Pengurusan Zakat & AI: KEIZAC 2025 Mercu Inovasi Ummah

Langkawi sekali lagi menjadi saksi kepada sejarah besar apabila negeri Kedah berjaya menganjurkan sebuah persidangan antarabangsa yang mengangkat martabat zakat ke peringkat dunia.

Dari 9 hingga 11 September 2025, Pelangi Beach Resort & Spa menyaksikan berlangsungnya Kedah International Zakat Conference 2025 atau lebih dikenali sebagai KEIZAC 2025, sebuah acara gilang-gemilang yang menghimpunkan lebih seratus kertas kerja dengan penyertaan pakar dari lima belas negara.

Di sinilah, di bumi Langkawi yang terkenal dengan legenda dan keindahan alamnya, Kedah membuktikan bahawa ia bukan sahaja dikenali sebagai jelapang padi negara, tetapi juga kini diangkat sebagai jelapang ilmu, inovasi dan pengurusan zakat bertaraf dunia.

Wajah baharu ekonomi sosial Islam

KEIZAC 2025 hadir dengan tema yang sarat dengan makna, “AI-Driven Innovation in Islamic Social Economy: Empowering a Better Ummah.” Tema ini tidak dipilih secara kebetulan, tetapi lahir daripada kesedaran bahawa dunia Islam perlu bergerak seiring dengan perkembangan teknologi, khususnya kecerdasan buatan atau Artificial Intelligence (AI).

Selama ini, zakat, waqf, sedekah dan infaq menjadi instrumen utama dalam menjamin kesejahteraan masyarakat, namun pendekatannya sering kali terikat dengan sistem tradisional.

Dengan adanya kecerdasan buatan, proses pengumpulan, analisis data, pengagihan serta penilaian impak zakat dapat dijalankan dengan lebih pantas, telus dan efisien.

Malah, AI membuka ruang baharu untuk memahami corak kemiskinan, mengesan jurang sosial serta merangka strategi kebajikan yang benar-benar menepati keperluan asnaf.

Titah Sultan: Kedah kini rujukan dunia

Sultan Kedah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, dalam titahnya menegaskan bahawa Kedah kini telah melangkah ke satu tahap baharu apabila sistem pengurusan zakat LZNK menjadi rujukan dunia.

Tidak terkecuali, Uganda dan Nigeria, dua negara membangun yang menghadapi cabaran besar dalam agihan zakat, kini menggunakan sistem percuma yang dibangunkan oleh LZNK. Bahkan, Uzbekistan turut tampil memohon bantuan untuk membina sistem zakat mereka dengan kerjasama Kedah.

Ini adalah pengiktirafan antarabangsa bahawa negeri Kedah berjaya menghasilkan satu model zakat moden yang bukan sahaja relevan untuk Malaysia, tetapi juga mampu diterapkan di pentas global. Dari utara Semenanjung Malaysia, Kedah kini bersinar sebagai pusat rujukan dunia Islam dalam pengurusan zakat berasaskan teknologi.

Dari Jelapang Padi ke Jelapang Inovasi

Kejayaan ini tidak hadir dalam sekelip mata. KEIZAC sendiri telah melalui beberapa siri sebelum ini. Edisi 2023 contohnya, berjaya menarik hampir seribu peserta daripada dua puluh dua negara, baik secara fizikal mahupun maya.

KEIZAC 2025 hadir dengan momentum yang lebih besar, menampilkan tokoh-tokoh ulung daripada pelbagai latar belakang, sarjana akademik, pengamal industri, pakar syariah, pemimpin politik serta teknokrat yang sama-sama membicarakan masa depan ekonomi sosial Islam.

Kedah dengan penuh yakin meletakkan dirinya sebagai tuan rumah yang bukan sahaja menyediakan ruang perbincangan, tetapi juga menampilkan inovasi nyata melalui sistem zakat yang telah diiktiraf penggunaannya di pelbagai negara.

Suara akademik dan inovasi

Sejak hari pertama, KEIZAC 2025 sudah memperlihatkan wacana yang sarat dengan isi. Daripada ucapan alu-aluan Dato’ Dr. Haji Mohd Zahari Ismail hingga kepada perkongsian berwawasan daripada tokoh seperti Dr. Haji Mohd Faisal Mustaffa, setiap segmen persidangan membawa peserta ke arah pemahaman mendalam tentang bagaimana zakat boleh ditransformasi melalui AI.

Forum-forum yang dianjurkan membincangkan pelbagai topik penting, antaranya bagaimana waqf dan zakat boleh dihubungkan dengan teknologi digital, bagaimana syariah dipelihara dalam inovasi kewangan sosial serta bagaimana universiti dan institusi penyelidikan mampu memanfaatkan peranan sebagai pemangkin transformasi digital zakat dan waqf.

Inilah keindahan KEIZAC, ia tidak hanya berbicara tentang teori, tetapi membawakan contoh, kajian kes dan pengalaman sebenar dari pelbagai spektrum negara.

Pentas tokoh dunia

Hari kedua persidangan pula membawa dimensi yang lebih luas apabila tokoh besar seperti Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin, Ketua Perangkawan Malaysia, membicarakan tentang bagaimana data rasmi dan AI boleh digunakan untuk menyokong dasar-dasar berasaskan Maqasid asy-Syariah.

Prof. Dato’ Dr. Aznan Hasan, seorang tokoh besar dalam kewangan Islam pula mengangkat isu AI dalam membentuk ekonomi sosial Islam global yang adil dan inklusif.

Tidak ketinggalan Ustaz Haji Mohd Nazri Chik yang menekankan sinergi zakat dan waqf dalam membasmi kemiskinan melalui Projek Hassan. Suasana persidangan jelas menggambarkan bahawa inilah pentas dunia Islam yang sebenar – ilmu, inovasi dan pengalaman digabungkan untuk melahirkan solusi berkesan.

Wanita di pentas kepimpinan KEIZAC

Lebih mengagumkan, KEIZAC 2025 turut memberi ruang kepada suara kepimpinan, termasuk daripada tokoh wanita seperti Dato’ Seri Profesor Dr. Noor Inayah Ya’akub yang mengetengahkan strategi kepimpinan dalam memperkukuh zakat, waqf dan sedekah pada era moden.

Inilah bukti bahawa KEIZAC tidak menafikan peranan wanita dalam kepimpinan ekonomi Islam, bahkan memberi ruang kepada mereka untuk menonjol di pentas antarabangsa.

Panel “Voices of Leadership” menjadi titik tolak kepada perbincangan bahawa masa depan ekonomi Islam memerlukan kepimpinan yang seimbang antara lelaki dan wanita, berdasarkan nilai rahmah dan maqasid syariah.

Simbol kesatuan ummah

Hari ketiga pula ditutup dengan lebih gemilang apabila tokoh antarabangsa seperti Sheikh Mahmood S. Kibaate dari Uganda dan Prof. Dr. KH. Noor Achmad dari BAZNAS Indonesia tampil membentangkan pengalaman mereka.

Malah, sesi menteri yang melibatkan wakil dari Maldives memberikan gambaran bahawa KEIZAC kini sudah benar-benar berada dalam radar negara-negara Islam sebagai persidangan utama dunia. Upacara penutup yang dirasmikan dengan penuh istiadat oleh Sultan Kedah mengangkat lagi martabat persidangan ini sebagai simbol kejayaan negeri dan negara.

Bahasa Melayu: Martabat yang wajar dipertahankan

Namun, di sebalik segala kemegahan ini, ada perkara yang wajar diberi perhatian. Walaupun KEIZAC 2025 telah berlangsung dengan cemerlang, bahasa persidangan masih lagi bergantung kepada bahasa Inggeris.

Sebagai sebuah persidangan antarabangsa yang berlangsung di Malaysia, khususnya di negeri Kedah yang kaya dengan sejarah dan identiti kebangsaan, sewajarnya bahasa Melayu diangkat sebagai bahasa utama.

Dengan adanya teknologi audio penterjemah serentak, tidak ada halangan untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi persidangan, sementara peserta antarabangsa boleh mendengar terjemahan dalam bahasa Inggeris atau bahasa lain.

Inilah peluang besar untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa diplomasi antarabangsa, seiring dengan peranan yang dimainkan oleh Kedah di pentas global.

Masa depan: Konferens Kepimpinan Wanita Global

Kejayaan KEIZAC 2025 memberi inspirasi untuk melihat ke hadapan. Jika pada tahun ini Kedah berjaya mengangkat tema zakat dan kecerdasan buatan, maka langkah seterusnya yang wajar dipertimbangkan untuk diangkat ialah menganjurkan Konferens Kepimpinan Wanita Global. Bahkan, negeri lain juga sewajarnya menyambut saranan ini.

Dunia hari ini memerlukan lebih banyak ruang untuk wanita tampil sebagai pemimpin, bukan sahaja dalam bidang ekonomi sosial Islam, tetapi juga dalam politik, pendidikan dan pembangunan masyarakat.

Kedah boleh menjadi pelopor dengan menganjurkan persidangan antarabangsa yang menghimpunkan wanita-wanita hebat dari Malaysia dan seluruh dunia untuk membincangkan strategi, cabaran juga peluang dalam memimpin ummah.

Persidangan sebegini akan mengukuhkan lagi imej Kedah atau negeri lain yang menyambutnya sebagai pusat intelektual, spiritual dan kepimpinan global.

Sejarah Islam: Wanita sebagai sumber ilmu

Mengangkat wanita bukanlah sesuatu yang asing dalam tradisi Islam. Sejarah membuktikan bahawa Sayyidatina Aisyah r.a. menjadi rujukan ilmu dan fiqh kepada para sahabat, bahawa tokoh-tokoh wanita dalam dunia Islam pernah memainkan peranan besar dalam pendidikan, politik dan kebajikan masyarakat.

Dalam konteks moden, ramai tokoh wanita telah muncul sebagai pemimpin dalam bidang zakat, waqf dan kewangan Islam. Justeru, dengan adanya Konferens Kepimpinan Wanita Global, Kedah akan terus melebarkan pengaruhnya, daripada pusat zakat dunia kepada pusat kepimpinan wanita dunia!

Kedah mendahului zaman

KEIZAC 2025 telah membuktikan bahawa Kedah mampu mendahului zaman. Dengan berani menggabungkan teknologi AI dengan prinsip Maqasid Syariah, Kedah bukan sahaja mengurus zakat dengan lebih berkesan, tetapi juga memberi sumbangan besar kepada dunia Islam.

Kejayaan ini adalah hasil visi jauh pandangan, kerja keras dan kerjasama erat antara kerajaan negeri, LZNK, institusi pengajian tinggi, industri serta masyarakat sivil. Ia adalah simbol bahawa apabila ilmu, teknologi dan agama digabungkan, hasilnya ialah sebuah sistem yang mampu mengubah dunia.

Baldatun tayyibatun wa Rabbun Ghafur

Kejayaan ini harus diteruskan. Pengiktirafan antarabangsa terhadap sistem zakat Kedah adalah permulaan kepada perjalanan yang lebih panjang. Cabaran masa depan pasti lebih kompleks, tetapi dengan semangat inovasi dan keikhlasan berkhidmat kepada ummah, Kedah mampu menempuhinya.

Yang penting ialah agar setiap langkah ke hadapan terus berpaksikan maqasid syariah, nilai rahmah dan aspirasi untuk melihat dunia Islam menjadi lebih sejahtera. Dalam erti kata lain, Kedah kini telah membuka lembaran baharu dalam sejarah zakat dunia, dan lembaran itu wajar terus ditulis dengan tinta emas demi generasi akan datang.

KEIZAC 2025 adalah mercu tanda bahawa sebuah negeri kecil boleh memberi impak besar kepada dunia. Dari Langkawi, mesejnya bergema ke Indonesia, Nigeria, Uganda, Uzbekistan dan seantero dunia Islam.

Moga kejayaan ini menjadi inspirasi, bukan sahaja untuk negeri Kedah, tetapi juga Malaysia, untuk dunia Islam, malah untuk seluruh insan di muka bumi ini.

Dan semoga setiap langkah ini membawa kita semakin hampir kepada impian besar yang termaktub dalam al-Quran, sebuah negara dan masyarakat yang diimpikan sejak dahulu lagi: Baldatun tayyibatun wa Rabbun Ghafur.

Prof Madya Dr Hamidah Mat

Dekan Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan

Open University Malaysia (OUM)

Foto: KEIZAC25

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia