Wanita Palestin: Perjuangan yang Tiada Noktahnya

Peperangan memberi kesan yang mendalam kepada wanita mahupun lelaki. Namun, seringnya wanita dan kanak-kanak menghadapi situasi yang mencengkam, menjadi trauma dan menderita implikasi daripada tragedi yang terjadi sama ada semasa mahupun selepas berlakunya tragedi perang.

Wanita dan kanak-kanak juga acap kali terkesan dengan kondisi yang tidak baik berikutan situasi tersebut.

Seterusnya, wanita yang terselamat daripada kekejaman ini terpaksa hidup dengan imej perang dan kematian yang jelas menakutkan.

Mereka juga menghadapi tugas berat menyatukan keluarga selepas pemindahan dan menyediakan makanan, pakaian serta tempat tinggal dalam infrastruktur yang musnah untuk anak-anak juga keluarga mereka.

Begitulah, situasi yang terpaksa dihadapi oleh wanita dan kanak-kanak Palestin setelah menderita malapetaka peperangan sejak tragedi Nakba pada tahun 1948 hingga sekarang.

Keadaan tersebut memberi implikasi yang besar terhadap kesan politik, ekonomi dan sosial yang ditinggalkan oleh penjajah. Ia menyaksikan kemerosotan ketara sisi kemanusiaan, sosial, ekonomi serta keselamatan dalam wilayah Palestin. 

Situasi ini menyumbang secara signifikan isu kemiskinan wanita Palestin dari segi keselamatan dan akses kepada hak mereka yang paling asas seperti pendidikan dan kesihatan.

Selain itu, beban tambahan terpaksa ditanggung oleh wanita apabila ahli keluarganya mati syahid atau ditangkap, Dalam kebanyakan kes, mereka menjadi pencari nafkah tunggal untuk kelangsungan hidup keluarga.

Realiti penderitaan wanita Palestin

Cabaran utama yang dihadapi wanita Palestin ialah dasar yang dikenakan oleh pasukan pendudukan Israel. 

Lebih daripada sepersepuluh rumah di Palestin diketuai oleh wanita yang telah belajar untuk memberikan sokongan psikologi dan emosi kepada anak-anak mereka yang mengalami keganasan dan juga tekanan psikologi akibat daripada penangkapan.

Selain itu, wanita yang rumahnya dirobohkan Israel sejak pendudukan Baitul Maqdis pada tahun 1967 terdedah kepada tekanan tambahan kerana mereka perlu menjalankan banyak peranan, termasuk menjaga anak-anak dengan memastikan keselamatan dan keselamatannya mereka.

Bagi aktivis dan pembela wanita pula, mereka menghadapi siri penangkapan rambang yang menjejaskan hak untuk bersatu semula dengan keluarga mereka.

Pada tahun 1967, lebih daripada 17,000 wanita telah ditahan di penjara Israel, dan jumlah terbesar penangkapan berlaku ketika Intifadah Pertama (1987-1993). 

Dalam tempoh itu, seramai 3,000 wanita telah ditangkap. Dalam Intifadah Kedua (2000-2005) pula, kira-kira 1,000 wanita telah ditangkap.

Pada tahun 2019, pihak berkuasa pendudukan Israel menangkap kira-kira 1,600 rakyat Palestin termasuk 230 kanak-kanak dan 40 wanita, dan kini pada tahun 2021, masih terdapat 35 wanita Palestin di penjara Israel.

Mereka dan tahanan wanita Palestin yang lain sentiasa mengalami penyeksaan dan layanan buruk oleh tentera pendudukan Israel dari saat mereka ditangkap, yang telah menyebabkan kemerosotan dalam pelbagai perkara. Lebih memburukkan keadaan, mereka dinafikan lawatan keluarga atau panggilan telefon.

Para tahanan tertakluk kepada pengawasan ketat yang melanggar privasi mereka, pendidikan mereka disekat, mereka dalam keadaan tidak bersih dan dihalang daripada mengakses kemudahan kesihatan.

Gadis-gadis yang melakukan perjalanan dari rumah mereka ke universiti juga mengalami gangguan di pusat pemeriksaan tentera Israel. Akibatnya ramai ibu bapa telah mula tidak melepaskan anak perempuan mereka dari rumah, malah mengahwinkan mereka pada usia muda.

