembebasan yang mengangkat martabat manusia daripada belenggu perhambaan sesama manusia kepada pengabdian mutlak kepada Allah SWT.
Dalam masyarakat jahiliah, sistem kasta, perhambaan dan penindasan menjadi norma. Islam memecahkan rantai-rantai tersebut dengan menegaskan bahawa semua manusia adalah sama di sisi Allah SWT dan yang membezakannya hanyalah takwa.
Prinsip ini memberi kekuatan kepada golongan tertindas untuk bangkit dan menuntut hak mereka. Bilal r.a., seorang hamba berkulit hitam, menjadi simbol pembebasan apabila diangkat sebagai muazin utama Rasulullah SAW.
Hal ini menunjukkan bahawa Islam bukan sekadar agama ritual, tetapi satu sistem hidup yang membebaskan, memuliakan dan memperjuangkan nilai kemanusiaan sejati.
Ideologi dan solidariti
Dalam konteks perjuangan kontemporari, ideologi menjadi kerangka penting yang membentuk keberanian dan tindakan aktivis global. Ideologi seperti antiimperialisme, sosialisme dan ekologi radikal memberi makna kepada perjuangan mereka, menjadikan solidariti terhadap Palestin bukan sekadar reaksi emosi tetapi satu komitmen terhadap keadilan sejagat.
Mereka melihat penindasan terhadap rakyat Palestin sebagai manifestasi sistem penindasan global yang perlu ditentang.
Dengan sokongan jaringan transnasional dan kefahaman mendalam terhadap sejarah kolonialisme serta kapitalisme global, aktivis ini mampu mengartikulasikan perjuangan Palestin dalam naratif yang lebih luas dan berkesan. Ideologi memberi mereka kekuatan untuk bertahan, berstrategi dan terus bersuara meskipun berdepan risiko besar.
Namun, bagi pejuang Islam, kekuatan utama bukan hanya terletak pada ideologi tetapi pada keimanan yang mendalam kepada Allah SWT. Keimanan ini bukan sekadar keyakinan abstrak, tetapi menjadi sumber kekuatan rohani yang membentuk keberanian luar biasa.
Rasulullah SAW dan para sahabat tidak hanya menentang kezaliman kerana prinsip moral, tetapi kerana mereka yakin bahawa perjuangan menegakkan kebenaran adalah sebahagian daripada amanah tauhid.
Mereka percaya bahawa setiap pengorbanan, walau sekecil mana pun, dinilai oleh Allah dan menjadi bekalan akhirat. Keimanan ini melahirkan ketenangan dalam menghadapi ujian serta keteguhan dalam mempertahankan prinsip walaupun berdepan dengan ancaman nyawa.
Inilah kekuatan spiritual yang menjadikan perjuangan Islam bukan sekadar gerakan sosial, tetapi satu ibadah yang suci.
Keberanian moral yang terpancar daripada para aktivis kontemporari dan pejuang Islam sepanjang zaman berpunca daripada sumber yang berbeza, namun bertemu pada titik perjuangan menegakkan keadilan dan membela maruah insan.
Bagi Rasulullah SAW dan para sahabat, kekuatan itu lahir daripada keimanan kepada Allah SWT dan keyakinan bahawa perjuangan mereka adalah sebahagian daripada amanah tauhid yang suci.
“Berangkatlah kamu baik dalam keadaan ringan mahupun berat, dan berjihadlah dengan harta dan jiwamu di jalan Allah SWT. Yang demikian itu adalah lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.” (At-Taubah: 41)
Ayat ini dengan jelas menyeru umat Islam untuk tidak menunda perjuangan, sama ada dalam keadaan senang atau susah. Ia menekankan pentingnya pengorbanan harta dan jiwa demi menegakkan agama Allah SWT.
Ustazah Hasliza Talib
Pensyarah Jabatan Kefahaman Islam dan Bahasa Arab
Fakulti Sains Sosial
Universiti Islam Selangor