SERI KEMBANGAN – Seramai 18 anggota delegasi misi ‘Break the Siege of Gaza Freedom Flotilla’ dari Malaysia selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 2.45 petang Isnin.
Mereka telah menjalani latihan terakhir persiapan misi di Istanbul, Turkiye sejak 18 April lalu sebagai persediaan untuk menempuhi pelayaran menghantar bantuan ke Gaza.
Misi ini melibatkan sebuah kapal kontena yang mempunyai muatan 5,500 tan kelengkapan bantuan termasuk lapan buah ambulans dan dua kapal penumpang yang boleh memuatkan 1,000 orang aktivis yang telah terpilih dari serata dunia.
Namun, misi pelayaran ke Gaza terpaksa ditangguhkan sementara waktu oleh pihak penganjur, Freedom Flotilla Coalition (FFC).
Keputusan ini dibuat susulan tekanan hebat yang dikenakan oleh rejim Israel kepada Republik Guinea-Bissau untuk menarik balik kebenaran menggunakan bendera negaranya bagi kapal utama misi tersebut iaitu Akdeniz (Mediterranean).
Pengerusi MyCARE, Dato’ Seri Ir Dr Kamal Nasharuddin Mustapha menegaskan bahawa tindakan rejim Israel ini merupakan antara taktik kotor yang dilakukan untuk mencuba menggagalkan misi bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Beliau menambah, pihak MyCARE telah menghubungi kerajaan Malaysia untuk menyokong kerajaan Republik Guinea-Bissau agar memberi kebenaran menggunakan bendera negara terbabit.
Selain itu, pihak FFC juga sedang berusaha mendapatkan bendera negara lain dengan melakukan pendaftaran negara yang bakal terlibat.
Langkah ini diambil bagi membolehkan pelayaran misi bantuan ke Gaza dapat dilakukan dalam masa terdekat.
Dalam pada itu, FFC turut mengambil tindakan undang-undang terhadap Republik Guinea-Bissau yang tunduk kepada Israel dengan tidak memberi kebenaran penggunaan benderanya untuk misi pelayaran tersebut.
Sumber: MyCARE