Apabila keadaan ekonomi merosot, peluang pekerjaan wanita semakin berkurangan, sebaliknya kes penyakit mental pula meningkat. 

Disebabkan sekatan ke atas bidang kehidupan secara umum, sekatan pergerakan, cukai yang dikenakan dan kos sara hidup yang tinggi berbanding pendapatan individu, isu keselamatan dan ketidakstabilan ekonomi menjadi cabaran terbesar di Palestin sekarang. 

Sejarah perjuangan yang panjang

Walaupun rakyat Palestin cenderung bersikap konservatif dari segi sosial sebagaimana kebiasaan masyarakat Arab mengenai status wanita, namun wanita Palestin mempunyai sejarah perjuangannya yang panjang.

Penyertaan wanita Palestin dalam penentangan pada masa kini hanyalah lanjutan daripada peranan sejarah yang telah mereka mainkan sejak Mandat British terhadap Palestin, iaitu suatu mandat Liga Bangsa untuk pentadbiran British di wilayah Palestin dan Transjordan.

Kedua-dua wilayah itu telah diserahkan oleh Empayar Uthmaniyah selepas berakhirnya Perang Dunia I pada tahun 1918. Palestin Bermandat ialah sebuah entiti geopolitik yang ditubuhkan antara 1920 dan 1948 di wilayah Palestin di bawah terma Mandat Liga Bangsa untuk Palestin.

Pada tahun 1925, wanita mengambil tindakan pertama mereka yang berpengaruh dengan mengambil bahagian dalam protes untuk mengutuk lawatan Setiausaha Luar Britain Arthur Balfour ke Baitulmaqdis dan merancang untuk melawat Masjid al-Aqsa.

Sejak itu, aktiviti politik wanita yang tersusun telah menyaksikan perubahan kualitatif berikutan Pemberontakan Buraq pada tahun 1929. Ketika itu persidangan wanita Palestin yang pertama telah diadakan di Baitulmaqdis dan Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Wanita Arab telah ditubuhkan.

Pada tahun yang sama, Kesatuan Wanita Arab telah ditubuhkan di Baitulmaqdis. Pada tahun 1964 pula, Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), telah ditubuhkan, dan pada tahun berikutnya (1965), Kesatuan Am Wanita Palestin (The General Union of Palestinian Women, GUPW) telah diwujudkan.

Perkembangan ini menyumbang kepada pembukaan saluran penyertaan untuk wanita Palestin dalam perjuangan politik, sosial dan ekonomi menentang pendudukan Israel. 

Selain itu, Kementerian Hal Ehwal Wanita Palestin telah diwujudkan, yang dianggap sebagai wadah untuk membangunkan dasar tempatan yang berkaitan dengan status wanita.

Kesatuan Am Wanita Palestin (GUPW) ialah wakil rasmi wanita Palestin dalam Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO). Jawatankuasa eksekutif GUPW terdiri daripada beberapa ahli termasuk presiden, pengasas bersama Intissar al-Wazir.

Matlamatnya adalah untuk mewujudkan peranan aktif bagi wanita di wilayah Palestin. GUPW menyokong kerajaan demokratik dan negara Palestin yang berdaulat sebagai pendahulu untuk mencapai hak sosial dan politik wanita. 

GUPW telah menubuhkan cawangan di beberapa negara di Timur Tengah dan Eropah untuk terus menyokong pergerakan wanita melalui peluang pendidikan, bantuan kewangan dan banyak lagi.

Dalam konteks itu, selepas penubuhan negara haram Israel pada tahun 1948, majoriti rakyat Palestin terpaksa melarikan diri ke luar. Akibatnya, wanita memainkan peranan utama sebagai pelindung keluarga mereka.

Sekali gus, ia membina repositori ‘kisah kebangsaan’ yang menghantar kenangan kepada generasi seterusnya agar rakyat Palestin tidak lupa, walau di mana sahaja mereka berada, mereka tahu apa yang sebenarnya berlaku dan sentiasa menuntut hak untuk pulang ke tanah air.

Leila Khaled ikon pejuang wanita Palestin

Ketika tahun enam puluhan, dengan kemunculan gerakan pembebasan untuk mendapatkan semula tanah yang dirampas, seorang Leila Khaled muncul. Beliau merupakan wanita pertama yang merampas pesawat dalam sejarah kemanusiaan, hingga beliau dinobatkan sebagai ikon wanita yang sedang berjuang.

Pada Ogos 1969, Leila merampas pesawat Syarikat Israel El Al, dan melencongkan laluannya ke Syria, dengan tujuan untuk membebaskan tahanan. 

Pada ketika itu, beliau telah berjaya menarik perhatian seluruh dunia kepada isu Palestin. Selepas beberapa ketika pula, beliau merampas Pesawat TWA Amerika yang mendarat di London.

Secara beransur-ansur wanita mula terlibat dalam politik rasmi melalui keahlian dalam politik utama Palestin, bersama usaha kaum lelaki dan kanak-kanak yang digabungkan untuk menentang pendudukan tanah air mereka.

Sejak itu jugalah bermulanya kemudahan pendidikan alternatif untuk kanak-kanak selepas semua sekolah ditutup dan ekonomi alternatif berdasarkan pengeluaran rumah diwujudkan. Wanita ketika itu dilihat mula terlibat secara langsung dalam protes besar-besaran.

Dalam pada itu, terdapat juga percubaan dialog antara wanita Palestin dan Israel. Contohnya, pada Julai 2006, ahli jawatankuasa itu mengadakan Majlis Wanita Antarabangsa untuk Keamanan Palestin-Israel (IWC) yang Adil dan Lestari. 

Seterusnya, satu mesyuarat tergempar diadakan di Athens bagi menggesa masyarakat antarabangsa campur tangan bagi menyelesaikan isu Palestin.

Tentang dan berjuang

Walaupun banduan wanita menghadapi keadaan yang sukar di dalam penjara, mereka terus menentang dan berjuang. Pada April 1970, banduan wanita Palestin di penjara Neve Tirtza melancarkan mogok lapar kolektif pertama tahanan Palestin apabila mereka menolak makanan selama sembilan hari.

Semasa protes tersebut, mereka menuntut untuk mendapatkan bekalan kebersihan untuk wanita serta menamatkan pukulan dan kurungan bersendirian. Selepas itu, mogok lapar dan protes umum berterusan pada tahun 1985, 2004 dan 2019.

Penjara Neve Tirtza merupakan satu-satunya penjara wanita di Israel. Ia dibuka pada tahun 1968. Sebelum Neve Tirtza dibuka, banduan wanita telah ditahan di penjara lelaki. Ia adalah salah satu daripada beberapa penjara yang terletak di Ramla dan bersebelahan terus dengan Penjara Maasiyuhu.

Tatkala pendudukan Israel merampas pendidikan formal, banduan wanita Palestin membangunkan pendidikan selari untuk semua banduan wanita.

Peranan yang dimainkan oleh wanita Palestin tidak boleh dinafikan sekarang memandangkan ketika serangan polis Israel ke atas Masjid al-Aqsa dan kejiranan Sheikh Jarrah, kumpulan wanita begitu ketara hadir. Mereka menyertai demonstrasi dan menggunakan media sosial untuk berkongsi penderitaan orang awam semasa peristiwa tersebut.

Akhir sekali, yang tidak kurang pentingnya ialah wanita harus mula memainkan peranan signifikan dalam mengurangkan kesan keganasan, bukan sahaja untuk diri sendiri, keluarga dan komuniti secara amnya, tetapi mereka juga perlu lebih terlibat dalam aspek formal proses damai bagi mempertahankan hak mereka.

Justeru, masyarakat antarabangsa sewajarnya membuka mata, memenuhi kewajipannya dengan melibatkan penyertaan wanita yang lebih besar dan juga melaksanakan akauntabiliti melalui pendakwaan terhadap mereka yang bertanggungjawab dengan pelanggaran serius undang-undang antarabangsa. 

Hal ini penting terutamanya sebagaimana yang termaktub dalam Konvensyen Geneva Keempat, iaitu berusaha untuk meningkatkan perlindungan wanita dalam semua bidang konflik bersenjata.

Seterusnya, langkah-langkah harus diambil untuk mendedahkan amalan dan jenayah jahat Israel yang dilakukan terhadap wanita Palestin.

Atriza Umar
Jabatan Pendidikan Masyarakat
Pertubuhan IKRAM Malaysia
Duat Al-Falah

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia